Showing posts with label Majlis Syura Ulama. Show all posts
Showing posts with label Majlis Syura Ulama. Show all posts

Sunday, January 26, 2025

Barat bimbang pengaruh ulama masuki kerajaan

harakahdaily
January 26, 2025
MACHANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa kuasa besar Barat bimbang pengaruh pemerintahan ulama di Iran menular ke dunia Sunni, yang merupakan majoriti umat Islam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pemerintahan itu memberikan kuasa besar kepada Majlis Syura Ulama sehingga mampu memecat Perdana Menteri, Presiden, dan membatalkan undang-undang yang bercanggah dengan Islam.

Menurut Tuan Guru, kuasa-kuasa besar bukan takut pada Syiah, tetapi mereka takut pengaruh ulama menguasai kerajaan.

“Ini akan mempengaruhi kalau sunni yang berubah, sunni majoriti umat Islam. Syiah minoriti, pengaruh tak besar. Kalau berlaku pada sunni, balik semula (kepada pemerintahan Islam),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ijtima Ulama Rabbani Peringkat Kebangsaan 1.0 di Markaz Dewan Ulamak (MADU), di sini hari ini.

Tuan Guru menjelaskan bahawa selepas revolusi, Iran melaksanakan dua agenda besar iaitu pembebasan Palestin dan pengenalan konsep ‘wilayatul faqih’.

“Agenda pertama (ialah) bebaskan Baitul Maqdis. Ini yang pertama. Ini untuk menyatukan orang Islam.

“Yang kedua ‘wilayatul faqih’, pemimpin yang berijtihad daripada wilayah Imam Muntadar. Wilayah lantik pemimpin Imam Mahdi, tunggu Imam Mahdi. Di mana dia buat satu tajdid perubahan dalam mazhab dia,” katanya.

Menurutnya, konsep ’wilayatul faqih’ itu berasaskan kajian mazhab Syafie dan karya ulama besar, Imamul Haramain seperti ‘Al-Ahkam al-Sultaniyyah’ serta ‘Ghiyath al-Umam’.

“Kalau tak ada seorang ulama yang ijtihad, memang kita tak mampu nak lantik nak cari macam Syafie, Hanafi, Hanbali, Maliki tak ada dah, payah.

“(Maka) Lantik jemaah kumpulan, kumpulan ulama-ulama yang boleh berijtihad secara ramai-ramai. Mentarjihkan hukum dan sebagainya,” jelasnya.

Tuan Guru turut menyatakan bahawa PAS menubuhkan Majlis Syura Ulama berpandukan mazhab Sunni.

“Majlis ulama ni dianggotai oleh ahli-ahli Dewan Ulama yang kita pilih, kita tahu keilmuan mereka yang boleh jadi mufti, jadi bekas pensyarah dan sebagainya.

“Ini ahli Majlis Syura Ulama yang mampu berijtihad dalam masalah agama sama ada ulama sendiri didukung oleh ulama ataupun raja berperlembagaan,” jelasnya.

Tuan Guru menambah bahawa raja berperlembagaan ialah raja yang dikawal oleh perlembagaan Islam, di mana raja berada di bawah kawalan perlembagaan tersebut.

Mengulas kebimbangan Barat, Tuan Guru mengaitkannya dengan pandangan orientalis Belanda, Snouck Hurgronje.

“Snouck Hurgronje mengatakan bahawa kuasa-kuasa Barat mesti mencegah ulama-ulama yang mendidik, yang mengajar orang supaya memerintah negara.

“Tulisan Snouck Hurgronje ini ialah seorang orientalis Belanda yang mengaji pondok di Aceh sehingga alim, tahu agama tukar nama, pura-pura masuk Islam, pergi ke Makkah, dia balik ke Belanda, dia tulis buku-buku, tulis makalah-makalah.

“Antara tulisan dia mengatakan bahawa cara Barat nak lawan Islam mesti halang ulama-ulama yang mengajak orang untuk memerintah negara semula macam zaman Nabi. Ini mesti dihalang.

“Maka dilaksanakan undang-undang tauliah mengajar undang-undang tauliah khutbah, undang-undang dan sebagainya. Tauliah-tauliah ni apa? Nak kawal, jangan mengajar benda-benda hok, hok yang boleh mengancam dia. Ini.

“Tauliah bukan ajar yang salah. Tauliah nak menyelamatkan daripada pengaruh Islam. Ini sebenarnya,” terangnya menyedarkan. 

HARAKAHDAILY

Wednesday, February 7, 2018

PAS catat rekod, tanding 59 kerusi di Johor

Mohamad Fadli
PETALING JAYA:  PAS mensasarkan untuk bertanding di 19 kerusi Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, mencatatkan rekod sebagai jumlah kerusi paling tinggi pernah ditandingi PAS di negeri itu.

Pada PRU yang lalu, PAS bertanding di 8 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri.

“Ini berikutan kita merasakan peluang untuk menang itu ada,” kata Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, kepada FMT.

Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 DUN.

Abdullah bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan Parlimen dan DUN di mana PAS akan bertanding, dan menunggu “lampu hijau” Majlis Syura Ulama, badan tertinggi PAS yang menentukan hala tuju parti itu di samping memberi pandangan mengenai calon.

PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi Parlimen di Johor, walaupun pada pilihan raya lalu, ia menang 4 kerusi DUN.

Abdullah yang juga Adun Puteri Wangsa yakin PAS mampu menang lebih banyak kerusi kali ini.

Menurutnya, walaupun ia “bersendirian”, ia bukan halangan berikutan PAS sudah mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

“Walaupun bersendirian tetapi PAS tetap dapat sokongan masyarakat tidak kira pengundi Melayu, Cina dan India.”

Mengenai sokongan daripada pengundi bukan Islam, Abdullah berkata:

“Tidak semua orang Cina sokong DAP. Parti kita sudah lama dan sewaktu bergabung dengan PKR dan DAP, jentera kita lebih kuat dan menyerlah dari segi berkempen dan bertugas,” katanya.

PAS memutuskan tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), gabungan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Sebaliknya, parti itu menubuhkan apa yang dinamakan “Gagasan Sejahtera”, sebagai blok ke-3 yang turut dianggotai oleh sebuah parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Abdullah juga tidak melihat Amanah sebagai ancaman di Johor, malah berkata ia bersedia berhadapan 3 penjuru.

“Kita anggap Amanah bukan cabaran besar. Walaupun ada yang menyokong Amanah tetapi sokongan PAS makin bertambah berdasarkan pertambahan ahli baru,” katanya.

Pada PRU lalu, Barisan Nasional (BN) menang sebanyak 21 kerusi Parlimen manakala PH menang sebanyak 5 kerusi Parlimen. Salah satu kerusi dimenangi BN, Pagoh, kini menjadi kerusi PPBM yang diwakili presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di peringkat negeri, BN menang 38 daripada 56 kerusi. Manakala DAP menang 13 kerusi dan satu kerusi milik PKR.

Johor menjadi medan penting bagi PH kali ini. PPBM menerima agihan kerusi yang paling banyak di kalangan 4 parti PH, iaitu 18, manakala DAP diperuntukkan 14, dan PKR serta Amanah masing-masing mendapat 12 kerusi.

Sunday, May 21, 2017

Tunggu kena pecat, baru Pas nyatakan pendirian

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
21 MEI 2017
SABAK BERNAM - Pas hanya akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Adun Pas di negeri ini sekiranya tiga exco dari parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, dakwaan sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris kononnya semua Adun Pas di negeri ini bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu dakwaan tidak berasas.

"Itu tak benar. Nak tahu benar, selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, petang tadi.

Sallehen yang juga Adun Sabak berkata, setakat ini, Pas tidak pernah berbincang berhubung tindakan yang akan diambil parti itu sekiranya tiga exco parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

"Kita tak bincang sampai ke peringkat exco dipecat. Kalau exco Pas dipecat, saya tidak dapat jawab apa-apa setakat ini," katanya.

Beliau menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan PKR seperti mana yang diputuskan Majlis Syura Ulama parti itu yang membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Untuk setakat ini, Pas tak akan bincang dengan PKR soal calon bagi hadapi PRU-14.

"Kalau dulu, orang Pas boleh panjat pokok kelapa pasang bendera PKR, sekarang PKR dan Pas kena panjat sendiri," katanya.

Ditanya, adakah Pas akan berubah fikiran dengan menjalin semula kerjasama dengan PKR di saat-saat akhir bagi menghadapi PRU-14, Sallehen berkata, beliau tidak mahu menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Mungkin ada perubahan-perubahan baru dan ada keadaan jauh lebih baik.

"Saya pun tak nak menjangkakan apa yang ada ini kekal. Buat setakat ini, begitulah keputusan yang kita buat," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau akur apa jua keputusan pimpinan Pas.

"Saya tak nak berbincang soal kemungkinan. Selagi masih berada dalam exco, saya akan tetap berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Ditanya tentang hubungannya dengan pentadbiran kerajaan negeri, Zaidy menjelaskan, hubungan itu berjalan baik dan tiada masalah.

"Kita kena bezakan antara parti dan kerajaan. Kalau tengok program hari ini pun, ramai pemimpin PKR yang hadir termasuk DAP yang diwakili Adun Sekinchan, Ng Suee Lim," katanya.

Friday, May 5, 2017

Hadi bayangkan peralihan kuasa Kerajaan Selangor

 Spekulasi bahawa Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali akan bertukar tangan seolah-olah bakal menjadi realiti selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘tidak menolak kemungkinan’ berlaku peralihan kuasa pemerintahan di negeri itu.

Ahli Parlimen Marang itu memberi ‘bayangan’ susulan Majlis Syura Ulama PAS dijangka membuat keputusan memutuskan tahalul siyasi dengan PKR dalam masa terdekat.
“Biasalah, kemungkinan boleh berlaku,” katanya di Pulau Kapas, Khamis.

Semalam, wujud penyebaran mesej di media sosial bahawa enam ADUN termasuk daripada empat daripada PKR mengadap Sultan Selangor, dipercayai sebagai tanda tidak menyokong Menteri Besar, Azmin Ali.

Kumpulan ADUN itu didakwa akan keluar parti dan seterusnya membentuk kerajaan negeri baharu bersama Barisan Nasional dan PAS.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh kepimpinan PKR serta ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail melalui Twitter miliknya kelmarin.

Sementara itu, Hadi berkata, semua pemimpin PAS di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan tertinggi jika keputusan putus hubungan dengan PKR dimuktamadkan.

“Kepatuhan kepada arahan adalah penting. Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat perkembangan selanjutnya,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan pilihan raya di negeri itu, diadakan lebih awal, Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain berpandukan kepada perlembagaan negeri berkenaan.

Friday, April 28, 2017

Tahaluf siyasi PAS-PKR ditamatkan

Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my
Mohd Khairuddin Aman. FOTO arkib NSTP

Alor Setar: Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat sebulat suara meluluskan usul supaya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR ditamatkan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bagaimanapun berkata, keputusan usul itu tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan perlembagaan PAS.

"Menyedari bahawa PKR sudah melanggar begitu banyak syarat tahaluf siyasi maka usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat diterima sebulat suara," katanya pada akhir sidang muktamar, di sini, hari ini.

Sebelum itu, wakil Negeri Sembilan Mohd Husainy Hussain ketika membentangkan usul berkenaan menegaskan, pimpinan tertinggi PKR tidak menghargai jasa PAS.

Katanya, sebaliknya mereka terus menerus menghina PAS dan pemimpinnya.

Thursday, April 27, 2017

Dewan Ulama setuju usul PAS putus tahaluf siyasi dengan PKR

Zulaikha Zulkifli 
 Hari ini, 6:56 petang Hari ini, 7:13 malam

MUKTAMAR : Dewan Ulama PAS hari ini bersetuju untuk membawa usul agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan.

"Kalau kita buka (undi) setuju (untuk putus), ramai akan setuju.

"Menyedari PKR langgar banyak syarat tahaluf siyasi dengan PAS, Muktamar Dewan PAS Pusat bersetuju untuk mengusulkan agar tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan, (namun) tertakluk pada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan Perlembagaan PAS," katanya.

Beliau berkata demikian pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 di dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Alor Setar, hari ini, ketika membacakan kembali usul yang dibawa oleh perwakilan Perak dan Negeri Sembilan.

Usul itu kemudian mendapat persetujuan sebulat suara perwakilan.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, April 26, 2017

Jawatankuasa terima lebih 30 usul ke Muktamar PAS

Bernama
Jawatankuasa Usul PAS Pusat sehingga kini telah menerima lebih 30 usul daripada 194 kawasan Parlimen untuk dibawa pada Muktamar PAS Ke-63 yang akan bermula esok, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sedang dalam proses merumus dan membahagikan usul tersebut mengikut kategori sebelum dibawa pada Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Jumaat ini.

"Kesemua usul berkenaan akan dibahagi kepada empat kategori iaitu usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan," katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Seramai 1,231 perwakilan akan menghadiri muktamar bermula esok sehingga 1 Mei, di Alor Setar.

Mengenai agenda pemilihan yang akan menggunakan kaedah e-voting buat julung kalinya pada 29 April ini, beliau berkata kesemua keputusan hanya akan diumumkan pada 1 Mei agar ia tidak menganggu emosi calon-calon yang bertanding ketika muktamar sedang berlangsung.

Bagi jawatan naib presiden, katanya terdapat empat calon yang akan bertanding, manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri dan menurutnya kesemua calon berkenaan adalah mereka yang 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Amalan demokrasi dijamin di dalam PAS dan kita yakin pertandingan ini tidak akan menyebabkan apa-apa perpecahan dalam PAS sebagaimana yang diperkatakan," katanya.

Takiyuddin berkata kaedah pemilihan secara e-voting diyakini selamat memandangkan perisian tersebut dihasilkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS sendiri, dan pemilihan hanya dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan.

"Pada tahun ini bagi semua jawatan yang dipertandingkan, tidak ada wakil calon kepada calon-calon, ini menunjukkan dalam kalangan pimpinan PAS tidak ada perasaan curiga mencurigai, berbanding sebelum ini Muktamar 2015 ada ejen pengiraan, ejen pengundian," katanya.

PAS, katanya turut mengundang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan namun tidak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Hubungan kami dengan PPBM boleh kami sifatkan sebagai digantung sementara, kami tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah mereka mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan," katanya.

Ditanya sama ada muktamar kali ini akan membincangkan mengenai kes disiplin anggota PAS, Takiyuddin berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan dan dianggotai oleh mereka yang tidak memegang jawatan dalam parti.

"Ada prosedur untuk seseorang anggota PAS boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, bukan melalui muktamar atau usul, sebab dalam perlembagaan PAS ada prosedur, maknanya sesuatu aduan terhadap seseorang perlu melalui banyak tahap," katanya. 

-Bernama

Friday, June 3, 2016

Kecut buah PKR dengar cerita ni.......

Usul putus hubungan dengan PKR diteliti Majlis Syura‎ Ulama
N Faizal Ghazali
PAS akan membawa usul ‎penilaian semula hubungan politik dengan PKR kepada Majlis Syura Ulama untuk dikaji dan dinilai, kata Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan.

Menurut beliau, usul tahaluf siyasi tersebut meminta supaya Majlis Syura Ulama membuat penilaian kembali terhadap kedudukan kerjasama antara PAS dan PKR.

"‎Usul tersebut daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia.

"Usul tersebut meminta tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semua atas beberapa perkara berbangkit apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya," katanya ketika menyampaikan taklimat usul pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Kota Bhari, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa usul bagi muktamar itu berkata, usul tersebut juga meminta jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.

Sementara itu Nasruddin berkata‎, pada muktamar kali ini pihaknya menerima 20 usul daripada PAS kawasan dan dewan-dewan.

‎Bagaimanapun katanya, terdapat usul yang ditolak susulan masalah teknikal seperti tidak menepati format, usul berulang, di luar bidang kuasa dan tidak menepati dasar dan perjuangan PAS.

"Selain itu ada juga usul berbentuk cadangan dan kita akan meneli‎ti cadangan tersebut tanpa dibahas.

‎"Ada usul yang diterima tanpa bahas dan diterima dengan dibahas," katanya.

Friday, January 8, 2016

Apa bentuk kerjasama Pas-Umno?

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
8 JANUARI 2016

Umno-Pas
SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat ada beberapa skop isu yang disifatkan relevan boleh diambil kira Pas dan Umno dalam konteks kerjasama mereka terutama melibatkan kepentingan Islam dan kaum Melayu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kedua-dua pihak sudah tentu mengharapkan agar kerjasama itu nanti tidak akan mengakibatkan sokongan terhadap mereka terhakis.

“Bentuk kerjasama itu mungkin menjurus lebih kepada isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu. Seterusnya dari segi agama, isu semasa, ekonomi, kebangkitan orang Melayu dan sebagainya.

“Jika itu landasan kerjasama, kita mungkin boleh lihat ia akan menjadi kenyataan. Tapi tidaklah sampai membawa kepada gabungan. Ia sesuatu yang agak mustahil ketika ini,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu hanya mengadakan kerjasama dalam konteks Islam dengan Umno sejajar dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang kekal dengan keputusan lama iaitu tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Menurutnya, setelah Umno dan Pas melihat sokongan Melayu terhadap DAP telah terhakis, kedua-duanya memilih untuk menjalin kerjasama yang disifatkan mampu mengembalikan sokongan orang Melayu kepada mereka.

“Susulan perpecahan dalam PR, saya lihat sokongan Melayu terhadap DAP terhakis kerana orang Melayu marah dengan tindakan DAP terhadap Pas.

“Justeru dalam keadaan demikian, Umno sedar dan Pas pun sedar, untuk meraih kembali sokongan orang Melayu baik di bandar mahupun luar bandar, dengan menjalin kerjasama membabitkan kepentingan umat Islam dan Melayu itu,” katanya.

Sementara Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sukar meramalkan bentuk kerjasama Pas-Umno susulan tiada pendirian rasmi setakat ini.

“Kecuali ada isu-isu berbangkit seperti undang-undang syariah, agenda Melayu atau isu-isu yang ada kepentingan bersama mungkin mereka akan kerjasama. Lain-lain isu seperti berkaitan Perlembagaan, undang-undang Islam, pentadbiran Islam, ekonomi Islam,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gabungan sokongan terhadap Umno dan Pas nanti akan memberi satu kekuatan kepada mereka.

“Maksudnya majoriti orang Melayu menyokong dua parti ini. Itu mungkin hasrat yang diharapkan oleh Umno dan Pas juga,” katanya.

Thursday, January 7, 2016

Umno mahu Pas kaji semula keputusan Majlis Syura

NIZAM ZAIN
7 JANUARI 2016

SHAH ALAM –
 Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berharap pimpinan tertinggi Pas dapat mempertimbangkan semula pendirian Majlis Syura Ulamanya yang kekal dengan keputusan lama iaitu untuk tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Beliau berkata Umno sememangnya ikhlas dalam perkara itu dan sepatutnya ia perlu diperhalusi terlebih dahulu melalui pertemuan atau perbincangan tidak rasmi sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh merugikan masa depan orang Melayu dan Islam.

“Umno menghormati keputusan Pas namun parti ini juga bukan sebuah parti picisan yang perlu merayu untuk menjalin kerjasama dengan parti Islam itu.

"Umno (masih) merupakan parti terbesar mewakili orang Melayu dan kita masih berkeupayaan untuk membentuk kerajaan yang dinamik menerusi gagasan BN,” katanya dalam entri terbaru di laman blognya.

Beliau mengulas pendirian Majlis Syura Ulama yang memutuskan bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya mengadakan kerjasama mengikut konteks Islam dalam perkara kebaikan dan ketakwaan kepada ALLAH‎.

Perkara itu disahkan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberitahu bahawa Majlis Syura Ulama akan kekal dengan keputusan lama iaitu tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Mengulas lanjut, Syed Ali juga berkata, perkembangan itu membuktikan Pas tidak pernah ikhlas untuk menzahirkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu berasaskan kepada semangat politik.

“Mereka (Pas) jelas tidak mempunyai iltizam untuk berusaha membawa penyatuan umat berasaskan kepentingan masa depan orang Melayu,” tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata lagi, keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu tidak mencerminkan prinsip asas parti itu yang kononnya berjuang atas landasan Islam.

“Umno realistik dan ikhlas untuk melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu menerusi bentuk kerjasama itu, tetepi malangnya Pas bertindak sebaliknya,” katanya lagi.

Saturday, September 19, 2015

Mengapa pemimpin PAS 'gugur setandan'?

Abdul Rahim
Masalah label melabel di kalangan anggota dan pimpinan dalam PAS dan penguasaan eksekutif dalam Majlis Syura Ulama antara punca pemimpin PAS yang "gugur setandan" menubuhkan Parti Amanah Nasional (AMANAH), kata Pengerusinya Mohamad Sabu.

Mengakui tidak mampu memperbaiki keadaan PAS dari dalam, Mohamad berkata tindakan mendoktrin dengan label - antara lain liberal, munafik haraki dan peguam neraka - oleh satu kumpulan dalam PAS tidak bersetuju dengan kumpulan lain, berlaku cukup ketara dan dilihat berbahaya.
Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, hal demikian jelas berlaku sewaktu pemilihan parti pada Jun yang menyaksikan kumpulan yang tak disukai, didoktrinkan dengan panggilan itu.

Lebih membimbangkan lagi, kata Mohamad tindakan mengkafirkan sesama kumpulan umat Islam yang berlaku di Iraq, Syria dan Libya, telah meresapi umat Islam di Asia Tenggara termasuk di Malaysia.

"Saya melihat ia satu trend yang berbahaya kepada parti (PAS), Malaysia dan umat Islam. Oleh tu, wadah baru ini (AMANAH) perlu dijelmakan untuk memperbetulkan semula konsep Islam yang sewajibnya membawa rahmat ke seluruh alam.

"Konsep itu sudah menjadi malapetaka, kerana tersalah urus, tersalah tafsir. Parti Amanah Negara menjadi satu rahmat kepada umat Islam dan rakyat Malaysia, untuk bawa aliran tajdid kepada orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Antara wakil rakyat yang tewas dalam permilihan dan meninggalkan PAS adalah beberapa ahli parlimen dan ADUN antaranya MP Sepang Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terenganu), Aminoul Huda (Parit Raja) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, pemimpin yang dikenali Mat Sabu itu berkata penguasaan segelintir kumpulan khusus sebagai anggota badan eksekutif PAS dalam Majlis Syura Ulama turut menjadi punca pemimpin meninggalkan PAS.

Apatah lagi, kata Mohamad, anggota Majlis Syura yang dilantik selama lima tahun dianggap sukar membuat perubahan dalaman, menyebabkan beliau dan rakan-rakan memikirkan menubuhkan parti baru yang membawa motto 'Islam rahmat kepada semua'.

Hanya ketawa dengar soalan

"Saya antara orang yang menjulang (mendacangkan) kepimpinan ulama (suatu ketika dulu), sehingga wujud Majlis Syura (Ulama PAS). Dahulu orang (tokoh) yang terlibat dalam Majlis Syura kurang terlibat dengan majlis eksekutif.

"Misalnya, ada pensyarah, bekas mufti, ilmuan, (mereka) tak kira parti sangat. Tetapi kebelakangan ini, mereka yang terlibat dengan Majlis Syura, adalah orang yang terlibat dalam eksekutif sama ada AJK Dewan Ulama dan AJK Pusat itu sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pengaruh dan kemasukan graduan Timur Tengah ke dalam PAS yang membawa balik pemikiran dari Mesir dan negara lain tanpa melihat realiti di Malaysia antara punca pemimpin PAS menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan AMANAH.

"Pemikiran itu dibawa tanpa melihat suasana sosial dan ekonomi di Malaysia. Inilah yang kita kata berlaku gugurnya setandan pemimpin lama dalam parti itu.

"Pengaruh daripada Timur Tengah melanda dan kita kena melihat, kehebatan Ikhwan Muslimin dari sudut dakwah, tarbiyah, ketahanan dalam perjuangan tapi kita kena akui kegagalan mereka dalam pemerintahan," katanya.

Sehubungan itu, dengan kewujudan AMANAH, Mohamad berharap ia menjadi usaha untuk membendung masalah itu, walaupun dianggapnya masih di peringkat awal, dibimbangi kesan seperti yang berlaku seperti di Timur Tengah melanda negara.

"Maka jika tidak tak diubat untuk mencari jalan penyelesaian, masa yang begitu panjang diperlukan untuk keluar daripada kemelut. Di peringkat awal kita kurang atau kita matikan ia memberi keburukan kepada Islam dan kepada umatnya," katanya.

Ditanya sama ada masalah tersebut disebabkan kelemahan kepimpinan Hadi, Mohamad mengambil jalan selamat dengan enggan mengulas dan hanya ketawa apabila soalan itu dilontarkan.

Soal integriti

"Kebolehan, jasa, kekuatan seseorang tidak dinilai (dalam pemilihan baru-baru ini), tapi apa dinilai - kamu ini daripada puak mana. Bila penilaian seperti itu, maka diundi mengikut senarai yang diberi kepada perwakilan.
"Bukan dilihat daripada pencapaian pada orang yang memegang jawatan itu. Itu yang menimpa parti lama saya dulu, harap ia tidak berulang dalam Parti Amanah Negara," katanya.

Selaku ketua AMANAH, beliau mahu menyatukan penghayatan akidah dan akhlak Islam dan pentadbiran dengan menitik beratkan soal melawan rasuah dan integriti yang kurang dihayati berbanding masyarakat Eropah.

"Dalam erti kata lain, akhlak Islam ada pada orang Eropah, Jepun, Korea, Singapura. Akhlak jahiliyah ada pada orang Islam.

"Orang melihat ingetriti dalam pemerintahan kita tak ada kecuali Tok Guru Nik Aziz. Integriti dalam pemerintahan kita, tidak ada mengikut laporan dalam dan laporan luar.

"Jadi inilah perlu diutamakan kalau Islam dan umat mahu muncul semula," katanya yang menepis tuduhan menjadi kuda tunggangan DAP dan parti itu tidak memberikan satu sen pun melainkan sokongan moral kepada penubuhan AMANAH.

Mohamad juga berkata beliau mengarahkan supaya pimpinan AMANAH 'menutup mulut' daripada bercakap mengenai isu pembahagian kerusi dan pilihan raya umum buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi sehingga Disember.

"Kami nak tumpu mobilisasi ahli, dan menubuhkan kawasan. Itu yang kita nak tumpu. Saya pun pesan kepada semua pimpinan, jangan bercakap soal kerusi nak tanding, saya nak tumpu sehingga akhir Disember ini," katanya.

Monday, July 20, 2015

Pas: Selain GHB, fikirkan tahaluf dengan BN

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

KOTA BHARU - Pas Kota Bharu mencadangkan muktamar khas diadakan bagi membincangkan konflik dalaman yang berlaku ke atas parti itu termasuk mengenal pasti hala tuju mereka dalam PR.

Pemangku Ketuanya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, permasalahan dalaman Pas yang berlaku kini dibuka seluas-luas oleh semua pihak sama ada oleh bekas pimpinan mahupun mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam Pas.

“Media seakan menjadi medan muktamar dan ruang muhasabah yang cukup luas kepada Pas sekarang ini sedangkan isu pokok yang seharusnya menjadi tumpuan selain isu kegawatan ekonomi dan persoalan integriti Perdana Menteri yang dimainkan media dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam masa yang sama katanya, fokus perihal penubuhan parti baru pula menjadi percakapan dan melarikan daripada kerja yang sebenar yang perlu dilunaskan Pas di semua peringkat.

Sehubungan dengan itu Rosli berkata muktamar yang dicadangkan boleh menjelaskan sejauh manakah akar umbi Pas mengharapkan agar PR diperteguhkan.

“Walaupun keputusan Majlis Syura Ulama menyerahkan perlaksanaannya pada jawatankuasa Kerja Pas Pusat, namun ahli perlu juga diberi ruang untuk menyatakan pandangan mereka, mengambil kira situasi sebenar di peringkat bawah,” katanya.

Selain itu katanya, muktamar itu juga boleh melihat sejauh mana persediaan ahli Pas dalam menerima tahaluf baru atau sebarang bentuk persefahaman mahupun kerjasama akan datang termasuk dengan pihak Umno atau BN sekiranya PR yang ada ini dimuktamadkan tiada lagi kewujudan pada masa hadapan.

Wednesday, July 15, 2015

Akar umbi bimbang masa depan PAS selepas putus dengan DAP

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
PAS perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam selepas putus hubungan dengan DAP, kata ahli dan aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Julai, 2015.

Semua kerusi pantai barat tidak lagi selamat buat PAS, kata ahli akar umbi dan aktivis selepas parti Islam itu memutuskan hubungan rasminya dengan DAP.

Walaupun hubungan tidak rasmi masih wujud di antara ahli PAS dan DAP tetapi keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan sekali gus memberi isyarat mereka perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam.

Ia merupakan sokongan komuniti pemimpin akar umbi seperti kata Dr Sheikh Ibrahim Salleh yang merupakan orang penting dalam kemenangan PAS di pantai barat dari Kedah ke Johor.

Ahli akar umbi lain dari Kuala Lumpur pula menyifatkan:“Sokongan bukan Islam kepada PAS di luar jangka ketika mengadakan hubungan bersama DAP. Jadi, bila hubungan PAS-DAP berakhir maka begitulah juga sokongannya.”

Pantai barat tidak selamat lagi

Bagi sesetengah pemimpin akar umbi, penurunan sokongan bukan Islam dapat dilihat sejak sebelum muktamar bulan lalu yang meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ia berikutan keputusan DAP pada April untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Resolusi itu mengeruhkan lagi keadaan. Dr Sheikh Ibrahim berkata, bukan Islam meminggirkan PAS sejak krisis menteri besar Selangor pada pertengahan 2014.

Dalam krisis itu, Hadi tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat PKR dan DAP untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Imej PAS merosot sejak itu. Rakan bukan Islam kita mohon maaf berkata mereka tidak lagi menyokong PAS,” kata Sheikh Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong.

“Sokongan kepada PAS akan sangat berkurang dalam PRU akan datang.”

Beliau berkata PAS melakukan yang terbaik di Johor dan kebanyakan tempat di pantai barat dalam pertandingan kerusi campuran di mana nisbah Islam dan bukan Islam ialah 60% kepada 40%.

“Apabila majoriti Melayu lebih daripada 60%, PAS lebih sukar untuk menang. Jadi semua kerusi yang dipegang PAS di Johor tidak selamat kerana kita kehilangan sokongan bukan Islam.

“Perkara sama berlaku kepada tempat di Kedah, Perak malah di Selangor,” katanya.

Majlis Syura Ulama (MSU) secara rasmi memberi lampu hijau untuk memutuskan hubungan dengan DAP, selepas lebih sebulan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas.

Mereka berkata keputusan itu diambil ekoran tindakan provokasi berterusan DAP dan sikap suka campur tangan dalam urusan PAS.

Keputusan yang diluluskan itu akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa PAS Pusat selepas MSU bertindak sebagai badan tertinggi yang menetapkan hala tuju dan dasar parti.

Menyalakan semula api lama

Hubungan PAS dan bekas rakan pakatannya, PKR dan DAP menyukarkan ahli biasa bagi mendapat sokongan penyokong yang lebih ramai, kata pemimpin akar umbi Selangor Shazni Munir.

Selepas mengadakan program bersama di bawah satu payung Pakatan Rakyat (PR) sejak 7 tahun lalu, ahli dan aktivis di peringkat akar umbi enggan menjemput DAP ke acara rasmi kerana bimbang dimarahi pimpinan atasan parti.

Keakraban ikatan yang dibayangkan pengundi Malaysia dan diidamkan ahli PAS yang sanggup bekerja tanpa bayaran, kini tiada lagi, kata Shazni.

Sukar memenangi kembali hati pengundi bukan Islam yang sedekad lalu tidak pernah bermimpi mengundi PAS.

“Amat menyedihkan apabila kita berbicara dengan pakcik Cina dan mereka bertanya mengapa PAS tidak menjaga hati orang bukan Islam. Adakah PAS tidak menghargai sokongan mereka?,” kata Shazni yang merupakan timbalan ketua kawasan Sijangkang.

“Pada ketika kita masih susah memenangi undi Melayu kawasan pedalaman, kita sangat menghargai sokongan bukan Islam.”

Ahli PAS Titiwangsa berkata dapat dilihat penurunan kehadiran bukan Islam dalam program PAS tahun ini.

Pengundi Cina dan India mewakili 30% populasi di kawasan Parlimen Titiwangsa yang biasa ditandingi PAS dan kekalahan ini pastinya akan dirasai dalam PRU akan datang.

Walaupun semangat mereka masih lemah, pemimpin DAP Anthony Loke berharap akan ada perubahan.

Hubungan rakyat di peringkat akar umbi masih utuh, katanya dan di sesetengah kawasan, ahli kedua-dua parti masih menjalankan program bersama.

“Kawasan saya di Jelebu, hubungan dengan akar umbi PAS masih utuh. Kami masih menghadiri sesi buka puasa dengan ahli PAS di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Baru,” katanya.

Antara yang dapat dilihat ialah majlis buka puasa bersama personaliti PAS bersama pimpinan tertinggi PKR dan DAP di Kuala Lumpur pada 23 Jun.

Pada majlis itulah, timbul ura-ura satu parti Islam baru akan ditubuhkan ahli PAS yang disingkirkan dengan kerjasama DAP dan PKR.

Biasanya, pemimpin PAS dan mereka yang wala’ akan cepat mengulas mengenai penubuhan parti baru seperti bekas setiausaha agung Datuk Mustafa Ali yang menjangkakan parti baharu akan dilihat proksi DAP dan tidak kekal lama.

Di sebalik dakwaan itu, ahli biasa PAS dan DAP masih menanti sama ada parti baharu ini mampu menghidupkan kembali semangat lama PR yang membantu mereka menghampiri Putrajaya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-bimbang-masa-depan-pas-selepas-putus-dengan-dap#sthash.ixfAIOLQ.dpuf

Tuesday, July 14, 2015

Tiada sebab keluar daripada Kerajaan Selangor, kata PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tiada sebab Adun PAS dalam exco kerajaan negeri Selangor meletak jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Julai, 2015.

PAS Selangor tetap bersama kerajaan negeri Selangor kerana keputusan Majlis Syura Ulama baru-baru ini hanyalah memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tiada sebab anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS dalam exco kerajaan negeri Selangor meletak jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama itu.

"Sekiranya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri daripada sebarang kerajaan pakatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar yang juga naib presiden PAS turut menegaskan kerajaan Selangor hari ini masih kerajaan Pakatan Rakyat berikutan tidak pernah ada pengumuman daripada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Selain itu, beliau berkata tiada juga sebarang pengumuman bersama daripada pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP pakatan itu sudah tidak lagi wujud.

Pada Sabtu lepas, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal berikutan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP mengecam serta melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat. – Bernama, 13 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-sebab-keluar-daripada-kerajaan-selangor-kata-pas-selangor#sthash.o7E0EdjT.dpuf

Sunday, July 12, 2015

Selangor tunggu arahan PAS Pusat, kata Iskandar Samad

PAS Selangor tunggu arahan rasmi Jawatankuasa Kerja Pusat berhubung keputusan tahaluf siyasi dengan DAP, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Julai, 2015.

Enggan menerima pendirian Majlis Syura Ulama yang membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP, PAS Selangor mahu menunggu arahan rasmi daripada Jawatankuasa Kerja Pusat bagi memastikan sama ada keputusan itu terpakai di peringkat negeri itu atau tidak, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga naib presiden parti Islam itu berkata, pada masa sama kerjasama dengan DAP dan PKR akan diteruskan seperti biasa di setiap peringkat pentadbiran Selangor.

"PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dan hubungan sehingga menerima arahan rasmi daripada PAS Pusat.

"Kami juga ingin menjelaskan, hubungan dan kerjasama dalam kerajaan berdasarkan jawatan kerajaan seperti exco, ahli Dewan Undangan Negeri, ahli majlis dan ketua kampung. Maka ia akan diteruskan demi menjaga amanah rakyat yang diterima pada PRU13," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Setiausaha MajliS Syura Ulama Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh semalam mengumumkan pihaknya yang bermesyuarat kelmarin memutuskan menamatkan tahaluf siyasi dengan DAP kerana parti sekular itu sering membuat provokasi dan campur tangan hal dalaman PAS.

"MSU kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama PR, serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat PAS.

"Oleh itu, MSU memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR," kata Zawawi.

Bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, PAS perlu berundur dan akan dilihat hipokrit jika masih ingin kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Keputusan Majlis Syura itu disambut baik PAS Pulau Pinang apabila ketua penerangannya, Mohd Yusni Mat Piah menasihati semua ahli parti menyokong penuh keputusan itu dan bersiap sedia menjalankan arahan yang akan dikeluarkan pucuk pimpinan, lapor Harakahdaily.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Satiful Bahri Mamat juga dilaporkan berkata, pihaknya bersedia menghadapi sebarang risiko yang akan tercetus hasil keputusan itu dan akan terus berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam. – 12 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-tunggu-arahan-pas-pusat-kata-iskandar-samad#sthash.5Iz6JE82.dpuf

Thursday, June 11, 2015

Hadi mesti bersikap tegas untuk memperkukuhkan PAS


oleh Alyaa Alhadjri

SEKILAS PANDANG: Apa-apa perubahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi akan sering menyebabkan kesan ke atas individu-individu berpangkat rendah dalam operasinya.

Oleh itu, mana-mana dasar dan keputusan perlu dibuat sama ada dengan perbincangan yang wajar dengan pihak-pihak berkepentingan, atau dengan perancangan terperinci yang wajar yang perlu dilaksanakan sehingga ke penghujungnya.

Apa-apa langkah separuh masak adalah berbahaya.

Kesan langsung daripada keputusan yang tidak wajar, dalam kebanyakan kes, adalah ketiadaan hala tuju dalam sebarang proses membuat keputusan organisasi itu.

Walaupun presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah berjaya mempertahankan jawatannya bagi penggal yang ketujuh, sebahagian daripada ahli akar umbi terkejut dengan cara perwakilan-perwakilan telah 'diarahkan' untuk mengundi bagi barisan kepemimpinan beliau yang didominasi golongan ulama.

Di sebalik sikap angkuh pemimpin-pemimpin mereka, telah didedahkan pada hari mengundi bahawa puak konservatif telah menyediakan 'cai' (menu undian) untuk mengenal pasti calon-calon dari dua kem pesaing – golongan konservatif yang disokong Hadi dan kem progresif yang menyokong lawannya, Ahmad Awang.

Dan sebelum mengambil alih kepimpinan parti, perwakilan-perwakilan sayap PAS Dewan Ulama juga sebulat suara meluluskan usul tergempar supaya parti itu memutuskan hubungannya dengan DAP.

Para pemerhati berkata yang taktik ini boleh menjadi tanda terdesak oleh kem Hadi untuk mengambil alih kawalan ke atas parti Islam dan membendung pengaruh saingan mereka yang semakin meningkat, atas nama "mengembalikan PAS ke perjuangan teras Islamnya.”

Usul Dewan Ulama itu kemudiannya diluluskan tanpa perbahasan oleh perwakilan pusat PAS, dan pada 11 Jun akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian melaporkan bahawa ia telah dilakukan di bawah arahan Hadi sendiri.
Sinar Harian memetik Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang mempengerusikan jawatankuasa usul muktamar ke-61, sebagai berkata bahawa usul itu sepatutnya dibahaskan, tetapi semasa mesyuarat itu Hadi mengarahkan beliau untuk meluluskan usul itu tanpa apa-apa perbahasan.

"Dalam mesyuarat itu, saya telah menyebut mengenai implikasi sama ada usul itu dibahaskan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, semua yang hadir bersetuju bahawa mereka mahu ia diluluskan tanpa perbahasan, jadi saya hanya mengikut arahan," kata ketua penerangan PAS itu.

Selain Abdul Hadi, mesyuarat itu juga telah dihadiri oleh penasihat rohani PAS Haron Din, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dan setiausaha agung Mustafa Ali.

Walaupun Mahfuz menjelaskan bahawa perwakilan masih mempunyai mandat untuk meminta usul itu dibahaskan, tiada siapa yang hadir – termasuk anggota Majlis Syura Ulama – telah mengemukakan cadangan itu kepada pengerusi muktamar itu.

Kekeliruan yang timbul di kalangan ahli PAS – khususnya penyokong pemimpin-pemimpin progresif – telah menjadi lebih buruk disebabkan oleh keengganan Hadi untuk memuktamadkan keputusan muktamar ini.

Pada 10 Jun, Hadi telah mempengerusikan mesyuarat pertama barisan jawatankuasa pusat PAS 2015-2018 yang baru, tetapi tiada keputusan telah dibuat mengenai status hubungan parti itu dengan DAP.

Malaysiakini sebaliknya memetik Tuan Ibrahim sebagai berkata yang telah diputuskan bahawa enam ahli PAS yang tidak berjaya dalam pemilihan parti baru-baru ini akan dibawa masuk ke dalam jawatankuasa pusat, dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada 21 Jun.

Mengenai keputusan muktamar ini, Tuan Ibrahim mengesahkan bahawa ia terlebih dahulu perlu dibincangkan oleh majlis syura, dan ahli-ahli yang dilantik bagi jawatan di Pulau Pinang dan Selangor mesti terus menjalankan tugas mereka "seperti biasa".

PAS mempunyai kira-kira 1,100 anggota yang memegang jawatan lantikan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, dan kira-kira 5,000 jawatan di Selangor.

Setakat ini, hanya Mat Sabu dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusuf Rawa yang dilaporkan telah meletak jawatan daripada semua jawatan kerajaan negeri selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga merupakan setiausaha agung DAP, berkata yang beliau kini "tidak dapat mempertahankan" tindakan membenarkan ahli-ahli PAS untuk bekerjasama dengan beliau.

Dalam sebuah kenyataan pada 11 Jun, Lim berkata lagi: "PAS tidak perlu bersembunyi sepertimana Perdana Menteri Najib Abdul Razak bersembunyi daripada (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad dalam isu skandal 1MDB, tetapi berani bertanggungjawab sepenuhnya kerana membunuh Pakatan Rakyat, apabila muktamar PAS meluluskan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP tanpa membahaskannya."

"Secara logiknya, PAS harus mengarahkan wakil-wakil kerajaan mereka untuk meletakkan jawatan-jawatan mereka kerana mereka bukan lagi sebahagian dari Pakatan," katanya.

Para pemerhati berkata arahan yang sama juga perlu diberikan kepada ahli-ahli PAS di Selangor, walaupun timbalan presiden PKR dan Menteri Besar, Azmin Ali menggesa kedua-dua parti ini supaya tidak mengheret beliau ke dalam permainan "kebudak-budakan" mereka.

Kerana Hadi telah menggunakan pengaruhnya untuk meluluskan keputusan kontroversi itu, beliau harus dipertanggungjawabkan ke atas sebarang gangguan dan kekeliruan di kalangan ahli-ahli partinya, dan juga pentadbiran negeri-negeri yang dipimpin Pakatan.

Keberanian dan kejujuran adalah sifat yang perlu dimiliki seseorang pemimpin yang dihormati.

Maka adalah malang bagi Hadi untuk dilihat bersembunyi di sebalik Majlis Syura Ulama yang berpengaruh, sama seperti langkah "Keputusan Kabinet" Najib dalam skandal 1MDB.

Malah, Hadi mungkin akan menjerumuskan parti Islam itu dan Pakatan ke dalam kegawatan yang jauh lebih besar, daripada mengembalikan apa-apa kepada PAS dan memperkukuhkan parti itu seperti dakwaan beliau.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Hadi-mesti-bersikap-tegas-untuk-memperkukuhkan-PAS#sthash.9aqzhiem.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-