Saturday, July 25, 2015

The Edge, rakan saya kini jadi sasaran, kata Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis sempena sambutan hari jadi beliau anjuran ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Putrajaya menggantung lesen penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily berhubung laporan skandal dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai satu bentuk tapisan.

"Sudah tentu kita perlu membuat tapisan," kata Dr Mahathir dalam video temubual yang dimuat naik The Star Online.

"The Edge dan juga semua rakan saya kini menjadi sasaran, saya tidak tahu mengapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sempena sambutan hari jadi beliau di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang mencapai usia 90 tahun baru-baru ini tidak menjelaskan siapakah rakan yang dimaksudkannya itu, tetapi rakan beliau yang lantang mengkritik salah urus tadbir 1MDB adalah termasuk bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin dan bekas pengarang New Straits Times Datuk A Kadir Jasin.

Kadir, yang turut hadir pada majlis hari jadi anjuran ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan itu, dilapor mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri mempunyai alasan yang kukuh berhubung penggantungan tiga bulan ke atas lesen penerbitan The Edge, menurut The Star Online.

"Kita perlu melihat sama ada tindakan ini adalah berasas atau secara spontan. The Edge berkata ia akan mencabar perkara itu di mahkamah. Ini adalah satu-satunya jalan keluar," katanya.

The Edge berkata ia akan memfailkan semakan kehakiman terhadap perintah penggantungan itu Isnin ini.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily selama tiga bulan mulai 27 Julai.

Awal bulan ini, The Edge menerima surat tunjuk sebab di mana kementerian memberinya tujuh hari untuk menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

The Edge dituduh menerbitkan artikel mengenai 1MDB, syarikat pelaburan negara milik kerajaan, yang dikatakan menimbulkan kekeliruan dan keraguan tentang institusi kewangan dan kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dikaitkan dengan skandal itu, dengan wang daripada entiti berkaitan 1MDB didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau tidak menjawab dakwaan itu secara langsung tetapi hanya menafikan mengambil dana untuk "kepentingan peribadi".

Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat, yang lantang mengkritik hutang ditanggung 1MDB dan pembaziran di bawah pentadbiran Najib, secara terbuka menggesa peletakan jawatan perdana menteri itu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/the-edge-rakan-saya-kini-jadi-sasaran-kata-dr-mahathir#sthash.AZC1zRYz.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-