Sunday, September 29, 2024

'Saya sedia ke mahkamah pertahan Islam, Melayu' - Dr Akmal

bhnews.bh.com.my
Oleh Amir Mamat
September 29, 2024
Dr Muhamad Akmal pada sidang media selepas selesai memberi keterangan di IPD Jasin, hari ini. - Foto NSTP/AMIR MAMAT

JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata beliau tidak gentar untuk memberi keterangan di mahkamah berkaitan isu yang membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

Katanya, dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan keagamaan adalah persepsi negatif dibangkitkan DAP yang membangkitkan kemarahan orang Islam di negara ini.

"Itu adalah perkara yang sangat sensitif dan kita sudah mengingatkan banyak kali sekiranya mahu menjaga keharmonian di negara ini, perkara yang sensitif tidak boleh disentuh langsung.

"Dalam hal ini, kita serah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan baik dan kita sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa itu," katanya selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Keterangan kira-kira 45 minit itu turut diiringi beberapa peguam peribadi dan Pemuda UMNO.

Lebih 200 penyokong termasuk dalam kalangan ahli dan pemimpin Pemuda UMNO Melaka, ahli UMNO Jasin serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir memberikan sokongan kepada Ketua UMNO Bahagian Jasin itu.

Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka dipanggil memberi keterangan berhubung satu laporan polis oleh DAP Sarawak mengenai dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur keagamaan dan hasutan.

DAP Sarawak membuat satu laporan polis pada 12 September lalu berhubung kenyataan berbaur keagamaan yang didakwa dikeluarkan oleh Dr Muhamad Akmal.

Laporan itu didakwa dibuat selepas mendapati kenyataan Dr Muhamad Akmal boleh menyebabkan perpecahan antara kaum di Malaysia termasuk di Sarawak.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal, berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis serta Pejabat Peguam Negara jika kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

"Jika Peguam Negara kata kes itu dibawa ke mahkamah, kita bersedia untuk lawan di mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-