Friday, August 14, 2015

Akar umbi tak puas hati, cari cara baharu kecam Najib

OLEH MD IZWAN DAN MOHD FARHAN DARWIS
Beberapa ahli Umno di peringkat cawangan cuba mencadangkan usul mengembalikan semula pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun depan, serta mendesak tindakan tegas diambil terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Ogos, 2015.

Ketika perhimpunan Umno akar umbi makin panas, ahli yang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Najib Razak mencuba cara baru mengecam perdana menteri itu, yang ketika ini berjuang melawan cabaran yang paling sukar didepaninya sebagai presiden Umno.

Beberapa ahli di peringkat cawangan, paling rendah dalam hierarki parti, cuba mencadangkan usul untuk mengembalikan semula pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan tetapi kini ditangguhkan.

Sekiranya usul itu diterima, kedudukan presiden boleh dicabar dan mungkin dikalahkan, sebelum Umno menyertai pilihan raya umum akan datang pada 2018.

Begitu juga, ada yang membentangkan usul mendesak tindakan tegas diambil terhadap Najib dengan harapan inisiatif ini akan dibawa ke perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur akhir tahun ini.

Bagaimanapun, dengan pengaruh yang dimiliki Najib ke atas 191 ketua bahagian parti itu – pemimpin politik peringkat pertengahan yang bertanggungjawab menguruskan akar umbi parti – banyak daripada langkah itu akan dapat disekat sebelum ia menjadi ancaman sebenar.

Di Bahagian Kota Raja misalnya, seorang ahli mengemukakan usul bagi mengadakan semula pemilihan parti tahun depan, kata timbalan ketua bahagian Mohd Hamidi Abu Bakar.

Hamidi bersetuju dengan cadangan itu, tetapi oleh kerana pemimpin tertinggi bahagian itu tidak membuka usul itu untuk diundi supaya boleh diguna pakai atau ditolak, usul itu dibiarkan tergantung.

Bagi Hamidi, tempoh dua tahun mencukupi bagi akar umbi menilai pemimpin mereka.

"Bagi saya, usul tersebut itu bagus, cukuplah masa untuk akar umbi menilai ketua bahagian atau pemimpin tertinggi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jun lalu, Najib mengumumkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan akan ditangguhkan selama 18 bulan.

Pengumuman itu dibuat sebelum Najib menggugurkan timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet, keputusan yang tidak popular di kalangan akar umbi.

Usul serupa dibawa dalam mesyuarat bahagian di Batu Sapi, Sabah dan Tenggara, Johor.

Jafar Mustapha, salah seorang ketua cawangan di Bahagian Batu Sapi berkata, usul pemilihan semula diadakan juga dibawa semasa mesyuarat bahagian pada hujung minggu lalu.

"Pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno pusat dan bahagian perlu diteruskan pada tahun hadapan untuk menilai sejauh mana kepercayaan ahli akar umbi dan perwakilan seluruh Malaysia," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jafar berkata keputusan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan tidak lagi relevan dalam keadaan politik parti ketika ini.

Katanya, usul tersebut dibawa peringkat cawangan ke mesyuarat bahagian, namun belum ada keputusan muktamad sama ada akan diluluskan atau tidak.

"Saya ketua cawangan, mudah bawa usul untuk tegur pemimpin, tetapi pemimpin bahagian belum tentu akan luluskan usul tersebut," katanya.

Dalam pada itu, usul sama mendesak pemilihan diadakan semula yang dibawa akar umbi bahagian Tenggara ditolak atas alasan teknikal," kata AJK Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh.

Perlembagaan Umno tak benarkan presiden dikecam

Langkah untuk mengecam presiden itu muncul akibat rombakan Kabinet yang dilakukannya, cara beliau mengendalikan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kontroversi RM2.6 bilion sumbangan derma yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Pada mesyuarat bahagian Kluang minggu lalu, cawangan Taman Datuk Amar Diraja membentangkan usul supaya parti "bertindak secara agresif terhadap Najib" jika presiden itu tidak menyelesaikan isu yang tersebut di atas.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Mad Jais Sarday percaya akar umbi parti harus dibenarkan menyuarakan pandangan tidak kira berapa lantang sekalipun.

Tetapi pada masa sama, beliau berkata, usul tidak percaya hanya akan memudaratkan parti.

"Kita tidak boleh hendak tahan ahli daripada menyuarakan pandangan mereka... Kalau ada ahli parti yang mempunyai pandangan, saya galakkan mereka menyalurkannya melalui persidangan," katanya.

Beliau juga menafikan kemungkinan Umno Johor akan membawa usul undi tidak percaya kepada Najib pada perhimpunan agung parti hujung tahun ini walaupun ramai ahli akar umbi yang tidak bersetuju dengan pemecatan Muhyiddin, pemimpin paling kanan di negeri itu.

"Sekarang ini tidak (bawa usul undi tidak percaya)... kita hendak selesaikan masalah. Kalau undi tidak percaya ini dibuat, ia akan melemahkan parti," kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota itu yang juga exco Pendidikan, Penerangan, Koperasi, dan Pembangunan Usahawan Johor.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti Datuk Abdul Aziz Kaprawi bagaimanapun mengatakan, Perlembagaan Umno tidak membenarkan usul undi tidak percaya dilakukan terhadap presiden.

"Tidak boleh sewenang-wenangnya buat undi tidak percaya dalam Perhimpunan Agung Umno. Perlembagaan parti tidak membenarkan itu. Kalau boleh, sudah lama dah jadi," katanya.

Sebagai contoh, apabila ahli mahu mencabar bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka lakukannya melalui pemilihan parti, bukan melalui usul undi tidak percaya.

Beliau berkata, sekiranya usul undi tidak percaya dibenarkan untuk di bawa terhadap presiden, sudah pasti usul berkenaan akan dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pemerintahan beliau dalam parti itu.

"Kalau hendak ubah, ia melalui pemilihan. Sebab itu kita putuskan untuk tangguhkan pemilihan, nak mengelakkan perkara begini terjadilah," kata ahli Parlimen Sri Gading itu. – 14 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-tak-puas-hati-cari-cara-baru-kecam-najib#sthash.aBznVUXq.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-