Thursday, September 3, 2015

Lagi kilang ditutup, kali ini CCM Fertilizers di Shah Alam

CCMF berkata, penutupan itu berikutan keadaan pasaran negatif yang berlarutan, kemerosotan permintaan baja amonia nitrat (AN) dan perubahan di sekitar kilang sekali gus tidak lagi menyediakan suasana kondusif bagi pembuatan baja. - Foto Abdul Rasyid
KUALA LUMPUR, 3 September:

CCM Fertilizers Sdn. Bhd. (CCMF) menutup operasi kilang pembuatan di Shah Alam seterusnya menjejaskan sebanyak 232 pekerja kilang terbabit.

Utusan Malaysia melaporkan CCMF berkata, penutupan itu berikutan keadaan pasaran negatif yang berlarutan, kemerosotan permintaan baja amonia nitrat (AN) dan perubahan di sekitar kilang sekali gus tidak lagi menyediakan suasana kondusif bagi pembuatan baja.

Katanya, langkah penurunan ni­lai aset akan menelan kos kira-kira RM30 juta dan penutupan kilang dijangka selesai pada 30 Jun 2016.

Kata CCME, bekalan bagi produk Cock’s Head Brand (CHB) mencukupi dan pihaknya memberi jaminan tidak akan ada gangguan bekalan dalam pasaran.

“Tidak akan ada sebarang perubahan dalam pembekalan produk CHB kerana pembuatan baja urea akan diteruskan di kilang CCMF di Lahad Datu, Sabah dan Bintulu, Sarawak.

“Bekalan baja AN akan ditampung menerusi penyumberan luar kepada pengeluar pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan.

CCMF ialah anak syarikat CCM Agri-Max Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCMB).

Menurut CCMF, seramai 232 pekerja kilang yang terjejas disebabkan penutupan kilang itu akan diberikan pakej pembayaran pemberhentian berdasarkan pasaran.

“Kami amat sedih kerana operasi perniagaan tidak dapat diteruskan yang menyebabkan kami tidak ada pilihan lain hingga terpaksa mengambil keputusan ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami di atas khidmat mereka selama ini. Kami akan menyediakan khidmat kaunseling dan membantu mencari peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/bisnes/2015/09/03/lagi-kilang-ditutup-kali-ini-ccm-fertilizers-di-shah-alam/#ixzz3kdiEtq6w

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-