Saturday, September 5, 2015

Najib tidak akan pecat Muhyiddin

FMT Reporters | September 5, 2015

Penggantungan keahlian menyebabkan beliau hilang hak untuk melakukan tugas sebagai Timbalan Presiden Parti
PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 9 September ini dikatakan hanya akan menggantung keahlian Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukannya memecat.

Penukaran itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek khususnya bagi mengelak keadaan dalamannya menjadi lebih buruk.

Mengulas mengenainya, bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju, Shahbudin Husin berpendapat Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib terpaksa memilih salah satu hukuman terhadap timbalannya demi kelangsungan beliau dalam politik.

“Bagaimanapun, kiranya tiada tindakan diambil, ia akan berterusan memberi gangguan dan ketidakselesaan kepada Najib dalam memperkuatkan dirinya.

“Muhyiddin tentu saja akan terus bercakap dan mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan Najib dan ini menyebabkan rakyat serta ahli UMNO tertarik untuk membuat perbandingan antara kedua mereka.

“Oleh itu, menyingkirkan Muhyiddin memang tidak dapat dielakkan bagi memberi keselesaan kepada Najib,” tulisnya di shahbudindotcom.blogspot.com.

Katanya, dalam hal berkenaan Najib juga mendapat sokongan penuh daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Shahbudin melihat apa yang dilakukan sebahagian daripada permainan strategi Naib Presiden UMNO itu untuk mengukuhkan kedudukan sekiranya Perdana Menteri terpaksa meletak jawatan.

“Selain dapat memperkukuh kesetiaan kepada Najib, Zahid dalam hal ini turut sedang menahan lukah untuk kepentingannya sendiri,” kata Shahbudin.

Jika benar telahan yang dibuat Muhyiddin akan digantung keahliannya, ia bermakna cara perlahan-lahan sedang dilakukan untuk menyingkirkannya daripada parti.

Beliau masih berada dalam UMNO tetapi tidak lagi menjalankan tugas sebagai orang nombor dua.

Sepanjang tempoh pengantunggan, beliau tidak boleh menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi, tidak lagi mempengerusikan Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan UMNO serta hilang hak merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri setiap tahun.

“Meskipun hukuman penggantungan itu kelihatan lebih lunak berbanding pemecatan, kesan sebenarnya adalah sama saja iaitu kedua-duanya menyebabkan Muhyiddin hilang peranan sebagai pemimpin nombor dua sehingga pilihanraya umum dan pemilihan UMNO yang akan datang.

“Ia bukan saja bermakna Muhyiddin dipasung daripada segala kegiatan parti, malah tidak mungkin dipilih lagi bertanding sebagai calon BN di Pagoh dalam pilihanraya nanti serta kehilangan pengaruh untuk terus mengekalkan jawatannya dalam UMNO.

Menurut Shahbudin, sama ada pecat atau gantung, ia memberi kesan yang sama kepada Muhyiddin dan ia dilihat kejayaan bagi Najib mengenepikan musuhnya sama ada dalam parti dan kabinet.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-