Di bawah ialah kenyataan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan :
Saya dan seluruh rakyat Malaysia amat sedih ekoran kes-kes kematian yang berlaku di konsert Future Music Festival Asia.
Mereka sudah tentunya mempunyai masa depan yang cerah, jika kehidupan mereka tidak berakhir begitu.
Oleh kerana kematian mereka sudah dikaitkan dengan kes dadah berlebihan, saya amat berharap agar pihak polis dapat mengesan dan menangkap pihak yang menjual dadah ini, khususnya dalam insiden Future Music Festival Asia sehingga mengakibatkan kematian.
Sindiket-sindiket ini tidak boleh dilepaskan.
Dalam hal ini, saya mengingatkan warga belia agar tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan dadah tidak kira untuk sebarang tujuan.
Saya sedar terdapat individu yang bukan sahaja mengambil dadah rekreasi (recreational drug) semasa mengunjungi kelab-kelab malam atau pesta muzik berbentuk electronic dance music atau trance, tetapi mereka juga sudah ketagih kepada dadah yang membolehkan mereka berjaga untuk berhari-hari semata-mata untuk kerja atau pembelajaran.
Saya ingin menasihatkan semua warga Malaysia terutama belia agar sedar bahawa penyalahgunaan dadah adalah salah di sisi undang-undang dan akhirnya membawa padah kepada diri sendiri dan orang tersayang.
Kalau bukan diakhiri dengan kematian, penyalahgunaan dadah akan mengakibatkan kemerosatan kepada kesihatan tubuh badan yang mungkin kesan-kesannya hanya akan dirasa beberapa tahun kemudian.
Pada masa yang sama, saya telah berbincang bersama Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk sama-sama menangani gejala ini.
Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah KDN seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia dan juga NGO-NGO lain untuk mengadakan kempen kesedaran kepada warga belia tentang betapa bahayanya dadah sebegini.
Saya juga akan berbincang dengan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Wilayah Persekutuan serta KDN untuk mengetatkan lagi peraturan-peraturan serta kriteria penganjuran dan pemberian permit untuk konsert-konsert pada masa depan.
Kami akan mengkaji setiap aspek penganjuran agar konsert dalam negara pada masa depan bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah dan maksiat.
Kita tidak boleh membiarkan kejadian ini berlalu begitu sahaja dengan potensi untuk berulang.
Berkenaan pula dengan FMFA, ada beberapa tuduhan yang tidak berasas yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Ini termasuk mengaitkan saya dengan pengajur.
Ini langsung tidak benar. Penganjur FMFA pernah datang pejabat saya untuk memaklumkan kepada saya tentang konsert FMFA.
Mereka minta untuk menyewa perkarangan Stadium Bukit Jalil.
Saya kata jika mereka mendapat semua kelulusan permit yang diperlukan, mereka boleh mohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Apabila PSM menyewa premis kepada mana-mana penganjur, aspek keselamatan adalah tanggungjawab penganjur.
Itulah sebab saya perlu bincang perkara ini dengan kementerian-kementerian yang lain yang terlibat dalam pemberian permit supaya satu dasar dapat dipersetujui agar insiden yang berlaku di FMFA tidak berulang.
Menteri Belia dan Sukan
17 Mac, 2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.