Saturday, June 7, 2014

Menteri kate GST turunkan harge barang.........betul ke?

Pakar ramal harga barang, inflasi naik

SITI ZUBAIDAH MAT ISA

Pihak berkuasa perlu memantau harga barang agar tidak bebankan pengguna.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pakar ekonomi tidak menafikan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 bakal mengakibatkan kenaikan kadar inflasi negara dan secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga barangan.

Ketua Penyelidikan Ekonomi, Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias berkata, kenaikan juga bakal berlaku pada sektor makanan dan minuman.

“Sebagai contoh, difahamkan ketika ini terdapat kurang 5,000 restoran di seluruh negara mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) iaitu sebanyak enam peratus. Bagaimanapun sebaik GST dilaksanakan bilangan restoran yang mengenakan cukai GST dijangka meningkat kepada 15,000.

“Begitu juga dengan kenaikan harga barangan. Sebagai contoh, buat masa ini terdapat 40 peratus jenis barangan dan perkhidmatan di senaraikan di bawah Indeks Harga Pengguna (IHP).

Jumlah peratusan ini dijangka meningkat sehingga 70 peratus sebaik GST dilaksanakan.

“Ini bermakna lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikenakan GST. Mahu atau tidak harga barangan akan naik dan pengguna tetap perlu membayarnya (cukai) ,” katanya kepada Sinar Harian.

IHP merupakan kaedah yang digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi. IHP mengukur harga purata barang-barang dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh isi rumah pada tempoh masa yang ditetapkan.

Menurut Suhaimi, masalah kenaikan harga adalah perkara biasa dalam konteks negara yang mengamalkannya, di mana kadar inflasi akan meningkat pada tempoh tahun GST diperkenalkan.

“Dalam situasi ini, amat penting kerajaan memantau dan melakukan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga keterlaluan demi mengaut keuntungan berlebihan dengan menggunakan alasan GST.

“Ia salah dan tidak betul kerana setiap pengeluar, pemborong, pembekal dan peruncit boleh membuat tuntutan dalam bentuk cukai kepada kerajaan. Jadi tidak timbul isu pembekal perlu menaikkan harga barangan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut mengambil langkah membantu golongan berpendapatan rendah dengan memberi pengecualian kepada sektor-sektor tertentu seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan. Selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu mengenai penerangan GST kepada rakyat, Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Faridah Hassan berkata, rakyat perlu diberi penerangan yang jelas bagi memastikan mereka memahami langkah yang bakal dilaksanakan.

"Sesetengah mereka beranggapan ia adalah bentuk cukai baru sedangkan ia menggantikan sistem SST semasa. Di sebabkan itu, ramai pengguna percaya bahawa pengenalan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan secara menyeluruh.," katanya.

Katanya, kerajaan perlu memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat mengenai kesan sebenar GST ke atas harga dan jenis-jenis barangan sama ada berkadar sifar, dikecualikan cukai atau dikenakan cukai.

"Selain daripada memberi penerangan, kerajaan perlu menyediakan panduan untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai kesan perubahan harga sebenar apabila barang atau perkhidmatan terbabit dikenakan GST," katanya.

Bagaimanapun, rakyat tetap mendapat manfaatnya dengan menikmati harga lebih murah untuk pelbagai jenis barang kerana GST lebih rendah dari SST.

"GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian serta makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat. Sebenarnya, GST berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM 4 bilion bagi semua sektor perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-