Thursday, August 21, 2014

Mahathir takkan diam selagi Najib belum disingkir

(Azuan Ab Rahman)

KUALA LUMPUR 20 OGOS: Krisis di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan terus berpanjangan selagi Presiden Umno itu tidak disingkirkan daripada tampuk kuasa.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Yahya Sahri berkata, Mahathir tidak sekadar membuat kritikan keras terhadap Najib kerana kelemahan pentadbiran, tetapi berusaha mengukuhkan kedudukan anaknya di dalam Umno.

“Tindakan Mahathir ini ibarat serampang dua mata dan ada kena mengena dengan kedudukan anaknya, Mukhriz.

“Mahathir sedar Najib mahu sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi penggantinya sebagai Perdana Menteri, tetapi dalam masa sama Mahathir juga mahu anaknya menyambung legasi pentadbirannya.

“Saya yakin, sudah pasti Mahathir yang lantang mengkritik itu tidak akan duduk diam sehingga Najib dapat disingkirkan,” jelas Yahya.

Terdahulu, Dr Mahathir di dalam blognya baru-baru ini menarik balik sokongan kepada Najib yang dilihat membuka semula ruang kepada perbalahan dan krisis dalam Umno.

Beliau juga mengkritik dasar dan tindakan Najib yang menurutnya tidak berkesan dan lebih lemah berbanding pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Susulan itu, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) meminta bekas presiden Umno itu menghentikan ‘perang dingin’ secara terbuka dengan Perdana menteri ke enam.

Bagaimanapun, beberapa blogger Umno yang dilihat lantang sebelum ini, tetap mempertahankan kritikan Mahathir. Antaranya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menyifatkan kritikan Mahathir itu sebagai ikhlas dan menyeru pemimpin Umno supaya berlapang dada’.

Seorang lagi blogger Umno, Zaharin Mohd Yassin atau lebih dikenali sebagai ‘Sang Kelembai’ antara lain menulis kritikan terbuka Mahathir bukan sahaja kepada pentadbiran Najib, tetapi juga Majlis Tertinggi (MT) Umno secara keseluruhan.

Setiausaha Umno Bandar Tun Razak itu, dilapor berkata, seluruh MT Umno wajar memahami bahawa kritikan tersebut sebenarnya ditujukan kepada mereka selaku pemutus dasar parti.

Mengulas lanjut, Yahya berkata, masih terdapat ramai pemimpin Umno, termasuk blogger mereka yang tidak menyatakan pendirian berhubung kritikan Mahathir kerana mahu ‘bermain selamat’.

“Dalam krisis ini, siapa sahaja boleh menang, sama ada Mahathir atau Najib sendiri. Ramai pemimpin Umno dan Blogger umno bertindak mendiamkan diri bagi memastikan periuk nasi mereka tidak terjejas,” kata Yahya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-