KUALA LUMPUR, 23 NOV: DAP menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan kewibawaannya dengan membuat kenyataan menteri di Parlimen Isnin ini berhubung skandal 1MDB.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam isu terbabit jelas bertujuan untuk mengelakkan diri, sekaligus menunjukkan kepada umum sikapnya yang tidak bertanggungjawab.
“Najib tidak harus memberikan contoh yang buruk kepada menteri lain dengan melarikan diri dari melaksanakan tanggungjawabnya. Beliau harus membuat kenyataan menteri di Parlimen bagi persoalan mengenai skandal 1MDB.
“Beliau wajar menjawab 11 persoalan yang masih kekal menjadi misteri dalam skandal berbilion ringgit ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
11 persoalan dibangkitkan Kit Siang antaranya merangkumi persoalan mengapa kerajaan mengeluarkan ‘surat sokongan’ bagi bon 1MDB bernilai USD3.0 bilion yang dikeluarkan pada Mac 2013, pembayaran purata lebih 10 peratus sebagai ‘komisen tertentu, bayaran dan perbelanjaan’ untuk mendapatkan pinjaman berjumlah USD3 bilion dan USD1.75 bilion pada Mei 2012.
“Saya juga ingin tahu mengapa 1MDB mengalihkan USD1.1 bilion daripada USD3 bilion diperoleh anak syarikatnya, 1MDB Global Investment Limited untuk membayar balik hutang sendiri dan menampung perbelanjaan operasinya?
“Mengapa 1MDB bersetuju menerima jaminan pinjaman korporat korporat oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan syarat membebankan?
“Apakah sebabnya 1MDB melabur USD1 bilion dalam usaha sama dengan PetroSaudi pada 2009, sebuah syarikat tanpa rekod prestasi dan latar belakang yang meragukan?
“Mengapa 1MDB melabur USD2.32 bilion hasil daripada penebusan pinjaman PetroSaudi pada tahun 2013 dalam dana pelaburan diragui dengan Brigde Capital Partners di Kepulauan Cayman?,” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Kit Siang turut menggesa Najib mengatur perdebatan penuh di Parlimen pada kenyataan menterinya dalam isu terbabit.
“Walaupun sidang belanjawan parlimen berakhir 27 November ini, ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi dan Lembaga Penasihat 1MDB apabila lari dan mengelak dari menjawab soalan yang begitu banyak,” ujarnya. -Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.