Showing posts with label 1MDB. Show all posts
Showing posts with label 1MDB. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Anwar kena jawab 1MDB gugur saman terhadap Riza - aktivis

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 8:43 PM
Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, perlu memberi penjelasan mengenai keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman sivil terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dan syarikat Red Granite, kata peguam Charles Hector.

Memandangkan 1MDB dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), Hector menuntut Anwar menjelaskan keputusan itu dan melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan.

"Tanggungjawab terletak pada menteri kewangan, perdana menteri dan kabinet kerana ini syarikat milik kerajaan, bukan sekadar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerajaan hanya memiliki sebahagian saham.

"Anwar Ibrahim mungkin seorang perdana menteri yang ‘paling pemaaf’, dan dia boleh memaafkan tindakan orang lain yang hanya menjejaskan dirinya secara peribadi – seperti dia memaafkan bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, kerana memberinya ‘mata lebam’.
"Tetapi jenayah Najib, isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza dan timbalan perdana menteri sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, adalah jenayah terhadap rakyat Malaysia. Jadi, Anwar, walaupun seorang ‘sahabat baik’, harus bertindak untuk Malaysia – dan rakyat Malaysia masih belum memaafkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia turut mencadangkan supaya jawatankuasa pilihan khas parlimen menyiasat keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman terhadap Riza.
Untuk rekod, Riza dan Zahid sebelum ini telah dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) dalam kes jenayah terhadap mereka.

Dalam kes Riza, DNAA itu merupakan sebahagian daripada perjanjian pada tahun 2020 yang memerlukan dia memulangkan berjuta-juta ringgit.

Bagaimanapun, Najib dan Rosmah masih berdepan beberapa kes mahkamah yang sedang dibicarakan.


Sementara itu, Hector berpendapat penjenayah tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja hanya kerana mereka memulangkan hasil jenayah mereka. Ini, katanya, hanya boleh dianggap sebagai faktor mitigasi bagi mahkamah dalam mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

Dia juga menyoal jika wang yang didakwa diseleweng oleh Riza benar-benar telah dikembalikan.

Kes Riza Aziz dan Red Granite

Pada tahun 2019, Riza didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa menerima dana yang diselewengkan daripada 1MDB melalui akaun bank Red Granite.

Red Granite syarikat penerbitan Hollywood yang diasaskannya, yang menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street" dan "Dumb and Dumber Too".

Bagaimanapun, kesnya digugurkan pada tahun berikutnya dengan syarat dia mengembalikan dana tersebut. Jika gagal, pihak pendakwaan berhak untuk mendakwanya semula.

Namun, pada tahun 2021, 1MDB dan anak syarikatnya sekali lagi memfailkan saman sivil terhadap Riza, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited.

Mereka mendakwa Riza dan dua syarikatnya menerima dana sebanyak AS$248 juta (sekitar RM1.09 bilion) yang disalahgunakan untuk keuntungan peribadi, termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah mewah.

Bagaimanapun, saman tersebut ditarik balik pada Isnin tanpa sebarang alasan diberikan di mahkamah terbuka.

Penarikan saman itu dibuat seminggu selepas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zamri Zainul Abidin, memberi keterangan bahawa Riza dan peguamnya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mencapai penyelesaian global untuk mendapatkan semula dana AS$248 juta.

[Baca berita asal]

Thursday, January 30, 2025

Najib layak dapat peluang seperti orang lain, kata NGO antirasuah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 30, 2025 12:15 PM
Isu mengenai titah adendum yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah terus mendapat perhatian apabila sebuah NGO menyatakan dia berhak diberi peluang menebus kesilapannya.

Menggesa semua pihak menghormati proses berkaitan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu, Malaysian Corruption Watch (MCW) berkata Najib harus diberikan peluang sama seperti orang lain.

“Walaupun kita berpegang teguh kepada usaha memerangi rasuah, kita juga mesti patuh dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan kita,” kata Presiden MCW, Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sumbangan besar Najib selaku bekas perdana menteri juga tidak boleh dinafikan.

Jais berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan pertubuhan masyarakat sivil berhubung pengurangan hukuman terhadap Najib.

Semalam, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mengecam kemungkinan Najib menjalani baki hukumannya di rumah, dengan menyifatkannya sebagai “kelonggaran yang tidak wajar”.

Pertubuhan itu juga mengkritik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang dilihat kurang komited dalam melaksanakan reformasi dan menunjukkan simpati terhadap mereka yang terlibat dalam kes rasuah, yang disifatkan sebagai membimbangkan.
Kumpulan terbabit juga menegur Anwar kerana mempertahankan keputusan untuk meberi pengampunan terhadap Najib, dengan mengatakan perdana menteri tidak sepatutnya menunjukkan simpati terhadap jenayah sebesar itu.

Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum bagi membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.

Titah itu merupakan tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib kepada hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM50 juta.

Najib dihukum penjara setelah disabit bersalah atas dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang dilanda skandal.

Wednesday, January 22, 2025

Amalan biasa bagi peguam negara beri taklimat kepada PM, kata Najib

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jan 22, 2025 1:15 PM
BICARA 1MDB l Najib Razak dalam keterangannya hari ini memaklumkan bahawa adalah amalan biasa bagi peguam negara (AG) untuk memberi taklimat kepada perdana menterimengenai kes berkepentingan awam.

Bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya hari ini bagi menolak tuduhan pendakwaan bahawa dia cuba campur tangan dalam siasatan 1MDB melalui panggilan telefon pada tahun 2016 kepada timbalan pendakwa raya ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Najib memberikan penjelasannya semasa perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan penyelwengan dana RM2.27 bilion 1MDB terhadap dirinya. Peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah, sedang menjalankan pemeriksaan semula.

Shafee: Adakah biasa bagi seorang peguam negara atau mana-mana timbalannya yang diberikan tugas untuk memberi taklimat kepada perdana menteri dari semasa ke semasa mengenai kes berkepentingan awam?

Najib: Ya, itu adalah amalan biasa, tetapi kami sedar untuk tidak campur tangan dalam tindakan pendakwa raya dalam kes berkepentingan awam.

Shafee: Adakah Datuk Seri boleh memberi arahan tertentu kepada Peguam Negara atau Pendakwa Raya berkaitan kes jenayah?

Najib: Tidak.
Muhammad Shafee Abdullah
Semalam, semasa pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa tidak wajar bagi perdana menteri ketika itu, Najib, untuk berbual dengan Dzulkifli berkenaan siasatan 1MDB.

Semasa pemeriksaan semula oleh Shafee hari ini, Najib mengimbas kembali insiden di mana bekas menteri pengangkutan, Ling Liong Sik, didakwa di mahkamah berdasarkan keputusan peguam negara (AG), tetapi perdana menteri ketika itu tetap dipersalahkan secara tidak adil.

"Malah, saya baru teringat ada ketika seseorang didakwa dan saya yang dipersalahkan, walaupun itu keputusan AG. Saya tidak campur tangan, tetapi saya tetap dipersalahkan sebagai perdana menteri ketika itu.

"Liong Sik didakwa, itu adalah keputusan (bekas AG) Gani (Patail), tetapi saya yang dipersalahkan. Sejak itu, saya dan Ling tidak lagi bercakap," kata Najib.
Najib merujuk kepada insiden pada tahun 2010 ketika Ling didakwa di mahkamah berhubung tuduhan penipuan yang dikaitkan dengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), satu skandal bernilai berbilion ringgit.

Namun, Ling telah dilepas dan dibebaskan pada tahun 2013.

Kes prima facie

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada dana kekayaan berdaulat 1MDB.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Hakim memutuskan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan keterangan 50 saksi semasa peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.

Wednesday, October 30, 2024

Skandal 1MDB: Komunikasi antara saksi dan individu gagal dikesan boleh diterima: mahkamah

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
bhnews@bh.com.my
Oktober 30, 2024 @ 10:42am
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mendapati komunikasi lisan di antara saksi utama dan individu yang sehingga kini gagal dikesan dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Saksi berkenaan adalah bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu.

Hakim Datuk Collin Sequerah berkata, pembelaan menghujahkan saksi ini memberi keterangan bersifat dengar cakap kerana mereka mendakwa berkomunikasi dengan individu yang sehingga kini gagal dikesan.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak hadir pada hujahan akhir kes pendakwaan yang membabitkan penyelewengan dana 1MDB depan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi pada 2 Oktober lalu. - Foto NSTP/Aiman Hariz Azhar
Individu terbabit ialah iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (atau Jho Low), bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil (masih bebas) dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Mengenai isu keterangan dengar cakap ini, Sequerah berkata beliau mendapati komunikasi antara saksi dan individu terbabit dibuat dalam urusan seharian.

Selepas meneliti semua keterangan, Sequerah berkata beliau mendapati komunikasi lisan itu boleh diterima di mahkamah.

"Saya dapati keterangan saksi ini adalah konsisten dan mana-mana kredibiliti saksi ini kekal utuh," katanya.

Prosiding sedang berjalan.

Saturday, October 26, 2024

Permohonan maaf Najib: Pemimpin UMNO sifatkan Rayer hipokrit

bharian.com.my
Oleh Wartawan BH
bhnews@bh.com.my
Oktober 26, 2024 
Mohd Puad Zarkashi (kiri) dan RSN Rayer.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin UMNO menyifatkan Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer sebagai hipokrit berhubung kenyataannya terkait permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata permohonan maaf Najib adalah jelas, iaitu bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak dapat mengawal orang keliling yang menipu dan manipulasi kedudukannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

"Apakah ini tidak berlaku kepada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), Tun (Dr Mahathir Mohamad) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin)? Adakah Anwar memohon maaf atas kesalahan bekas Menteri PKR (Datuk) Dr Xavier (Jayakumar) yang rasuah.

"PMX (Anwar) kata tidak adil mengaitkan kes Farhash Wafa dengannya walaupun (Farhash) bekas Setiausaha Politik kepadanya. Anthony Loke juga tidak pernah minta maaf bila bekas ADUN Tronoh dari DAP didakwa kerana merogol. Maka siapa lebih 'gentleman'," katanya di Facebook beliau hari ini.

Mohd Puad berkata, Rayer tahu UMNO tetap akan membela Najib atas alasan beliau tidak mendapat perbicaraan adil dan pertuduhan terpilih.

Ketika ditemui media semalam, Anwar menyatakan menerima baik permohonan maaf yang dibuat Najib, berkait kes penyelewengan dana 1MDB itu.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, kelmarin Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Friday, October 25, 2024

Permohonan maaf bukti ‘Bossku’ diperdaya, kata Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
25 Oct 2024

Umno berkata kenyataan Najib Razak menunjukkan keperibadian luhur yang murni serta kecintaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat dan negara.
Dalam kenyataan semalam Najib Razak mengaku amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasannya.

PETALING JAYA: Permohonan maaf Najib Razak berkait skandal 1MDB membuktikan bekas perdana menteri diperdaya pihak tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan bagi meraih keuntungan atas tipu daya itu.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan itu juga menunjukkan keperibadian luhur Najib yang murni serta kecintaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat dan negara.

“Umno yakin kenyataan tersebut datangnya dari hati nurani yang suci dan tulus menzahirkan perasaan ikhlas Najib,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam kenyataan dibacakan anaknya, Nizar, perdana menteri keenam itu mengaku beliau amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasannya.

Najib juga kekal menyatakan beliau tidak bersalah, sebaliknya menyalahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu dibuat enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menerima baik permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Najib.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari lalu bersetuju memendekkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan denda dikurangkan separuh.

Thursday, September 19, 2024

Pendakwaan sangat bergantung pada keterangan dengar cakap, kata peguam Najib

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
19 Sep 2024, 04:15 PM

Shafee Abdullah berhujah keterangan beberapa saksi pendakwaan diperhitungkan untuk memudaratkan Najib Razak.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak dapat buktikan kes prima facie terhadap Najib Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kerana banyak bergantung pada keterangan dengar cakap daripada saksi utama, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Meneruskan penghujahannya pada penutupan kes pendakwaan, Shafee Abdullah selaku peguam bela berkata ini amat jelas dalam keterangan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang memberikan keterangan lima tahun lalu.

Beliau berkata keterangan saksi yang membabitkan tertuduh sebahagian besarnya tertumpu pada apa yang dikatakan oleh setiausaha sulit utama Najib, Azlin Alias, dan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, kepada Amhari.

Amhari dakwa Azlin dan Low bertindak bagi pihak Najib, tetapi Amhari tidak dapat mengesahkan kebenaran keterangannya kerana Azlin telah meninggal dunia manakala Low tidak diketahui di mana, kata Shafee.

Azlin terbunuh dalam nahas helikopter pada 2015, manakala Low masih bebas. Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Low.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya cari Low supaya pihak pendakwaan boleh mendakwa dia bersama Najib atau mennjadi saksi, katanya.

Shafee berhujah Amhari bukan saksi yang boleh dipercayai dan tidak punyai kredibiliti.

Semasa pemeriksaan balas, Amhari mengaku terima rasuah daripada Low, kata peguam itu, dan menambah Amhari berusaha untuk membebaskan diri daripada salah laku sambil menyalahkan Najib.

Shafee berkata keterangan sekurang-kurangnya empat saksi lain – bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo – turut mempunyai keterangan dengar cakap.

Sebahagian daripada keterangan mereka harus dihapuskan kerana ia tidak boleh diterima dan tidak termasuk dalam pengecualian dalam Akta Keterangan, katanya.

Shafee berkata keterangan saksi-saksi ini boleh dianggap khabar angin yang dahsyat, diperhitungkan untuk memudaratkan Najib.

Di manakah bukti langsung untuk mengatakan bahawa ia ada kaitan dengan anak guam saya? katanya.

Mereka mengatakan bahawa mereka dengar daripada Azlin bahawa Najib beri Low kuasa untuk bertindak dalam perkara 1MDB.

Shafee berkata mahkamah tidak seharusnya menolak peluang untuk memastikan kebenaran keterangan lisan yang dikemukakan saksi.

“Anak guam saya tidak diberi perbicaraan yang adil apabila keterangan khabar angin dikemukakan.

Pihak pendakwaan menawarkan saksi mereka (sekiranya dipanggil pihak pembelaan) tetapi kegagalan mereka memanggil saksi material menyebabkan terhadap lompang dalam kes mereka, katanya.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Wednesday, September 18, 2024

Siasatan terhadap Najib berat sebelah, 'selekeh' - Peguam

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 18, 2024 2:31 PM
BICARA 1MDB | Siasatan terhadap Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion adalah berat sebelah dan 'selekeh', kata peguamnya.

Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas perdana menteri itu didakwa sebelum SPRM selesai merekodkan keterangannya.

Peguam itu berhujah bahawa Najib didakwa pada 20 September 2018, ketika SPRM belum habis merakam keterangaqn tertuduh bagi membantu siasatan.

Wan Azwan menegaskan bahawa terdapat niat awal untuk mendakwa Najib, tanpa mengira hasil siasatan.

“Kami dengan hormat berhujah bahawa siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat (Nur Aida Ariffin) adalah teruk, berat sebelah, terpilih, selekeh dan tidak lengkap.

"Ini menyebabkan terdapat jurang bukti dalam kes pendakwaan dan menafikan hak tertuduh yang dijamin oleh perlembagaan untuk mendapat siasatan dan perbicaraan yang adil, satu prinsip asas yang termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata peguam itu.

Hadapi 25 pertuduhan

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib, 71, didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pada 30 Mei tahun ini, pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada penghujung 2018.

Prosiding kini berada di peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, dan hanya pasukan peguam dan pendakwa akan mmebuat rumusan terakhir berdasarkan bukti lisan dan bukti berdokumen.
Seramai 50 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa sebahagian daripada kumpulan dalang utama 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low). Pihak berkuasa masih menjejaki Low.

Pihak pendakwaan mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion wang yang diselewengkan daripada dana kekayaan berdaulat tersebut antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku yang berlaku dalam 1MDB dan jika ada sebarang kesalahan yang berlaku, ia sepenuhnya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana tersebut.

Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini menyatakan bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi berjanji untuk memberikan sumbangan kewangan kepada tertuduh bagi tujuan politik.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengetuai pihak pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Tuesday, September 17, 2024

Najib hadir ke mahkamah dengan kerusi roda

bharian.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
NAJIB Razak. FOTO Arkib NSTP.

Kuala Lumpur:
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mengalami sakit lutut kanan yang teruk, hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini dengan berkerusi roda.

Selasa lalu, Najib diberikan sijil cuti sakit (MC) selama dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami keradangan lutut kanan dan menerima rawatan ubat tahan sakit.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Najib diiringi pegawai penjara dengan dibawa menaiki kerusi roda ke bilik mahkamah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang kini berusia 71 tahun, bagaimanapun berjalan perlahan menggunakan tongkat ketika berada dalam mahkamah.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya Najib dibenarkan duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkannya meregangkan kaki.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah dimaklumkan oleh Perunding Ortopedik Kanan di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL Dr Siti Hawa Tahir bahawa Najib mengalami masalah lutut kanan dengan menerima rawatan ubat penahan sakit.

Menurut pegawai perubatan itu, Najib menerima rawatan ubat penahan sakit dikenali sebagai analgesik yang sangat kuat.

Katanya, keradangan akut pada lutut kanan Najib akan mengambil masa untuk sembuh dan boleh mengambil masa selama berhari-hari bahkan berminggu.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung petang.

Disiarkan pada: September 17, 2024 @ 2:51pm

Thursday, September 12, 2024

Najib masih dalam hospital, bicara 1MDB sambung 17 Sept

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
12 Sep 2024

Bekas PM itu diberikan cuti tambahan dua hari hingga esok agar dia dapat pulih.
Dilaporkan pada Selasa bahawa perbicaraan ditangguhkan kerana Najib Razak dimasukkan ke hospital disebabkan sakit lutut dan diberi cuti sakit dua hari. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi tidak diteruskan minggu ini kerana bekas perdana menteri itu masih berada di hospital untuk rawatan lututnya.

Perunding kanan ortopedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siti Hawa Tahir berkata, Najib diberikan cuti tambahan dua hari, berakhir esok, agar dia dapat pulih.

Siti Hawa juga berkata, Najib mengalami gangguan tidur (sleep apnea) dan preskripsi ubatnya berisiko tinggi. Akibatnya, katanya, Najib tidak mampu menghadiri perbicaraan untuk minggu ini.

Apabila ditanya oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai keadaan mental Najib sekarang, Siti Hawa berkata, Najib masih mengadu mengantuk.

Apabila kami bercakap dengan (Najib), dia boleh faham, katanya menambah, keadaan mental Najib perlu dinilai oleh pakar psikiatri.

Hakim kemudian mengumumkan perbicaraan akan disambung semula pada 17 Sept.

Dilaporkan pada Selasa bahawa perbicaraan ditangguhkan kerana Najib dimasukkan ke hospital disebabkan sakit lutut dan diberi cuti sakit dua hari.

Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion, didakwa milik 1MDB, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Monday, August 19, 2024

Peguam kemuka hujahan 2,500 muka surat mengapa Najib harus dibebaskan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 19, 2024 12:10 PM
Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa hujahan utamanya merangkumi lebih 2,500 muka surat.

Menurutnya, tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1MDB yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan terutamanya membabitkan empat pertuduhan utama, seterusnya mengakibatkan ia agak kabur.

Tambahnya, jumlah muka surat itu tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.

“Kami memohon maaf kerana tidak boleh meringkaskan hujahan kami kerana terlalu banyak perkara yang perlu dinyatakan,” kata peguam itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas anggota parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA), yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Thursday, March 28, 2024

Wan Ji: Najib dapat layanan 'sangat istimewa' di penjara

malaysiakini.com
B Nantha Kumar & Siti Nur Shahirah Omar
Diterbitkan: Mar 28, 2024 10:00 AM
Sebelum ini, segelintir pihak menimbulkan spekulasi bahawa bekas perdana menteri Najib Razak sebenarnya tidak pun menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Ini kerana, menurut mereka, tiada gambar yang dapat membuktikan perkara itu selain layanan istimewa yang mungkin dinikmatinya selaku bekas pemimpin utama negara.

Namun, penceramah Wan Ji Wan Hussin yang baru saja menghabiskan hukuman penjaranya di sana menyatakan Najib sememangnya di penjara itu, dan malah mendakwa dia menerima layanan "sangat istimewa".

Dalam wawancara bersama Malaysiakini susulan pembebasannya, Wan Ji berkata dia pernah melihat kelibat Najib ketika menjalani hukumannya.

"Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, Wan Ji mendakwa Najib menerima layanan sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.
"Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

"Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan," katanya, sambil menambah Najib ditempatkan di "blok istimewa", berbeza dengannya.

"Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat," dakwanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pihak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan ini.

Wan Ji bebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu setelah beberapa bulan menjalani hukuman penjara ekoran sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan sultan Selangor pada 2014.

Memulakan hukumannya pada 25 September 2023, dia sebelum ini telah keluar penjara pada 1 Januari lalu, melalui Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Melalui program itu, Wan Ji yang merupakan bekas pegawai kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata dia dibenarkan tinggal di luar tetapi tidak boleh bergerak bebas dan mesti mendapatkan kebenaran untuk kegiatannya.
Menceritakan lebih lanjut, Wan Ji berkata dia tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan Najib sepanjang berada di Penjara Kajang.

"Najib ini saya tak jumpa, cuma nampak. Blok saya yang belakang sekali. Dekat kawasan padang, ada satu blok lain dan Najib ada di situ.

"Jadi bila peguam datang berjumpa saya, saya berjalan dan nampak dia. Bercakap tak boleh sebab jauh," katanya lagi.

Najib dijatuhkan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Dengan itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada Ogos 2028. Bagaimanapun, dia boleh dibebaskan lebih awal atas "kelakuan baik" pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.

Friday, February 2, 2024

Najib Masih Ada Tiga Kes Jenayah Di Mahkamah

malaysia-today.net
BERITA
By MT Webmaster 
On Feb 2, 2024
(Sinar Harian) – Meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 oleh Lembaga Pengampunan, berhubung kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, namun bekas Perdana Menteri ini masih berdepan tiga lagi kes jenayah lain, di Mahkamah Tinggi di sini.

Hampir setiap minggu, Najib, 71, dibawa ke mahkamah untuk prosiding penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Bagi dua kes ini, ia masih di peringkat pengurusan kes, yang mana pertuduhan pecah amanah jenayah bagi kes IPIC, ia didengar di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Husin sementara AMLA di hadapan Hakim, K Muniandy.

Menyentuh kes pecah amanah jenayah, bekas ahli politik ini mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan yang dihadapi bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Perkara itu dibuat selepas representasi pertamanya telah ditolak tahun lalu.

Pada 3 Mac 2022, Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, dan Mohd Irwan, 68, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Sementara pada 3 April tahun lalu pula, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 30 hari bermula 4 Jun ini.

Tarikh-tarikh lain ialah 5, 6, 10, 11,12,13, 19, 20, 24 hingga 27 Jun manakala pada Julai bermula 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31.

Sementara bagi kes AMLA membabitkan dana SRC, bekas Presiden UMNO ini turut menghantar representasi pada 31 Julai tahun lalu, namun belum diputuskan AGC.

Susulan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memohon mahkamah memberi perintah DNAA kepada anak guamnya kerana kes terbabit telah tertangguh hampir enam tahun.

Beliau berkata, sebanyak 26 prosiding dibuat di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) manakala empat di hadapan Muniandy.

Muniandy kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 17, 18,19, 23 dan 24 September depan.

Hakim ini berkata, sekiranya pada tarikh berkenaan pihak pendakwaan masih belum bersedia dengan status representasi, maka Najib boleh mohon DNAA atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan berkenaan.

Kes yang dihadapi Najib

1) SRC, (sudah dijatuhi hukuman)

Hukuman:

– Penjara 12 tahun kepada enam tahun

– Denda, RM210 juta kepada RM50 juta

2) Kes penyelewengan dana 1MDB (masih di peringkat perbicaraan)

– Kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin untuk memberi keterangan.

3) Pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) – (masih di peringkat pengurusan kes)

4) Pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta (masih di peringkat pengurusan kes)

Keluarga kecewa Najib tak bebas serta-merta

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 2, 2024 
Keluarga Najib Razak menghargai pengurangan hukuman penjara daripada 12 kepada enam tahun yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Mereka bagaimanapun kecewa Najib tidak diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

“Datuk Seri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” kata anaknya Nooryana.

Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib Razak
Dia akan dibebaskan awal pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun hukumannya akan ditambah lagi setahun jika gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Isnin lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Ia dipercayai mesyuarat terakhir baginda sebelum menamatkan tempoh pemerintahan sebelum digantikan oleh Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Nooryana berkata mereka yang mengikuti kes secara dekat sudah tentu setuju dengan penghakiman hakim besar Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa berlaku ketidakadilan besar terhadap Najib.

Justeru, kata Nooryana di media sosialnya, keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepas dan dibebaskan.

Najib sudah menjalani hukuman kira-kira tiga setengah tahun atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

Friday, December 1, 2023

Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC

agendaily.com
1/12/2023
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib membuat permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Hakim K. Muniandy bahawa keputusan representasi yang dihantar pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 31 Julai lepas masih belum diperoleh, lapor Bernama.

“Kes telah dikemukakan lebih lima tahun sejak 2019 dan telah beberapa kali disebut di mahkamah ini. Oleh itu, untuk tidak memprejudiskan kedua-dua pihak terutamanya anak guam, saya mohon mahkamah memberikan perintah DNAA mengikut Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah kerana kes langsung tidak berjalan.

“Sekiranya pendakwa raya ada keputusan berlainan di masa akan datang, pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk kes dikemukakan semula di mana kita berhenti…kes ini sudah tergantung begitu lama,” kata Muhammad Shafee.

Hakim Muniandy kemudian bertanya kepada pihak pendakwaan mengapa AGC terlalu lambat untuk membuat keputusan berhubung representasi berkenaan.

Mohd Ashrof berkata kes itu membabitkan individu berprofil tinggi yang melibatkan banyak dokumen untuk diteliti selain masih terdapat kes lain, International Petroleum Investment Company (IPIC) dihadapi Najib yang masih belum dibicarakan.

“Semua pihak sebelum ini juga bersetuju bahawa tiga tuduhan itu hanya akan dibicarakan selepas kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta diputuskan dan semakan kes itu berakhir pada 31 Mac lalu di Mahkamah Persekutuan.

“Mengikut rekod saya selepas 31 Mac, hanya ada tiga sebutan kes termasuk prosiding hari ini. Oleh itu, saya mohon satu tarikh pengurusan kes akhir bagi mengetahui perkembangan berhubung representasi tersebut,” katanya dan menambah beliau mendapat arahan untuk memohon masa tambahan tiga bulan bagi AGC meneliti kandungan representasi.

Hakim Muniandy menetapkan 19 Jan 2024 sebagai tarikh akhir untuk Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lepas, Najib, 70, gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International dan beliau sedang menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sedang dibicarakan bagi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dengan pihak pendakwaan telah memanggil seramai 48 saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Najib juga berdepan satu lagi kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada IPIC di hadapan

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, yang kini masih di peringkat pengurusan kes.

Sunday, October 8, 2023

Roger Ng tiba di Malaysia, IPG enggan dedah lokasi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 8, 2023 1:12 PM
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng tiba di Malaysia untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan ketibaan Ng pada tengah malam tadi namun enggan mendedahkan lokasi lelaki berkenaan atas faktor keselamatan.

"Saya sahkan, dia sudah berada di negara ini," lapor Utusan Malaysia.

Menurut laporan itu, antara agensi yang dijangka menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, bekas ketua pelaburan Goldman Sachs itu berkemungkinan turut dikehendaki Suruhanjaya Sekuriti (SC)dan Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata, tempoh Ng berada di negara ini bergantung kepada proses siasatan.

Menurut laporan Reuters, Ketua hakim Daerah AS Margo Brodie di Brooklyn mengarahkan Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS pada Jumaat supaya dia boleh diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia, yang kemudiannya akan membawanya ke sini.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS.

Dia sudah disabitkan hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu rompakan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB dan dikehendaki menjalani hukuman penjara apabila kembali semula ke AS.

Ng adalah bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia dan dijatuhi hukuman pada Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan pengubahan wang haram, dan menyogok pegawai kerajaan untuk memperoleh perniagaan.

Kes itu melibatkan kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang jualannya dibantu oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata pegawai, jurubank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion daripada jumlah itu.

Hukuman terhadap Leissner dijadualkan pada 19 Mac 2024.

Wednesday, September 20, 2023

1MDB: Akaun Najib terima AS$681 juta pada 2013 - Penganalisis BNM

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 20, 2023
BICARA 1MDB l Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memberi keterangan bahawa akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak menerima kemasukan AS$681 juta (RM2,081,476,926 mengikut kadar pertukaran ketika itu) daripada dana 1MDB, 11 tahun lalu.

Keterangan lisan yang dibuat oleh Adam Ariff Mohd Roslan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah berkaitan dakwaan Najib sebelum ini bahawa pemindahan itu adalah sumbangan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi. Menurutnya, daripada jumlah itu, AS$620 juta (RM1,893,474,962.98 mengikut kadar pertukaran ketika itu) dikembalikan pada 2013.

Semasa kes rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion terhadap Najib, saksi pendakwaan ke-47 itu berkata analisis penyata bank menunjukkan Tanore Finance Corp memindahkan AS$681 juta ke akaun 694 AmPrivate Banking-MR Najib di AmBank antara 22 Mac dan 10 April 2013.

Pendakwa raya sebelum ini mendakwa Tanore dimiliki oleh Eric Tan, yang didakwa sekutu rapat ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low).

[Berita penuh menyusul]

Tuesday, September 12, 2023

‘Serangan pertama’ Syed Saddiq, gelar Ahli Parlimen kerajaan hipokrit

bebasnews.my
By Editor
-12/09/2023

Ahli Parlimen Muar itu bangun menyerang Ahli Parlimen kerajaan dengan mengingatkan pendirian mereka ketika menjadi pembangkang.
Ahli Parlimen Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata mahu kes Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas (DNAA) dibawa ke Parlimen. (Gambar Bernama) - FMT

PETALING JAYA — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai hipokrit selepas isu Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tidak dapat dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, keadaan tersebut berbeza ketika Ahli Parlimen kerajaan berada di blok pembangkang sebelum ini yang telah membangkitkan isu 1MDB dan serangan terhadap peguam negara, pada 2015.

“Pada tahun 2015, (seramai) 70 Ahli Parlimen di dalam dewan ini sendiri di blok pembangkang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum itu keputusan 1MDB, serangan ke atas peguam negara semua boleh mereka bangkitkan.

“Kini bila berada di kedudukan kerajaan…hipokrit,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Syed Saddiq, sekiranya suara Ahli Parlimen dibisukan serta tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa “sangka jahat”, beliau mempersoalkan bagaimana mereka hendak membangkitkan isu rakyat.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika mempengerusikan mesyuarat khas mengumumkan usul Wan Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) untuk mendapatkan penjelasan peguam negara ditolak, namun beliau akan diberi ruang bercakap mengenainya selepas usul kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dikemukakan. – FMT

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/09/12/syed-saddiq-gelar-ahli-parlimen-kerajaan-hipokrit/

BebasNews

Wednesday, August 30, 2023

Dua akaun peribadi Najib terima RM2.28b hasil 1MDB - Penganalisis BNM

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 30, 2023 11:31 AM
Seorang penganalisis Bank Negara memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menerima lebih RM2.28 bilion hasil 1MDB dalam empat fasa dari 2011 hingga 2014.

Adam Ariff Mohd Roslan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ini menurut jejak kewangan yang disediakannya berdasarkan analisis 343 dokumen perbankan dan lain-lain dokumen.

“Ringkasnya, didapati bahawa dana tertentu yang diterima oleh Najib Razak dalam dua akaun bank peribadinya di atas (berakhir dengan digit 694 dan 880) di AmIslamic Bank, boleh dikesan daripada hasil yang dikumpul oleh 1MDB dan syarikat berkaitannya dalam empat fasa,” kata saksi pendakwaan ke-47 itu.

Semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion pagi ini terhadap Najib, Adam berkata aliran dana itu berlaku dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore, dan fasa Options Buyback.

[Laporan penuh menyusul]

Friday, August 25, 2023

Najib gagal lagi gantung bicara kes 1MDB

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
25 Aug 2023

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada keadaan istimewa yang memerlukan kes yang sedang berjalan itu digantung.
Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang didakwa dana 1MDB melebihi RM2.28 bilion.

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak sekali lagi gagal menggantung perbicaraan 1MDB dihadapinya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhannya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata mereka bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tidak ada keadaan istimewa untuk menggantung perbicaraan.

“Kami juga tidak bersetuju dengan peguam (Shafee Abdullah) bahawa rayuan Najib agar hakim perbicaraan menarik diri akan menjadi batal jika penangguhan tidak dibenarkan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

Beliau berkata tiada sebab kukuh untuk menangguhkan perbicaraan dan, oleh itu, permohonan itu tidak mempunyai merit.

Hadshariah menambah bahawa kepentingan awam menuntut perbicaraan itu perlu diteruskan.

“Perbicaraan itu di peringkat lanjut kerana terdapat 173 hari prosiding dengan 46 saksi pendakwaan dipanggil setakat ini,” katanya.

Perbicaraan, yang kini berada di penghujung kes pendakwaan, akan disambung semula pada Isnin.

BERITA LANJUT MENYUSUL

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-