Wednesday, December 24, 2014

Askar dan dua anak maut disyaki bom tangan meletup

Pemeriksaan awal ke atas rumah mangsa mendapati kesan impak yang kuat terutama lubang pada dinding yang diyakini bukan akibat letupan tong gas memasak selain penemuan tong mengisi peralatan ketenteraan. - Foto Twitter @bombaJBPM

GURUN, 24 Disember:

Seorang anggota tentera dan dua anaknya maut manakala isterinya cedera parah dalam satu kejadian letupan disyaki bom tangan yang berlaku di rumah mereka di Taman Ria Mesra di Gurun petang ini.

Letupan kira-kira jam 4.50 petang itu menyebabkan anggota tentera terbabit yang dikenali sebagai Ayob, berusia dalam lingkungan 30-an, anak perempuannya Nor Hidayu Shahirah, 8, mati serta merta di tempat kejadian, manakala anak lelakinya Mohamad Idham Shahmi, 5, meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Sementara isteri Ayob yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, cedera parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Ahmad Shahabuddin berkata, walaupun laporan awal mengatakan letupan berpunca daripada tong gas tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada sejenis bahan letupan.

“Ini berdasarkan pengamatan impak letupan di lokasi kejadian oleh pihak bomba ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Ketika menjalankan pemeriksaan, kita mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan-kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Ahmad berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan turut meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih terdapat bahan yang boleh meletup di dalam rumah terbabit

.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 4.57 petang.

Sebanyak tiga jentera serta 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani dikerahkan ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba jam 5.13 petang.

Letupan itu turut menyebabkan kerosakan terus kepada sekurang-kurangnya 10 rumah berdekatan dan turut memusnahkan dua buah kereta.

Sebanyak 34 buah rumah lagi dikatakan turut mengalami kerosakan akibat kesan gegaran.

Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/24/askar-dan-dua-anak-maut-disyaki-bom-tangan-meletup/#ixzz3MpVJbP1I

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-