PENGKALAN CHEPA, 29 Disember:
Banjir besar yang melanda Kelantan sememangnya yang terburuk dalam sejarah negeri berkenaan berbanding bencana sama yang berlaku pada tahun 1967 dan 1971.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata kekurangan bangunan tinggi pada ketika itu memudahkan pergerakan air untuk surut dan mengalir ke laut.
Menurutnya, situasi tersebut sudah jauh berbeza apabila terdapat banyak bangunan, premis perniagaan dan juga rumah penduduk yang membuatkan air tidak dapat mengalir dan bertakung untuk tempoh masa yang lama.
“Saya juga masih ingat banjir pada 1971 yang mana air pada ketika itu cukup jernih dan jauh sekali berbeza dengan air yang cukup keruh pada tahun ini.
“Kanak-kanak seperti saya cukup teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda dan bermain air sekalipun banjir besar melanda Kelantan pada ketika itu,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui hari ini.
Katanya, suasana dan juga keadaan ketika itu cukup meriah dan orang ramai mengambil peluang untuk bersosial antara satu sama lain.
Jelasnya, anak-anak muda lelaki ketika itu juga mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan gadis-gadis yang mereka tidak pernah kenal sebelum ini.
“Jadi mereka berkenalan pada ketika itu dan kemudiannya selepas banjir bertunang dan terus berkahwin.
“Oleh itu, ia merupakan perbezaan yang cukup ketara antara dua kejadian yang hampir sama dalam tempoh 40 tahun,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.