Friday, December 19, 2014

Halang niaga di media sosial kekang jualan dan jejas pendapatan, kata peniaga

OLEH JENNIFER GOMEZ

Putrajaya mengenakan peraturan baru di mana peniaga kecil yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram perlu mendaftar dengan SSM, jika tidak perniagaan mereka dianggap haram.

Bagi Ruby Subramaniam, media sosial merupakan satu-satunya cara untuknya memasarkan produk kreatif tanpa beban bayaran overhead.

Oleh itu, berita tentang Putrajaya yang akan memantau jualan produk di media sosial mengejutkannya serta pemilik perniagaan kecil lain, yang mengatakan ia akan melembapkan pendapatan mereka daripada jualan tersebut, selain melemahkan semangat keusahawanan mereka.

Ruby yang merupakan artis seni bebas dan pemasar digital, mengatakan dia bergantung kepada rangkaian media sosial dan aplikasi atas talian seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Pinterest untuk mempromosi dan menjual seni lukisnya supaya dapat menambah pendapatan.

Dia berkata media sosial juga berguna kepadanya untuk mempromosi kerjanya dan berinteraksi dengan pembeli tempatan serta antarabangsa.

Peraturan kerajaan yang mengatakan peniaga online kini perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) jika tidak perniagaan mereka dianggap haram, hanya akan melemahkan semangat keusahawanan dan perkembangan perniagaan.

"Pertolongan tidak berapa diberikan kepada artis tempatan, jadi peluang kecil seperti menggunakan platform percuma seperti ini banyak membantu kita," kata Ruby, 25, kepada The Malaysian Insider.

"Saya perlu membayar antara RM100 ke RM400 setiap hujung minggu sekiranya menyewa ruang di pusat membeli-belah untuk mempromosi dan menjual kerja saya, dan jika saya tidak dapat menjual apa-apa, saya kerugian.

"Tetapi tekanan seperti itu tidak wujud di Facebook," katanya, menambah perniagaan menjual seninya di atas talian menambah pendapatannya sebanyak 30%.

Dia berkata Internet sifatnya jika terdapat kekangan terhadapnya, pengguna sentiasa akan mencari platform atau cara lain untuk terus beroperasi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata pada Rabu, sesiapa yang menjual barangan secara langsung menggunakan Facebook atau Instagram perlu mendaftar dengan SSM, jika tidak jualan mereka akan dianggap haram.

Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan tersebut dilakukan untuk melindungi pengguna daripada ditipu.

Namun Setiausaha Pemuda PKR Nor Hizwan Ahmad berkata maklumat peribadi penjual mencukupi bagi mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang kes penipuan atau kesalahan.

Seorang wartawan di Kuala Lumpur berumur 28 tahun yang tidak mahu dinamakan berkata tidak perlu bagi perniaga kecil sepertinya untuk didaftarkan, kerana ia berupa satu kerumitan yang sia-sia.

Dia berkata hanya mendapat RM150 sebulan dari menjual pakaian wanita, beg serta produk kecantikan di Instagram dan Carousell, perniagaan kecil yang dimulakannya dua tahun lalu.

"Jadi mengapa perlu saya daftar?" katanya.


Bagi Tascha Khosroo (gambar), 22, dan dua rakannya, menjual produk kecantikan kuku di Facebook merupakan cara mendapatkan wang tambahan sementara belajar di kolej.

Mereka mula menjual produk kecantikan kuku yang dibeli dari China Februari tahun lepas, dan masih mempunyai 65% stok untuk dijual.

Tascha terkejut mendapat tahu daripada rakannya bahawa perniagaan kecil sepertinya kini perlu mendaftar dengan SSM.

"Kami mendapat pendapatan yang sangat kecil daripadanya kerana menjual dengan murah, saya berasa seperti dihukum kerana proaktif dalam mencari pendapatan lebih," katanya.

Dia berkata menjalankan perniagaan tersebut banyak mengajarnya serta rakan-rakannya, dan mengembangkan minda serta kreativiti mereka, dan menambah ini sepatutnya dilihat sebagai positif kepada ekonomi Malaysia kerana rakyat beraspirasi mencapai status pendapatan tinggi.

Tascha berkata tidak akan mengambil risiko dan akan mendaftarkan perniagaannya sebelum akhir tahun, tetapi menambah yang langkah tersebut mungkin akan melemahkan semangat orang muda lain yang ingin memulakan perniagaan kecil di atas talian.

Kelebihannya hanya kredibiliti yang lebih tinggi bagi pelanggan, katanya, yang tidak mudah percaya apabila membeli di atas talian, dan pendaftaran dengan SSM hanya memakan kos RM30.

Hizwani dari PKR, bagaimanapun, mempersoalkan sama ada langkah ini merupakan helah kerajaan untuk mengumpul lebihan cukai.

Beliau berkata pendaftaran mandatori juga akan menjejaskan pelajar serta suri rumah yang berusaha menambah pendapatan mereka di dalam ekonomi yang sudahpun sukar.

"Sub-sistem perniagaan online merangkumi pelajar dan suri rumah yang hanya mengambil komisen kecil daripada mempromosikan produk pembuat lain," katanya dalam satu kenyataan.

"Melihat keadaan ekonomi kini yang gagal dikawal Putrajaya, semangat keusahawanan tidak sepatutnya digelar haram.

"Putrajaya sepatutnya menggalakkan pembangunan perniagaan seperti ini kerana kos memulakannya di tahap minima tanpa banyak berbelanja," katanya.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial tidak setuju dengan peraturan tersebut, mengatakan ia mengarut.

Pengguna Twitter Pradeesh dengan akaun @prasys menulis: "Menteri kita sekali lagi.... ingin menghalang kedai Instagram/Facebook? Mengapa? Tidak boleh kumpul GST kah?"

Sebagai balasan tweet tersebut, @raafikaziz menulis: "@prasys adakah kerana kedai online tidak membayar cukai? Kedengaran mengarut."

Pradeesh @prasys pula membalas: "@raafikazaz ia lebih tentang pemantauan, IMHO kerajaan sepatutnya bantu perniagaaan kecil ini, bukan katakan ia haram."

Seorang lagi pengguna Twitter @shujiokishima pula berpendapat tentang peraturan baru tersebut: "Takutkan perniagaan bebas."

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/halang-niaga-di-media-sosial-kekang-jualan-dan-jejas-pendapatan-kata-peniag#sthash.q9HoUaOs.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-