Friday, December 26, 2014

Lebih baik guna duit program selawat bantu mangsa banjir, kata Saifuddin

Selawat itu bagus tetapi lebih baik perbelanjaan besar untuk majlis itu digunakan bagi membantu mangsa banjir, kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Disember, 2014.

Selepas Perbadanan Putrajaya dan Ambank Group mengumumkan pembatalan konsert sempena sambutan tahun barunya bagi menghormati musibah yang menimpa mangsa banjir, program selawat besar-besaran di Dataran Merdeka pula jadi sasaran.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peruntukan untuk menganjurkan program yang dinamakan Malam Cinta Rasul itu, dijadualkan bermula pukul 9 malam 31 Disember ini, lebih baik disalurkan bagi membantu mangsa banjir.

"Selawat itu bagus. Tapi kalau duit untuk belanja majlis selawat besar-besaran diguna bantu mangsa banjir, mungkin lebih bagus," katanya menerusi akaun Twitternya @saifuddinabd hari ini.

Tulisannya itu menerima komen daripada pengikut tweetnya yang menyatakan sokongan kepada cadangan tersebut.

Majlis itu anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV Alhijrah dan Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Richworks Group Sdn Bhd (Richwell).

Ia bakal menampilkan pendakwah popular Indonesia, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin dan dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 umat Islam terutama golongan muda.

Program tersebut dijadualkan berakhir kira-kira jam 11.45 malam bagi membolehkan orang ramai menanti detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baru.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pihaknya turut menjemput barisan pimpinan negara bersama menghadiri program istimewa itu.

“Jika sebelum ini golongan muda memilih menghadiri program hiburan pada ambang tahun baharu, aktiviti ini memberi mereka pilihan untuk memupuk rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad,” katanya.

Terdahulu hari ini, PPj berkata, prihatin terhadap semua pandangan dan musibah yang menimpa Malaysia, ia mengadakan perbincangan dengan Ambank Group bagi membatalkan sambutan di Putrajaya yang melibatkan penyertaan artis tempatan itu.

Ia disahkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata beliau akan berbincang dengan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim, yang menaja program itu, bagi menyalurkan RM3 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan banjir.

Keadaan banjir tidak menampakkan tanda reda sehingga menyaksikan 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis terpaksa berpindah, jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana banjir di negara ini.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan hebat daripada pengguna media sosial dan orang ramai selepas laporan mendedahkan beliau sedang bercuti di Hawaii bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai yang secara sinis membidas Najib yang dilihat tidak prihatin ketika rakyat berdepan dengan bencana teruk ketika ini.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/lebih-baik-guna-duit-program-selawat-bantu-mangsa-banjir-kata-saifuddin#sthash.43RHelUl.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-