Wednesday, January 7, 2015

2,000 Penguat Kuasa KPDNK dikerah dalam Ops Pasca Banjir esok

Hasan berkata, seramai 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara akan digerakkan dalam operasi itu, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir, dan pemantauan ditumpukan kepada kilang pengeluar barangan, pengimport, peniaga runcit dan pasar raya. - Foto Blog KPPM

PUTRAJAYA, 7 Januari:

Bermula esok sehingga Mac nanti, ‘Ops Pasca Banjir’ akan dilaksanakan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bagi memantau harga makanan dan barang keperluan asas harian di pasaran.

“Operasi secara besar-besaran itu bertujuan memastikan barangan makanan dan keperluan adalah mencukupi dan dapat dibeli dengan harga berpatutan, semasa dan selepas banjir,” kata Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek.

Hasan berkata, seramai 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara akan digerakkan dalam operasi itu, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir, dan pemantauan ditumpukan kepada kilang pengeluar barangan, pengimport, peniaga runcit dan pasar raya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan barangan keperluan sekolah kepada mangsa banjir, yang disumbangkan lapan pasar raya dan pasar raya besar bernilai RM1.5 juta, hari ini.

Barangan itu akan disalurkan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir, termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Hasan berkata, ‘Ops Pasca Banjir’ itu juga bertujuan menyelesaikan isu aliran bekalan makanan dan barang keperluan, serta mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

“Saya juga mengharapkan pengguna untuk terus memaklumkan kepada kementerian, jika terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan, supaya tindakan segera terhadap mereka dapat diambil,” katanya sambil menjelaskan, pihaknya mengambil berat rungutan orang ramai yang mendakwa harga beberapa barangan naik mendadak di beberapa kawasan, baru-baru ini, selepas banjir.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad pula berkata, kementerian itu akan memastikan barangan bukan makanan, seperti petrol dan diesel mencukupi di kawasan-kawasan terlibat banjir.

Mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa penurunan harga petrol dan diesel, telah mendatangkan kerugian kepada syarikat dan pengusaha stesen minyak, jelasnya, kementeriannya mempunyai tiga pilihan bagi menangani perkara itu, namun beliau tidak dapat mendedahkannya sekarang.

“Kita tidak dapat umumkan sekarang, kerana ia masih dalam peringkat perbincangan bersama syarikat dan pengusaha stesen minyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-