SHAH ALAM, 3 Januari:
Tempoh 14 hari diberikan kepada lapan pegawai kontrak bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya memulangkan semula pembayaran pampasan yang diterima kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI).
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata surat pemulangan semula pembayaran pampasan telahpun dihantar kepada mereka yang terbabit.
“Mereka akan dibayar mengikut peruntukan yang sedia ada tetapi seperti apa yang saya katakan, pembayaran yang dibuat dengan jumlah yang terlalu besar itu jelas melanggar tatacara peraturan kewangan dan melanggar syarat-syarat yang telah mereka persetujui sebelum ini.
“Jadi sebab itu mereka perlu kembalikan semula wang tersebut kepada pihak MBI dan pihak MBI akan meneliti apakah kelayakan yang boleh dibayar kepada mereka kerana bayaran yang telah dibuat itu melanggar tatacara syarat perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor 1436 Hijrah dan perasmian Bulan Dakwah Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam.
Pembayaran pampasan itu diberi kepada lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik MBI yang dilaporkan menerima bayaran pampasan kerja bernilai RM2.6 juta.
Pembayaran itu didakwa telah dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar berkuat kuasa 23 September 2014.
Bagaimanapun, Abdul Khalid mengesahkan bahawa pembayaran pampasan itu dibuat mengikut skim pemberhentian sukarela (VSS) yang mematuhi peraturan dan prosedur MBI Selangor.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.