KUALA LUMPUR, 2 Januari:
Bekalan darah jenis A dan AB tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit terutama di negeri terjejas banjir.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata orang ramai diminta menderma darah dengan segera di Unit Bergerak Kempen Menderma Darah berhampiran ataupun Pusat Darah Negara kerana bekalan darah terutama kedua-dua jenis itu kini semakin berkurangan.
“Saya merayu kepada masyarakat untuk tampil menderma darah bagi membantu hospital yang kekurangan bekalan darah jenis A dan AB. Pendermaan boleh dilakukan di mana-mana negeri dan bukan hanya di negeri terjejas banjir sahaja.
“Setakat ini, darah jenis lain masih mencukupi namun bagi darah jenis A dan AB, ia tidak mencukupi dan penggunaannya terutama untuk hospital di negeri terjejas banjir amat kritikal,” katanya selepas merasmikan Sambutan Kelahiran Bayi Tahun Baharu 2015 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Khamis.
Sementara itu, Pusat Darah Negara (PDN) juga menggesa orang ramai supaya lebih kerap menderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi dapat disediakan terutama bagi negeri yang dilanda banjir.
Pengarahnya, Dr Noryati Abu Amin berkata bekalan darah perlu ditingkatkan bagi membekalkan darah ke semua hospital yang terjejas akibat banjir.
“Orang ramai digalakkan berkunjung ke PDN atau mana-mana Unit Bergerak Kempen Menderma Darah untuk menderma darah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.