Saturday, January 3, 2015

Surat Zahid bukan untuk jamin Paul

Menurut Shafee, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Zahid berada di kedudukan yang terbaik untuk membuat apa-apa siasatan dengan jabatan polis. - Foto TRP/SM Amin

KUALA LUMPUR, 3 Januari:

Surat Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bukan untuk menjamin pakar judi Paul Phua Wei Seng.

Sebaliknya ia adalah respon kepada permintaan firma guaman di Amerika Syarikat, yang mewakili Phua, Chesnoff & Schonfeld kepada FBI, kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang media di pejabatnya di Jalan Tunku, pada Sabtu.

Shafee adalah peguam yang mewakili Phua di Malaysia.

“Awal Ogos lalu, firma Chesnoff & Schonfeld meminta saya membantu mereka dalam satu kes jenayah melibatkan dua orang rakyat Malaysia, iaitu Paul Phua dan anaknya Darren Phua Wai Kit,” katanya.

Menurut Shafee, susulan itu, pihaknya dan Chesnoff & Schonfeld telah menulis surat kepada Zahid meminta beliau berkongsi maklumat terus kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano mengenai penglibatan Phua dengan kumpulan kongsi gelap 14K di Malaysia.

Jelasnya Shafee, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Zahid berada di kedudukan yang terbaik untuk membuat apa-apa siasatan dengan jabatan polis.

“Pada 18 Disember 2014, Zahid telah menulis surat terus kepada Mark bagi mengesahkan sama ada Phua terlibat dengan kumpulan kongsi gelap 14K di Malaysia ataupun tidak.

“Beliau (Zahid) bukan jamin Phua, tetapi hanya (memberi) respon kepada tuntutan peguam.

“Saya telah berada dalam dunia perundangan ini selama 40 tahun, saya tidak pernah mendengar tentang kongsi gelap 14K itu,” kata Shafee.

Paul Phua dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menjalankan suatu operasi perjudian di Caesar’s Palace Hotel, Las Vegas. – Foto: pokernews

Phua kini sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menjalankan suatu operasi perjudian di Caesar’s Palace Hotel, Las Vegas sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia pada pertengahan 2014.

Beliau sebelum ini pernah ditahan dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Zahid dalam surat kepada FBI yang menyatakan bahawa Phua telah “beberapa kali membantu Kerajaan Malaysia di dalam projek-projek berkaitan keselamatan negara,” Shafee menjelas beliau tidak boleh mengulas lanjut.

“Saya tidak rasa menteri boleh mendedahkan perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan negara.

“Tetapi apa yang boleh saya kata bahawa dalam usaha berterusan kerajaan untuk menjaga keselamatan negara, ia memerlukan penglibatan individu yang mempunyai pengetahuan tertentu mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan awam atau negara,” ujarnya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-