Sunday, February 15, 2015

Pasangan bukan muhrim naik motosikal bersama akan dikenakan tindakan

Ketua Penguatkuasaan Syariahnya, Mokhtar Salleh berkata ketika ini ia bagaikan satu trend dengan kaum wanita sering dilihat membonceng motosikal dalam keadaan tidak sopan dengan lelaki yang tiada ikatan keluarga.

KUALA TERENGGANU, 15 Februari:

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan meningkatkan penguatkuasaan khusus di kalangan golongan remaja yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Ketua Penguatkuasaan Syariahnya, Mokhtar Salleh berkata antara tumpuan penguatkuasaan termasuk ke atas mereka yang menaiki motosikal bersama individu yang bukan muhrim, wanita berpakaian menjolok mata dan lelaki berpakaian seperti wanita.

Mokhtar berkata ketika ini ia bagaikan satu trend dengan kaum wanita sering dilihat membonceng motosikal dalam keadaan tidak sopan dengan lelaki yang tiada ikatan keluarga.

Katanya, MAIDAM akan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika operasi bagi mengesan pesalah yang melakukan perbuatan seperti ini.

“Kita akan terus mencegah perbuatan berkenaan daripada terus berleluasa dari semasa ke semasa. Kita sebenarnya tiada kuasa untuk menahan mereka di jalan raya dan oleh sebab itu kita bekerjasama dengan agensi yang lain membanteras perbuatan tidak sopan ini.

“Jika kita kesan mereka tiada hubungan dan berkelakuan tidak senonoh, kita akan panggil untuk sesi kaunseling sebelum diberi amaran dan ditahan jika terus mengulangi perbuatan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Ops Penguatkuasaan Tahun Baharu Cina dengan kerjasama JPJ dan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melalui Ops Motosikal di Jalan Batu Buruk di sini malam tadi.

Dalam operasi yang bermula pukul 9 hingga 12 malam itu, MAIDAM turut mengesan enam pasangan berkelakuan dan berpakaian kurang sopan serta seorang lelaki berpakaian wanita.

Beliau berkata rata-rata mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 26 tahun yang menaiki motosikal dengan lelaki bukan mahram.

Mokhtar berkata ini merupakan penguatkuasaan kali pertama yang disertai pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain setelah menerima banyak aduan berhubung perkara ini yang dikhuatiri akan menjadi ikutan anak muda lain sekiranya tidak dicegah.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan wanita Islam di negeri ini agar tidak mengenakan pakaian yang terlalu menjolok mata kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mereka didenda atau dipenjara selama enam bulan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/15/pasangan-bukan-muhrim-naik-motosikal-bersama-akan-dikenakan-tindakan/#ixzz3RpHl6xr7

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-