KUALA LUMPUR, 20 Februari:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat hasrat Pemuda UMNO yang mahu mengadakan ‘road show’ kes Liwat II boleh membahayakan negara.
Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, ABIM amat menghormati Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kerana beliau merupakan seorang yang bijak, berkaliber dan berfikiran terbuka.
“Beliau juga tegas dalam mengemukakan pandangan dan sentiasa cuba untuk mengelak kenyataan yang bersifat peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, dalam hal ini, Amidi berpendapat hasrat Khairy untuk mengadakan ‘road show’ itu sebagai berfikiran sempit dan membahayakan masa depan negara.
“Hasrat itu adalah langkah ‘perbicaraan di luar mahkamah’ dan akan mengundang ulasan-ulasan liar. Jika Pergerakan Pemuda UMNO memulakannya, sudah tentu nanti ada pihak lain yang akan bangkit menjawab dan melakukan majlis yang serupa.
“Perkara ini secara jelas berupaya menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara. Perbicaraan di luar mahkamah akan berlangsung secara liar, tanpa etika dan keterlaluan,” ujarnya.
Menurutnya, dalam ‘road show’ itu berkemungkinan akan berlaku penambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat.
Selain itu, beliau juga seharusnya peka dengan perkembangan kelompok yang mula muak dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan negara.
“Ini terbukti apabila sebuah video dimuat naik baru-baru ini dengan ugutan mahu memusnahkan mahkamah. Seharusnya sebagai seorang pemimpin muda beliau perlu lebih berhati-hati, berpandangan jauh dan bertanggungjawab,” katanya.
Amidi berkata, tindakan bersabar selama enam tahun oleh pihak UMNO adalah tindakan yang tepat.
“Ini kerana, tindakan itulah yang mengekalkan BN terus memerintah negara. Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara sistem perundangan negara seperti yang terpateri dalam ikrar Rukun Negara kita iaitu ‘Kedaulatan Undang-undang’.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/20/roadshow-liwat-ii-undang-persepsi-negatif/#ixzz3SFSPI43T
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.