Friday, March 6, 2015

Tumbuk pemimpin, masyarakat makin hilang pedoman

Mohammad Agus berkata, perbezaan ideologi politik bukan sebab untuk membiarkan keganasan menular dalam masyarakat. - Foto Youtube

KUALA LUMPUR, 6 Mac:

Tindakan sekumpulan lelaki memukul Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad di rumahnya, membuktikan masyarakat semakin hilang pedoman ketika berpolitik, kata penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

“Mendapat tahu Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad ditumbuk pagi ini, saya sedih. Mengapa sampai begitu sekali, semakin hilangnya arah kita berpolitik?

“Pada saya, kejadian pagi ini adalah gambaran kecelaruan minda dan ilmu orang yang melakukannya.

“Ia menandakan semakin hilangnya nilai-nilai murni kita dan semakin jumudnya pemikiran politik kita,” demikian tulisnya di laman sosial Facebook beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penyerang terbabit.

Tegasnya, walaupun terdapat perbezaan dan ideologi politik, masyarakat tidak boleh membiarkan keganasan semakin menular di negara ini.

“Saya harap kejadian ini menyedarkan kita, betapa pentingnya kita memilih sikap politik matang, yang boleh meraikan perbezaan pendapat dengan baik.

“Yakinlah, parti apapun yang kita sokong, agama, bangsa dan kenegaraan kita tetap mengikat kita bersama,” ujarnya.

Dalam kejadian pagi semalam, Dzulkefly telah dipukul, ketika berada dalam keretanya di perkarangan rumahnya, selepas pulang daripada menunaikan solat subuh.

Seorang daripada kumpulan lelaki tidak dikenali yang memukul Dzulkefly itu sempat bertanya: “Kenapa kurang ajar?”

Akibat serangan itu, Dzulkefly mengalami kecederaan di bibir dan bengkak di kepala.

Beliau dikatakan telah membuat laporan polis.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/06/tumbuk-pemimpin-masyarakat-makin-hilang-pedoman/#ixzz3TYhvLE81

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-