Tuesday, April 7, 2015

Fomca gesa kecualikan susu formula dari GST

Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa susu formula bayi yang berkadar sifar GST hanyalah untuk di bawah umur 36 bulan.

KUALA LUMPUR, 7 April:

Kumpulan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan mengecualikan semua susu formula bayi daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, gesaan itu dibuat selepas terdapat banyak rungutan dan aduan mengenai kenaikan harga barangan itu di pasaran.

Menurutnya, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa susu formula bayi yang berkadar sifar GST hanyalah untuk di bawah umur 36 bulan.

“Namun begitu, FOMCA merasakan bahawa susu formula bayi ini merupakan keperluan untuk tumbesaran bayi tidak kira pada peringkat umur berapa sekalipun.

“Jadi diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula pelaksanaan GST ke atas produk berkenaan dan menjadikannya sifar GST ke atas semua peringkat umur dan bukannya hanya untuk 36 bulan ke bawah sahaja,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.

Beliau berkata demikian mengulas rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga susu formula bayi sekalipun kerajaan mengumumkan bahawa produk berkenaan tidak dikenakan GST.

The Rakyat Post sebelum ini menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan bahawa para peniaga bertindak menaikkan harga susu formula bayi sekalipun untuk bayi yang berumur bawah 36 bulan.

Menurut kakitangan awam, Syazana Aminuddin, 26, susu formula bayi yang dibelinya sebelum ini mengalami kenaikan yang cukup ketara selepas pelaksanaan GST.

Katanya, sebelum 1 April, harga bagi susu formula bayi untuk 500 gram yang dibelinya adalah pada harga RM21 manakala selepas pelaksanaan GST harga tersebut naik sehingga RM28.

Manakala Ellyza Hanani Hamidun, 33 pula berkata, harga susu formula yang biasa dibeli untuk keperluan anak kecilnya adalah pada harga RM22.90 untuk satu kilogram.

“Kini selepas pelaksanaan GST, harga susu berkenaan meningkat kepada RM24 dan kuantitinya turut dikurangkan iaitu hanya 900 gram sahaja,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/07/fomca-gesa-kecualikan-susu-formula-dari-gst/#ixzz3Wcy9jlZ1

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-