WANG KELIAN, 31 Mei:
Kagum dengan seni bina yang terperinci di kem pemerdagangan manusia, timbul idea untuk menjadikan tempat itu sebagai destinasi pelancongan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang melawat kem terbesar daripada 16 kem yang ditemui di Perlis itu, kagum dengan keperincian dalam seni binanya.
“Kem itu sangat cantik, tiga kali lebih besar daripada kem yang ditemui sebelum ini.
“Besarnya hampir sebesar padang bola dan terdapat masjid, surau, rumah imam, kebun sayur serta kemudahan lain.
“Kami menemui tin bir dari Thailand, daun terup yang menunjukkan adanya komuniti besar yang tinggal di situ,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Tambahnya, kem itu ditemui di Lubuk Sirih, hanya 100 meter dari sempadan Thailand, tetapi kem berkenaan masih belum diproses oleh pihak polis.
“Pihak polis hanya memproses satu kem pada satu-satu masa dan mereka masih belum memproses kem ini lagi.
“Saya bagaimanapun, meminta pihak polis untuk memproses kem ini dengan cepat dan untuk membuktikan perkara ini bukan didalangi oleh rakyat Malaysia.
“Sebab itulah saya mahu menukar kem ini sebagai destinasi pelancongan kerana ia terletak di kawasan strategik dan apabila ramai pelancong datang ke sini, mungkin tidak akan ada kejadian seperti ini berlaku lagi.”
Tambahnya, beliau telah meminta pihak polis mengekalkan struktur kem yang dilawatinya hari ini.
“Biarlah ia menjadi tempat untuk orang ramai melihat bagaimana pemerdagangan manusia dilakukan dan di mana mereka ditempatkan (buat sementara),” kata Ahli Parlimen Arau itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.