Sunday, February 2, 2025

Kita tengok siapa jadi gila di mahkamah nanti, kata Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 2, 2025 1:06 PM
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh mengenal pasti individu dari MCA yang mendakwanya sebagai “Melayu gila” baru-baru ini.

Ahli politik yang juga Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata isu tersebut diketahuinya selepas ia didedahkan beberapa individu menterjemahkan kenyataan tersebut ke bahasa Melayu.

“Semalam saya terbaca hantaran dari kakak Liyana Marzuki mengenai kenyataan dari seorang individu bernama Law Yiak Kwang yang telah menulis kenyataan dalam bahasa Cina.

“Dalam kenyataan tersebut apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Adrian Lim Chee En mengatakan Melayu gila /kuda gila,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.

Bagaimanapun, Adun Merlimau itu berkata, apabila perkara terbabit didedahkan Law terus mendakwa dia sebagai individu “yang sentiasa bertindak tidak mengikut akal”.

Namun, Akmal menegaskan namanya tidak disebut dalam hantaran tersebut.

“Ini adalah tuduhan yang sangat berat, pertamanya bagi diri saya yang menuduh saya sentiasa bertindak tidak mengikut akal.

“Yang kedua jika benar apa yang diterjemahkan yang merujuk kepada kenyataan ‘Melayu gila’ itu adalah benar, maka ini adalah satu kenyataan yang menghina orang Melayu secara keseluruhan,” tambahnya dalam catatan Facebook.

Harap pendirian difahami

Law dalam catatan panjang lebar di Facebook pada Jumaat menafikan dia menggunakan istilah “Melayu gila” dan mendakwa kenyataan tersebut disalah terjemah.

Perkataan ‘Melayu gila’ tersebut, dakwa ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang itu, tidak diterjemah seperti maksud yang ingin disampaikannya.

“Perkataan 癫马 tersebut diterjemahkan dengan cara bias oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Perkataan boleh bermakna ‘gila’. Kadangkala, perkataan ini juga boleh digunakan untuk menyifatkan perangai seseorang yang bertindak tidak mengikut akal,” katanya.

Menurut Law lagi, aksara 癫马 biasanya digunakan oleh pengguna media sosial untuk menggambarkan Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno.

“Perkataan ‘Akmal’ diterjemahkan dalam Bahasa Cina sebagai 阿克马 dengan perkataan di hujungnya.

“Perkataan 癫马 membawa maksud ‘Akmal yang sentiasa bertindak tidak mengikut akal’.

“Kesimpulan, perkataan 癫马 bukan membawa maksud Melayu gila.

“Saya berharap penjelasan saya yang panjang lebar ini dapat memberikan pencerahan yang terperinci kepada kawan-kawan saya dan seluruh rakyat Malaysia yang saya hormati.

“Saya berharap kawan-kawan tidak salah faham pendirian saya yang sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia atas satu penterjemahan perkataan yang tidak tepat,” katanya.
Law Yiak Kwang
Sementara itu, Akmal menegaskan dia telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Law.

“Kita nak tengok nanti siapa yang tiada akal apabila di mahkamah dan siapa jadi gila nanti. Jumpa di mahkamah,” tegasnya.

Pada masa sama Akmal meminta Presiden MCA Wee Ka Siong untuk memberi perhatian kepada kepimpinan pemuda partinya itu agar keadaan boleh dikawal lebih awal.

Sebelum ini, Akmal menyelar kenyataan MCA Johor berhubung kenyataan yang mempertikaikan peruntukan untuk pembangunan al-Quran dan bantuan untuk Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sambil mengaitkannya dengan bantuan tol sempena Tahun Baru Cina.

Dia mendesak MCA Johor untuk memohon maaf dalam tempoh 24 jam sebelum pihaknya mengambil langkah membuat laporan polis.

Susulan itu, MCA Johor memadamkan kenyataan dalam bahasa Mandarin itu dari laman sosialnya dan memohon maaf.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-