Wednesday, May 20, 2015

Pensyarah UM ditetak penyamun

Mangsa, Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman (kiri) Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), manakala gambar kanan menunjukkan kesan darah mangsa di rumahnya di Taman Batu Muda. - Foto Facebook Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani

KUALA LUMPUR, 20 Mei:

Seorang pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) cedera selepas ditetak penjenayah dalam satu kejadian samun bersenjata di rumahnya di Taman Batu Muda, pagi tadi.

Mangsa, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman dilaporkan cedera parah dibahagian kepala selepas ditetak perompak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.43 pagi tadi itu, mangsa, 61, berada di dalam rumah bersama isterinya sebelum dihampiri dua lelaki yang datang menaiki sebuah motosikal jenis Kawasaki.

Menurutnya, dua suspek menghala masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci dan mendekati isteri mangsa yang sedang berborak bersama jiran.

“Mangsa cuba untuk menyelamatkan isterinya dan berlaku pergelutan.

“Suspek menetak kepala mangsa dan berjaya merampas gelang tangan isteri mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Munusamy berkata, akibat tetakan itu mangsa menerima lapan jahitan dan mengalami keretakan di bahagian kepala sebelah kiri.

Menurutnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Selayang.

Tegasnya, polis masih menyiasat kejadian itu dan memburu dua penjenayah untuk di bawa ke muka pengadilan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Pagi tadi, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, melalui status di laman Facebook beliau memaklumkan, Dr Fauzi yang juga panelis rancangan agama serta pendakwah ditetak di rumah beliau.

“Sekarang Dr. Fauzi di rawat di Hospital Selayang untuk x-ray dan rawatan selanjutnya.

“Mohon kita mendoakan kebaikan kepadanya dan dimudahkan pihak berkuasa menangkap perompak itu,” kata Ahmad Dusuki seperti dipetik dari laman Facebook beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-