Thursday, May 21, 2015

PM arah TLDM, APMM bantu MERCY hantar bantuan kemanusiaan untuk "orang hanyut"

Antara pelarian Rohingya yang diselamatkan bot nelayan Acheh tiba di Simpang Tiga, dalam wilayah Acheh Indonesia, pada Rabu. - Foto AP

KUALA LUMPUR, 20 Mei:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) Mercy Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya yang kini berada di dalam beberapa bot di tengah laut menjadi “orang hanyut”.

“Saya telah mengarahkan kedua-dua pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia agar membantu MERCY Malaysia membuat penghantaran bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya sama ada melalui laut mahupun jalan darat.

“Ia adalah bantuan kemanusiaan asas bagi memastikan mereka yang kelaparan diberikan makanan dan minuman manakala yang sakit akan mendapat rawatan serta bekalan perubatan,” kata Najib dalam satu kenyataan yang dimuat naik beliau di laman Facebook serta Twitter miliknya hari ini.



Siang tadi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, mendedahkan Malaysia sebenarnya sudah menghulurkan bantuan bekalan makanan dan minuman kepada semua “orang hanyut” terbabit melalui teknik pengguguran udara dari helikopter atas dasar perikemanusiaan kerana mereka sudah berada di tengah laut berbulan lamanya.

  
 Kenyataan ringkas Najib hari ini mengenai bantuan kepada pelarian Rohingya yang menjadi orang hanyut.

Anifah berkata demikian selepas mengadakan pertemuan enam mata dengan Menteri Luar Republik Indonesia, Retno L P Marsudi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn di Wisma Putra.

Selepas pertemuan itu, Anifah memaklumkan media bahawa Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyediakan pusat perlindungan sementara kepada kira-kira 7,000 pelarian yang masih berada di tengah lautan dan menunggu masa untuk mendarat.

Katanya, perlindungan sementara itu akan disediakan di kawasan yang sesuai dalam tempoh setahun sebelum keputusan lain mengenainya dimuktamadkan oleh masyarakat antarabangsa.

Seterusnya, masyarakat antarabangsa akan mengambil tangggungjawab untuk penghantaran semula pendatang asing yang luar biasa ini ke negara asal masing-masing atau penempatan di negara ketiga dalam tempoh setahun, Anifah menjelaskan.

Katanya lagi, keputusan itu adalah bersifat serta merta dan beliau juga akan ke Myanmar dalam masa terdekat untuk mengadakan pertemuan dengan menteri luar negara itu untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-