SEKILAS PANDANG: Pegawai kerajaan zaman sekarang nampaknya sentiasa ‘flip-flop’ dalam tindakan dan keputusannya. ‘Jungkir-balik’ tindakan dan kata-kata ini bermula daripada orang paling atas, iaitu perdana menteri Najib Razak. Beliau dahulu pernah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan namun mengingkarinya. Maka, tidak hairanlah jika orang lain di bawahnya turut berkelakuan serupa.
Lihat saja kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) membeli Dudley House di Melbourne, Australia untuk dijadikan hostel bagi pelajar-pelajar Mara. Apabila akhbar Australia The Age melaporkan skandal pelaburan kontroversi ini, pengerusi Mara Annuar Musa mengisytiharkan pembelian itu telah dibuat mengikut prosedur.
Mara telah membayar harga yang terlebih tinggi, iaitu dengan jumlah AUS$22 juta. Walhal hartanah itu hanya bernilai AUS$17.8 juta. Menurut laporan tersebut, lebihan bayaran telah diambil oleh pegawai-pegawai yang terlibat.
Apabila beliau mengadakan sidang media pada 24 Jun lalu, Annuar berkata yang perdana menteri telah meluluskan pembelian itu. Tetapi 24 jam kemudian, beliau berkata Najib tidak bersetuju pula.
Yang menariknya, perubahan kenyataan ini dipersalahkan kepada media dengan mendakwa mereka telah membuat laporan yang salah. Ini memang cara lazim mereka, dan yang paling mudah.
Maka kesalahan diletakkan kepada media. Mereka tersilap lapor tentang sidang media itu. Ini telah menjadi cara standard dan paling mudah bagi pegawai kerajaan melepaskan diri dari mana-mana kontroversi.
Seorang lagi pegawai dengan reputasi ‘flip-flop’ yang hebat datang dari Kementerian Kewangan. Beliau pernah mengatakan yang kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan serangan Dr Mahathir Mohamad ke atas Najib. Ini menyebabkan Bank Negara Malaysia mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu, dan menegaskan ia tidak mahu terlibat dalam mana-mana perbalahan politik.
Nampaknya tiada siapa yang dapat mempercayai kata-kata yang keluar dari mulut pegawai tinggi ini yang juga seorang timbalan menteri.
Isu tambah nilai prabayar kekal menjadi pertikaian. Majoriti kedai masih mengenakan caj GST terhadap kad tambah nilai. Timbalan menteri berkata, caj GST adalah termasuk dalam harga asal tetapi masih ada kedai yang mengenakan caj berasingan.
Kes klasik kehilangan kapal terbang MH370 adalah contoh baik betapa kenyataan bertentangan telah menimbulkan kemarahan keluarga mangsa. Laporan mengatakan bahawa kerajaan dan syarikat penerbangan telah mengeluarkan “maklumat yang tidak tepat, tidak lengkap dan ada kalanya salah, dengan pegawai awam dan pemimpin tentera saling mengeluarkan kenyataan bertentangan”.
Dan tentulah kes kegemaran semua – skandal 1Malaysia Development Berhad.
Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Kewangan berkata, 1MDB tidak menerima apa-apa pinjaman daripada Ananda Krishnan untuk menyelesaikan bayaran pinjaman berjumlah RM2bilion yang tertunggak. Namun Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah kemudiannya memberitahu Parlimen bahawa Tanjung PLC milik Ananda Krishnan telah membantu 1MDB untuk mendapatkan wang yang diperlukan untuk menjelaskan bayaran itu.
Ini diikuti dengan pengakuan kerajaan bahawa pelaburan 1MDB yang ditebus semula dari Pulau Cayman dan disimpan di Singapura, bukanlah dalam bentuk tunai seperti yang dinyatakan sebelumnya.
Dengan begitu banyak ‘flip-flop’ ini, agak sukar untuk orang ramai benar-benar mengikuti apa sebenarnya yang sedang berlaku di negara ini!
Dan lebih penting, sukar untuk orang ramai mempercayai kata-kata kerajaan, jika tindakan dan kata-katanya sering bertentangan dan berubah-ubah.
Sudah banyak kali Najib mengingkari kata-katanya sejak menjadi perdana menteri.
Kewibawaan kerajaan pada masa ini nampaknya pada tahap paling rendah, dan mereka nampaknya tidak mampu untuk berkata benar kepada rakyat.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Bolehkah-rakyat-percaya-lagi-kata-kata-kerajaan#sthash.m3nCpZip.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.