Monday, June 15, 2015

Majlis Syura hanya berkuasa putuskan isu ada kaitan hukum agama

Isu 'tahaluf siyasi' atau hubungan kerjasama politik dengan DAP adalah membabitkan hukum agama kerana ia soal kerjasama dengan sebuah parti politik bukan Islam, justeru perlu dirujuk kepada Majlis Syura dan tidak boleh diputuskkan oleh Muktamar. - Foto arkib TRP//Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 15 Jun:

Antara Majlis Syura Ulamak dan Muktamar Agung, pihak manakah yang mempunyai kuasa tertinggi dalam membuat keputusan muktamad dalam parti PAS?

Itu persoalan yang timbul kebelakangan ini ekoran kekeliruan berhubung ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik antara parti itu dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya dalam soal usul memutuskan hubungan dengan DAP yang dibentangkan pada Muktamar Agung ke 61 parti itu baru-baru ini.

The Rakyat Post yang menghubungi Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dimaklumkan bahawa Majlis Syura Ulamak atau sering disebut Majlis Syura sahaja mempunyai hak untuk memutuskan semua isu berkaitan hukum agama.

Manakala Muktamar pula, beliau menjelaskan hanya memfokus kepada perbincangan untuk membuat keputusan dalam hal ehwal yang tidak melibatkan hukum agama.

Dalam konteks perkembangan terbaru berkaitan isu kemelut hubungan PAS-DAP yang menjadi kontroversi sekarang, Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, ia jatuh di bawah bidang kuasa Majlis Syura kerana hal itu melibatkan kerjasama politik antara dua parti berbeza agama.

“Majlis Syura mempunyai kuasa dalam menentukan keputusan yang berkaitan dengan hukum.

“Isu hubungan kerjasama politik dengan DAP adalah membabitkan hukum agama, jadi ia perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak,” katanya kepada The Rakyat Post.

Disebabkan itulah, beliau menegaskan bahawa keputusan bagi memutuskan hubungan dengan DAP yang dibentangkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Agung parti itu masih di peringkat perbincangan dan belum diputuskan.

“Masyarakat salah faham dengan keputusan Muktamar yang hanya mencadangkan usul berkenaan. Muktamar hanya mengusulkan cadangan untuk dibawa ke Majlis Syura.

“Muktamar membincangkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan hukum, seperti peperangan dan sebagainya,” kata Nik Mohd Amar.

Terdahulu, laporan media sebelum ini menyebut Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor telah memutuskan hubungan dengan DAP namun mengekalkan ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.

Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar A. Samad turut menjelaskan mengenai Usul Dewan Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Agung PAS itu.

Katanya, dewan tersebut mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat (PR).

Iskandar berkata, usul tersebut tidak menuntut Muktamar PAS memutuskan hubungan, sebaliknya mencadangkan kepada pihak Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Dewan Ulamak PAS Pusat memuat naik usul mereka yang asalnya dibentangkan pada Muktamar PAS ke 61 yang baru berlalu di laman Facebook milik satu daripada sayap utama parti tersebut.

Tujuan usul tersebut dimuat naik adalah untuk merungkai kekeliruan yang timbul akibat usul tersebut.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/15/majlis-syura-hanya-berkuasa-putuskan-isu-ada-kaitan-hukum-agama/#ixzz3d7rVR19L

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-