Sunday, August 16, 2015

Macam kesah derma RM2.6 bilion juga........tak boleh 'dedah'

Dedah identiti pemimpin Umno cuba guling kerajaan, kata Khairy
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang rancangan itu adalah serius dan tindakan segera perlu diambil agar cubaan berkenaan dapat dihalang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Ogos, 2015.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahukan identiti pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan didedahkan.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang rancangan itu adalah serius dan tindakan segera perlu diambil agar cubaan berkenaan dapat dihalang.

"Kita perlu tahu siapa individu tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan individu dalam Umno yang dikatakan hendak menggulingkan kerajaan dengan cara yang tidak sah.

"Cubaan itu dikaitkan dengan ahli Parlimen dan selaku ahl Parlimen saya juga ingin tahu siapakah individu tersebut supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil agar saya tidak dikaitkan dengannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bukit Katil di Melaka, hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Zahid membuat pendedahan itu semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Ampang di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Khairy berkata penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik merupakan jalan penyelesaian perkara tersebut dalam kalangan parti politik di negara ini.

"Saya memahami soal pembiayaan politik ini adalah hak ketua namun jawatankuasa tersebut dilihat mampu membawa satu sistem yang lebih telus dan menjadi garis panduan dalam isu ini untuk semua parti politik bukan sahaja Umno," katanya.

Sementara itu, beliau mengulangi kerajaan perlu menerangkan isu derma RM2.6 bilion yang diterima presiden Umno Datuk Seri Najib Razak secara berterusan agar penjelasannya diterima rakyat dan ahli Umno di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan menyiasat dan meminta penjelasan dari ketua Pemuda Umno Tampin berhubung usul ketua Pemuda Cawangan Kampung Ulu Ladang dalam mesyuarat perwakilan hari ini yang meminta Najib meletak jawatan.

"Saya dimaklumkan ia adalah usul tergempar sebuah cawangan di Tampin dan bukannya pendirian Pemuda Umno Tampin... biasalah dalam mesyuarat perwakilan kita (pemimpin) terpaksa berdepan dengan pelbagai usul termasuk berbentuk kritikan dan pedih tetapi tidak bermakna ia pendirian Pemuda Umno Tampin," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dedah-identiti-pemimpin-umno-cuba-guling-kerajaan-kata-khairy#sthash.GNfnZObw.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-