Friday, August 21, 2015

Takdir Tuhan saya ganti Muhyiddin, kata Zahid kepada Umno Kota Tinggi

OLEH ANISAH SHUKRY
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah takdir Allah dan percaya ada sebab mengapa ia terjadi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Ogos, 2015.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berusaha menenangkan hati pemimpin Umno dari Kota Tinggi, Johor berhubung pelantikan beliau sebagai timbalan perdana menteri baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai "campur tangan Tuhan".

Katanya, beliau sedar perkembangan politik baru-baru ini di peringkat kebangsaan meninggalkan kesan ke atas negeri ini, tetapi beliau memberi jaminan kepada mereka "ada sebab bagi segala-galanya".

"Saya tahu di Johor, dengan keadaan politik di peringkat kebangsaan, segala-galanya kini seolah-olah polemik dan dalam kegawatan. Tetapi saya yakin apa yang berlaku kepada saya adalah campur tangan Tuhan.

"Ia adalah takdir Allah untuk saya. Ia seperti rukun Islam ke-6, percaya pada qada 'dan qadar," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Kota Tinggi di Felda Lok Heng Timur.

Naib presiden Umno itu berkata, apabila Allah menetapkan takdir, beliau tidak seharusnya menolak.

"Kita mesti tahu sudah pasti ada sebab ia terjadi. Jadi saya tidak menolaknya. Tetapi saya tidak bercakap tentang mana-mana pemimpin atau individu.

"Hakikatnya, Umno mesti diteruskan, untuk terus berjuang," kata Zahid.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sokongan akar umbi yang kuat di Johor Umno dan pemecatan mendadak daripada Kabinet bulan lepas dilaporkan meninggalkan banyak rasa tidak puas hati di negeri kelahirannya.

Bagaimanapun, Zahid pantas memenangi hati perwakilan yang hadir dengan berjanji dewan tempat mereka berkumpul di mesyuarat agung itu akan dilengkapi penghawa dingin tahun depan.

Beliau berkata para perwakilan kepanasan semasa mendengar ucapan dan kipas mudah alih sedikit sebanyak mengurangkan ketidakselesaan mereka.

"Ketua bahagian anda terlalu malu meminta duit daripada saya tetapi dia menjemput saya ke sini kerana sesuatu sebab.

"Tahun depan, saya mahu melihat dewan besar ini berhawa dingin," katanya yang menerima tepukan gemuruh dan sorakan para perwakilan.

Beliau juga menggesa mereka tidak terpedaya "cucukan berterusan" para musuh sambil menambah mereka sepatutnya memberi tumpuan untuk mengukuhkan parti.

"Apabila anda tidak mendapat sebarang jawatan, sila kembali kepada Umno, jangan musnahkan Umno." – 21 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/takdir-tuhan-saya-ganti-muhyiddin-kata-zahid-kepada-umno-kota-tinggi#sthash.K4s7P76x.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-