KUALA LUMPUR, 20 September:
Lautan manusia yang memakai baju merah di bawah nama Himpunan Rakyat Bersatu dalam cuaca jerebu di Kuala Lumpur, 16 September lalu, meninggalkan kesan yang bukan sedikit.
Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia percaya semua pihak terutama puak ekstrem, penganjur Bersih dan DAP mendapat mesej yang jelas daripada perhimpunan tersebut.
Malah katanya, Melayu yang dikatakan berpecah dan dianggap lemah, boleh bersatu apabila tiba masanya.
Katanya lagi, penghinaan berterusan terhadap Islam dan Melayu hanya akan memercik kepada kebangkitan.
“Begitu juga dengan komplot dan gerakan mahu menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan haram yang berselindung atas nama Bersih, boleh mengundang tindak balas yang lebih besar daripada itu.
“Inilah akibat jika kaduk naik junjung mahu bermain api, tidak sabar menanti penentuan rakyat mengikut proses demokrasi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Tegas Awang, himpunan merah tersebut juga menyerlahkan hakikat penguasaan pembangkang dalam media sosial bukan kemenangan mutlak.
Ini kerana majoriti rakyat terutama golongan senyap tetap ada kuasanya.
“Himpunan tersebut memecahkan batas psikologi bahawa orang Melayu yang selama ini banyak bersabar dan bertolak ansur, sudah bersedia memasuki fasa politik yang lebih lasak dan berisiko.
“Biar apa pun mudaratnya, walau disalah erti oleh segelintir orang Melayu sendiri dan meskipun terus ditohmah oleh puak ekstrem – peduli apa,” ujarnya.
Menurut Awang, himpunan merah bukan sahaja menghantar peringatan menjunjung perpaduan, menghormati hak semua kaum dan mempertahankan Perlembagaan negara menerusi 14 perkara dalam resolusinya.
Lebih daripada itu, kata Awang, isyarat bahawa himpunan yang sama juga boleh diadakan di Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP, jika provokasi terus jadi mainan.
“Tetapi inikah politik yang kita semua mahukan, tepuk dada tanya selera,” jelasnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/20/apa-mesej-himpunan-baju-merah-soal-awang-selamat/#ixzz3mEvLeum7
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.