Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Saturday, March 15, 2025

URA: PAS ancam turun ke jalanan, Anwar ikrar akan lawan dengan himpunan lebih besar

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
15 Mar 2025, 03:15 PM

Anwar Ibrahim beri amaran supaya pembangkang tidak terus ganggu usaha pentadbirannya untuk membangunkan masyarakat Melayu di bandar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan nak guna URA untuk pembangunan semula supaya orang Melayu di Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggerakkan himpunan lebih besar untuk mempertahankan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), jika pembangkang terus mengancam untuk turun ke jalanan.

Bercakap di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Majlis Amanah Rakyat, Anwar memberi amaran supaya pembangkang tidak terus mengganggu usaha pentadbirannya untuk membangunkan masyarakat Melayu di bandar.

“Kita nak gunakan undang-undang ini untuk bangunkan semula supaya orang Melayu di Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat, setelah 50 tahun, 60 tahun macam itu juga… satu kamar (tapi) ditentang, nak buat perhimpunan.

“Saya nak beritahu mereka, jangan cabar kita nak bela nasib orang miskin, majoriti Melayu, sebahagian kecilnya India dan ada juga Cina, tapi kamu nak ganggu.

“Kalau dia buat himpunan, kita boleh buat perhimpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela nasib orang Melayu,” kata Anwar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Kelmarin, Anwar mendakwa pihak yang menentang Akta URA tidak mahu taraf kualiti hidup orang Melayu di bandar meningkat.

Beliau mendakwa ada pihak tertentu mahu ‘Melayu itu dilemahkan’ supaya kelompok terbabit dapat mengawal pemikiran mereka dengan terus menghasut melalui agama dan kaum.

Antara pihak yang keras menentang akta itu ialah Pemuda PAS yang menyuarakan hasrat untuk berhimpun di jalanan.

Timbalan Ketua Pemuda Hafez Sabri menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai ‘penjajahan moden’, selain mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) akan menentang RUU yang akan dibentangkan Jun ini kerana boleh mengganggu keharmonian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan RUU itu disasarkan kepada kaum tertentu.

Thursday, March 13, 2025

Persempadanan pilihan raya ancam kedudukan Melayu

harakahdaily.net
March 13, 2025

KUALA LUMPUR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya dijadual bermula pada 2026 akan mewujudkan kerusi-kerusi yang sama sekali tidak memberikan keuntungan kepada orang Melayu.

Setiausaha Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aswanizam Alias berkata, terdapat cadangan supaya dipecahkan beberapa kawasan pilihan raya yang kemudiannya akan mewujudkan sehingga 80 kerusi baharu.

“Antara tempat-tempat yang dicadang untuk dipecahkan adalah kawasan di mana jumlah pengundi itu melebihi 100,000 orang. Lebih daripada 10 kerusi sekarang ini ada 100,000 lebih pengundi.

“Contohnya seperti di (Parlimen) Bangi, mungkin akan berpecah kepada tiga, empat dan sebagainya. Kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya 100,000 lebih bukan kawasan milik Melayu. Ini kita kena sedar dengan cepat,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan program ‘Malaysia Rumah Keduaku’ (MM2H) yang dilihat hanya dipenuhi oleh rakyat daripada negara China sejak program itu bermula pada 2002.

“Sejak program ini dijalankan, lebih daripada 56,000 kelulusan diberikan. Separuh daripada jumlah ini adalah warga China. Kenapa ramai sangat dekat situ? Macam ada satu plain lain pula, pelik sangat.

“Sebelum ini, mereka yang dapat kelulusan MM2H boleh bawa masuk anak-anak mereka yang dibawah 21 tahun. Tetapi selepas 2024, mereka buat pindaan mana-mana yang bujang sehingga umur 34 tahun, boleh bawa masuk,” katanya. 

HARAKAHDAILY 13/3/2025

Umno membunuh diri sendiri

harakahdaily.net
March 13, 2025

MENURUT sejarah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) berasal daripada gabungan parti-parti politik bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam dan bumiputera yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu. Tujuan penubuhannya adalah bagi menentang Kesatuan Malaya (Malayan Union) yang dirancang oleh penjajah British.

Pada Februari 1943, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perancangan Tanah Melayu di London, United Kingdom, bagi merancang pembangunan semula Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) yang diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone. Beliau ditugaskan untuk merangka satu bentuk pentadbiran baharu bagi Tanah Melayu selepas tamatnya perang.

Hasil daripada semua perbincangan yang diadakan, satu cadangan telah dikemukakan untuk menggabungkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malayan Union. Adapun Singapura pula masih dikekalkan sebagai tanah jajahan secara berasingan.

Keputusan Malayan Union untuk mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan kebimbangan pihak British terhadap penentangan orang Melayu. Mereka bimbang penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut.

Selain itu, Kerajaan British juga berhasrat menjadikan Singapura sebagai pangkalan tentera laut untuk operasi strategiknya di Timur Jauh. Namun begitu, tujuan utama British mengecualikan penyertaan Singapura dalam Malayan Union adalah disebabkan kepentingan ekonominya di wilayah itu. Kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan utama dan pelbagai lagi faktor lain yang berteraskan kegiatan ekonomi mendorong pihak British untuk mengekalkan Singapura, kononnya sebagai tanah jajahan London.

Kebanyakan buku-buku dari Barat menyatakan bahawa salah satu sebab utama pembentukan Malayan Union ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu ke arah kemerdekaan. Tindakan ini dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri, atau dalam erti kata lain, mencapai kemerdekaan. Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu pada ketika itu percaya bahawa rancangan ini sebenarnya bertujuan menukar status negeri-negeri Melayu daripada negeri naungan menjadi tanah jajahan British. Langkah ini dilihat sebagai satu strategi untuk memanjangkan tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan berpura-pura berusaha memberikan kemerdekaan.

Sedangkan, kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan, telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union. Keadaan ini menjadikan raja-raja di Tanah Melayu sebagai raja-raja yang tidak berdaulat.

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura ini, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Manakala Sultan-sultan Melayu pula masih mengekalkan kedudukan masing-masing, tetapi dengan bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu sahaja.

Adapun pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union juga akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset berkaitan agama Islam dan harta peribadi para sultan.

Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberikan banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Keadaan ini jelas menunjukan kedaulatan British ke atas Tanah Melayu di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Hal ini sekali gus menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union turut mencadangkan agar digubal undang-undang baharu yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura. Begitu juga kepada pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurangnya 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942.

Semua kewarganegaraan Malayan Union yang baharu itu akan mempunyai hak-hak yang sama dengan penduduk asal Tanah Melayu, termasuk penerimaan masuk ke perkhidmatan awam. Selain itu, kewarganegaraan Tanah Melayu juga turut diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan, selaras dengan prinsip jus soli.

Penjajah British tidak mengharamkan Umno dan membenarkannya bergerak aktif di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa yang sama, pihak British tetap meneruskan perancangan politiknya untuk memberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat yang mengekalkan pengaruh penjajahannya.

Apabila Umno menerima syarat-syarat British, khususnya prinsip jus soli dan perkara lain yang dilihat memberi kesan negatif terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, maka beberapa kumpulan parti politik dan NGO keluar daripada Umno. Antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Adapun kumpulan Islam pula menubuhkan Hizbul Muslimin.

Penjajah British kemudiannya mengharamkan kumpulan Islam, termasuklah PKMM. Mereka mengambil kesempatan daripada pengharaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengangkat senjata menolak sistem demokrasi.

Apabila British mencadangkan agar diadakan Pilihan Raya Umum Pra-Kemerdekaan pada tahun 1955, kumpulan Islam dalam PKMM, biro agama UMNO, dan NGO Islam telah menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Dalam pilihan raya tersebut, PAS bertanding dengan tema pembentukan Negara Islam, manakala UMNO berkempen dengan slogan “Agama, Bangsa, dan Tanah Air.”

Umno, sebagai parti Melayu terbesar, membentuk gabungan Perikatan bersama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), manakala PAS pula bertanding secara bersendirian. Keputusan pilihan raya menyaksikan Perikatan yang didominasi oleh Umno memenangi majoriti besar, manakala PAS hanya memperoleh satu kerusi sebagai parti pembangkang.

PAS bersama Umno dan kumpulan Islam yang lain telah berjaya meletakkan Islam, hak istimewa Melayu dan bumiputera, serta bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, konsep kebebasan beragama turut dilaksanakan bagi penganut agama bukan Islam.

Sepatutnya, Umno sebagai parti terbesar dalam kerajaan dengan majoriti yang besar berperanan memperkasakan Islam dan kedudukan Melayu serta bumiputera. Sebaliknya, perkara ini tidak dilaksanakan dengan berani, sehingga menyebabkan berlaku perselisihan yang sengit antara Umno dengan PAS dan membawa kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan Melayu Islam hanya kerana berbeza pendekatan.

Akhirnya, Umno mula dijangkiti penyakit gila kepada harta dan jawatan. Amalan politik wang dan rasuah semakin berleluasa, sehingga membarah dalam pemilihan kepimpinan parti. Lalu akhirnya, Umno kecundang dalam pilihan raya umum yang mutakhir.

Terdapat kalangan kepimpinan Umno yang memilih untuk menjadi parti yang menumpang Pakatan Harapan (PH). Sedangkan PH didominasi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu sebuah parti yang membawa konsep sekular yang meminggirkan Islam serta kepimpinan Melayu dan bumiputera. Kononnya, tindakan ini bertujuan untuk menguatkan semula Umno, tetapi hakikatnya lebih kepada usaha menyelamatkan diri daripada terjerat dalam kes mega rasuah dan pelbagai isu yang lain lagi.

Terkini, pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mengeluarkan kenyataan bahawa, “DAP tidak pernah dikuasai Umno semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.” Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Umno yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Situasi ini menunjukkan bahawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan UMNO dalam PH laksana mangsa yang dibelit oleh ular besar, sehingga letih lalu akhirnya ditelan sedikit demi sedikit.

Parti Amanah Negara dan pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi suara yang berteriak bagi pihak DAP, sementara PKR dan Umno (UmDAP) terpukau dengan belitan pangkat dan projek mega yang menidurkan. Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, atau Exco, malah ada yang menagih projek mega. Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis.

Bukan PAS yang membunuh Umno jika bersama-sama dalam satu gabungan, seperti yang diuar-uarkan. Sebaliknya, Umno yang sedang membunuh dirinya sendiri, laksana kelekatu yang terjun ke dalam api kerana tertarik kepada cahaya api yang akhirnya membakar diri.

Keadaan ini berbeza dengan PAS, yang pernah bekerjasama dengan DAP tetapi tetap berpegang teguh kepada petunjuk al-Quran, firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem, serta menolak pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta bumiputera.

Oleh itu, kita mengajak mereka yang telah terlanjur agar kembali ke pangkal jalan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Ramadan 1446 / 13 Mac 2025
[Bil: 18 / 2025] – HARAKAHDAILY 13/3/2025

Wednesday, February 26, 2025

Parlimen kecoh susulan Ahli Parlimen Jelutong cadang berita bahasa Tamil, Cina diperkasakan

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
Februari 26, 2025 
RSN Rayer (kanan), dan Datuk Rosol Wahid

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 kecoh seketika susulan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan supaya laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil diperkasakan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berang susulan mendakwa cadangan dikemukakannya itu dijadikan 'bahan jenaka' oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.

"Saya mencadangkan supaya penekanan diberikan kepada media digital dan online (dalam talian) terutama babitkan bahasa Tamil.

"Apa salahnya? Kenapa Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid) bantah sangat pengunaan bahasa Cina dan Tamil. Ini bukan satu lawak jenaka.

"Adakah itu pendirian Hulu Terengganu, BERSATU, PAS dan PN untuk bantah penggunaan bahasa Cina dan Tamil?" soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kekecohan timbul selepas Rosol bangkit memberi pandangan berhubung cadangan Rayer yang mahu bukan sahaja bahasa Melayu tetapi berita dalambahasa Cina dan Tamil turut diberi ruang yang sama.

Menurut Rosol, dia tidak membantah cadangan Rayer, cuma berpandangan keutamaan tetap perlu diberikan kepada bahasa kebangsaan.

"Saya tak bantah, tetapi keutamaan kita adalah bahasa Melayu. Bukanlah pula bermaksud ketepikan bahasa lain. Tetapi kalau orang Cina guna bahasa Mandarin, begitu juga (masyarakat India gunakan bahasa Tamil), bila perpaduan nak wujud?

"Ini bukan kenyataan untuk menyakiti sesiapa, tetapi satu pandangan. Timbalan Speaker (Alice Lau Kiong) pun bersetuju dengan saya," katanya.

Susulan pertikaman lidah itu, Rayer sekali lagi bangkit dengan merujuk peraturan 36 (9c) kerana mendakwa Rosol mengeluarkan pandangan yang boleh menimbulkan permusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Bagaimanapun, melihat suasana semakin tidak terkawal, Alice memberikan petua dan mengarahkan Rayer dan Rosol supaya segera duduk.

"Pada saya itu (sekadar) pandangan Hulu Terengganu (Rosol) dan dia tak kata bantah hujah Jelutong (Rayer)," katanya.

Sementara itu, R Yuneswaran (PH-Segamat) yang bangkit mengambil bahagian dalam perbahasan, turut menyentuh isu sama.

Beliau bersetuju dengan saranan Rayer supaya ruang yang sama diberikan bagi laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil.

"Perlu ingat, perkhidmatan laporan BERNAMA ini turut terbitkan kandungan dalam bahasa Cina, Tamil, Sepanyol dan Arab, selain (laporan berita) dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Jadi, maknanya semua berita dilaporkan secara adil dalam pelbagai bahasa. Maka saya setuju dengan Jelutong (Rayer) kita akui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain digunakan secara saksama, di sinilah kita mahu adanya perubahan," katanya.

Himpunan Pahang diteruskan walau depani provokasi

harakahdaily.net
February 26, 2025
‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam akan tetap meneruskan himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ yang dijadualkan esok walaupun berdepan dengan pelbagai provokasi menuntut agar himpunan itu dibatalkan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya sentiasa menghormati dan berlapang dada demi menghormati institusi diraja dan penyatuan orang Melayu dan Islam di seluruh negara.

“Berlaku sedikit tidak penyelarasan (himpunan), namun perkara ini tidak menjadi halangan kepada kita semua untuk kita terus hadir di dalam program ini.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri Pahang sama ada luar atau dalam negeri Pahang untuk terus hadir ke program ini bagi menumpahkan taat setia dan solidariti kepada Tuanku (Sultan Pahang).

“Kita menegaskan bahawa solidariti kepada Tuanku ini tidak hanya di peringkat Kuantan sahaja, selepas ini pihak NGO akan terus menggerakkan solidariti ini kepada peringkat-peringkat di seluruh negeri Pahang,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat serta Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Ustaz Ahmad Arshad.

Himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ yang akan diadakan esok, Khamis, 27 Februari adalah bagi menyatakan solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin dijadual akan memberikan ceramah umum di himpunan berkenaan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) selepas solat Isyak. 

– HARAKAHDAILY 26/2/2025

Pemuda PAS rancang demo besar-besaran bantah URA

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 
Pemuda PAS merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata Rang Undang-Undang (RUU) itu bakal menyaksikan penduduk bandar- khususnya masyarakat Melayu Islam yang kurang berkemampuan - diusir dari tanah mereka.

Menyifatkan URA sebagai satu bentuk penjajahan moden, Mohd Hazez berkata strategi sama pernah digunakan untuk mengusir rakyat Palestin keluar dari tanah mereka suatu ketika dahulu.

"RUU ini secara tersiratnya akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosio ekonomi, dan menindas hak-hak golongan tertentu.

"RUU ini juga dilihat menekan penduduk bandar, khususnya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan.

“Peruntukan undang-undang yang baru ini didapati memihak kepada pemaju yang berkepentingan atas nama pembaharuan semula bandar. Golongan minoriti akan tertindas. Mereka terpaksa keluar berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan.

"Kami amat bimbang, strategi yang digunakan untuk mengusir penduduk di Palestin satu masa dahulu akan berulang kembali.

“Penduduk asal akan berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya sendiri. Ini seperti satu bentuk penjajahan moden dan ia mesti dihentikan!" katanya.

Justeru, kata Hafez, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Melayu-Islam, untuk bersatu hati dalam membantah RUU berkenaan.

Menurutnya, sayap PAS itu akan terus berjuang bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan suara rakyat didengar dan hak mereka dipertahankan.

"Ayuh rakyat Malaysia, bersama kita bangkit dan nyatakan penolakan kita kepada agenda penjajahan moden yang bakal mengancam demografi bangsa dan nasib anak-anak kita," katanya.

Sebelum ini kerajaan dilapor bercadang membentangkan rang undang-undang itu pada bulan Jun atau Julai tahun ini.

Menerusi cadangan itu, kerajaan persekutuan berusaha menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dimulakan.

Pada masa ini, Akta Hakmilik Strata memerlukan badan pengurusan mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dimulakan.

Saturday, February 22, 2025

Peminggiran terancang Melayu dan Bumiputera?

harakahdaily.net
February 22, 2025

Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA)

KUALA LUMPUR: PAS Johor menegaskan pendirian menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana ia memberi tekanan kepada pemilikan hartanah orang Melayu dan Bumiputera di bandar.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin berkata, penolakan terhadap akta itu bukan bermaksud menolak pembangunan, sebaliknya kerana URA memberi ruang kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih tanah serta kediaman rakyat atas nama pembangunan.

“Namun, realitinya selepas projek siap, harga rumah meningkat mendadak dan penduduk asal, terutamanya golongan B40 Melayu dan Bumiputera, tidak mampu untuk kembali ke kawasan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, URA membuka ruang besar kepada pemaju untuk mengambil alih kawasan yang dihuni majoriti Melayu dan Bumiputera dengan alasan pembangunan semula, namun akhirnya bertukar menjadi kawasan kediaman elit yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya dan pelabur hartanah.

“Kami menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang membantah pelaksanaan akta ini kerana ia memberi kuasa kepada pemaju untuk mengambil tanah rakyat tanpa jaminan bahawa pemilik asal akan terus memiliki hak ke atas kediaman mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun kerajaan menyatakan pemilik asal akan diberikan unit baharu, tiada jaminan bertulis bahawa mereka tidak akan dikenakan bayaran tambahan, selain tiada kawalan terhadap kenaikan harga rumah selepas pembangunan.

“Kos penyelenggaraan dan cukai hartanah yang lebih tinggi akan membebankan pemilik asal. Akhirnya, mereka yang tidak mampu akan terpaksa menjual rumah mereka kepada golongan kaya, menyebabkan peminggiran semakin ketara,” katanya.

Abdullah menolak dakwaan bahawa kebimbangan terhadap URA sekadar mitos perkauman atau tuduhan politik, sebaliknya melihatnya sebagai satu peminggiran terancang terhadap rakyat Melayu dan Bumiputera melalui mekanisme undang-undang yang kelihatan sah tetapi berat sebelah.

“Jika kerajaan benar-benar mahu menjaga kepentingan rakyat, mengapa masih tiada jaminan konkrit bahawa pemilik asal tidak akan kehilangan hak milik akibat kenaikan harga rumah dan kos penyelenggaraan?” soalnya.

Justeru, PAS Johor katanya menuntut kerajaan menolak URA yang memberi kelebihan kepada pemaju dan memberi tekanan kepada rakyat Melayu dan Bumiputera, selain mendedahkan mekanisme pelaksanaan pembangunan semula secara telus serta memastikan pemilik asal diberikan unit baharu tanpa bayaran tambahan yang membebankan.

Mereka turut menggesa kerajaan mengawal kenaikan harga rumah bagi mengelakkan spekulasi hartanah yang mengakibatkan peminggiran penduduk asal serta menjamin skim bantuan dan subsidi bagi golongan B40 yang terkesan akibat pembangunan semula.

“Kami menyokong pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, tetapi menolak sebarang bentuk undang-undang yang menindas, terutama terhadap Melayu dan Bumiputera. Jika URA dibenarkan, ia hanya akan menjadi alat kepada pemaju dan pelabur untuk mengaut keuntungan atas tanah yang asalnya milik rakyat biasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendirian PAS Pusat dalam membantah URA kerana ia tidak memihak kepada kepentingan rakyat, sebaliknya memberi kelebihan besar kepada pemaju dan pelabur hartanah.

“Akta ini membuka ruang kepada peminggiran dan ketidakseimbangan pemilikan hartanah di bandar, yang akhirnya menekan rakyat Melayu dan Bumiputera,” katanya. 

Thursday, February 20, 2025

PAS perlu henti bodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal - MP DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 20, 2025 10:04 AM
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membidas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah satu rancangan halus untuk mengusir komuniti tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menuduh PAS ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’.

“Hakikatnya, URA diwujudkan untuk memperbaharui kawasan perumahan lama yang usang, tidak selamat dan berisiko tinggi untuk didiami.

“Banyak bangunan mengalami masalah struktur, sistem elektrik dan saliran uzur, selain ketiadaan fasiliti moden. Jika PAS mahu mempertahankan rumah hampir roboh dan membiarkan rakyat hidup dalam keadaan berbahaya, itu pilihan mereka.

“Tetapi kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat terus terperangkap dalam kemiskinan bandar hanya kerana takut kepada perubahan,” katanya.

Lim menafikan dakwaan bahawa URA ialah “kaedah halus” untuk mengusir orang Melayu dan India dari bandar, dengan menjelaskan bahawa pemilik asal—tanpa mengira kaum—akan diberi keutamaan.

“Mereka tidak diusir, malah ditawarkan kediaman lebih selesa di lokasi yang sama. Jadi, dari mana datangnya dakwaan bahawa URA adalah “kaedah halus” untuk menghalau orang Melayu dan India keluar dari bandar? Atau mungkinkah PAS sebenarnya takut rakyat memahami fakta sebenar dan tidak lagi termakan propaganda mereka?”soalnya.
Dalam pada itu, Lim turut mengecam kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa undang-undang sedia ada, yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik sebelum pembangunan semula boleh dijalankan, adalah memadai.

“Logik apa yang PAS guna? Bagaimana mahu mendapatkan persetujuan penuh jika ada pemilik yang sudah meninggal dunia, hilang, atau terbabit dalam pertikaian hak milik? Kalau ikut logik PAS, sampai kiamat pun pembangunan tidak boleh dijalankan. Hanya di Korea Utara setiap keputusan diterima bulat-bulat tanpa sebarang bantahan,” katanya.

Justeru Lim menggesa PAS berhenti mengelirukan orang ramai dengan teori konspirasi.

“PAS peru berhenti memperbodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal. URA bukan rancangan jahat, tetapi satu usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Akta Pembaharuan Bandar— yang masih belum dibentangkan di Parlimen— dikatakan merupakan usaha untuk membangunkan semula perumahan lama di kawasan bandar.

Salah satu perkara yang dicadangkan ialah untuk mengatasi halangan syarat 100 peratus persetujuan pemilik bagi pembangunan semula perumahan strata lama.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan mencadangkan agar nilai ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus bagi bangunan berusia bawah 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus bagi hartanah yang tidak selamat atau terbengkalai.

Pada Okt lalu, Nga, sebagai menjawab kritikan PAS mengenai rang undang-undang itu, menafikan bahawa ia akan meminggirkan mana-mana kaum.
Namun, ahli parlimen pembangkang mendakwa akta itu adalah perancangan secara halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, mendesak kerajaan menamakan URA tersebut sebagai akta "rampas rumah" kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Semalam, Nga menafikan dakwaan Syed Saddiq dengan mengatakan bekas menteri itu telah membuat tuduhan jahat yang bersifat fitnah di Dewan Rakyat.

Dia memberi jaminan akta yang akan dibentangkan itu melindungi pemilikan asal hartanah dan tiada pihak akan dapat merampasnya secara paksa, selain menolak kebimbangan pengkritik bahawa ia meminggirkan kaum tertentu.

Wednesday, February 19, 2025

'URA taktik halus singkir Melayu, India miskin keluar dari bandar'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain & Zarrah Morden & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 19, 2025 1:29 PM

PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) adalah taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu daripada terus menetap di kawasan bandar.

Sambil menyifatkan bahawa tiada keperluan untuk menggubal akta baru, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN- Kubang Kerian), berkata akta sedia ada telah memadai.
Tuan Ibrahim Tuan Man
"Tiada keperluan untuk wujudkan akta baru untuk pembangunan yang lebih penting demografi di kawasan bandar supaya tidak dimonopoli satu kaum.

"Bila akta ini diluluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan semula, mereka yang sebelum ini beli rumah dengan harga lebih RM100,000, mereka tak mampu beli balik rumah dengan harga lebih RM500,000.

"Menteri jawab bank ada untuk bagi pinjaman… jadi menteri nak bagi kapitalis monopoli. Ini kaedah halus supaya mereka yang tak mampu (untuk) keluar dari bandar khususnya orang Melayu, India," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, sekumpulan NGO berkumpul di hadapan pintu masuk ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap URA kepada ahli Parlimen PN.

Memorandum yang ditandingi 31 NGO itu diserahkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin.
Pada 30 Okt tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengingatkan pimpinan PAS “biar miskin harta, tapi jangan miskin minda”.

Mengulas dakwaan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan tahun depan bakal menindas golongan Melayu bandar, dia juga menasihatkan pimpinan PAS agar meninggalkan sikap asabiyyah mereka.

“Saya nak gesa ahli parlimen daripada PAS, sila tinggalkan sikap asabiyyah sedemikian.

“Bak kata pepatah Melayu, boleh miskin harta jangan miskin minda,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Nga Kor Ming
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ahli Parlimen PN akan menentang akta berkenaan yang jelas boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat.

Katanya, pindaan akta itu ke arah untuk mewujudkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akhirnya dikuasai oleh satu kaum sahaja.

"Dia (URA) ke arah bina pilihan raya PBT yang akan dimonopoli oleh satu kaum, kita akan menentang akta ini, kalau diluluskan akan timbul masalah lebih besar," katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Amzad dalam sidang media sama berkata akta itu jika diluluskan akan menggugat hak pemilikan tanah dalam bandar.

Katanya, jika sebelum ini ia memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik untuk membolehkan rumah ataupun tanah di sesuatu kawasan diambil bagi tujuan pembangunan.

"Sebelum ini (melalui) akta tanah sebelum ini perlu mendapat persetujuan 100 peratus...akta yang ada kini dalam keadaan tertentu persetujuan 51 peratus sudah boleh dijalankan dalam beberapa kategori.

"(Namun) secara had umum memerlukan 75 peratus (ini) mengancam mereka yang duduk dalam bandar," katanya.

Tuesday, February 18, 2025

Fesyen AJL39: Exco Selangor ingatkan TV3 tidak normalisasikan LGBT

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 18, 2025 8:30 AM

Exco Selangor, Najwan Halimi, mengingatkan TV3 agar tidak menormalisasikan budaya LGBT susulan penampilan fesyen kontroversi dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 yang melabuhkan tirai kelmarin.

Najwan, yang juga pemimpin PKR, menyelar tindakan stesen swasta itu yang membenarkan penampilan lelaki berpakaian feminin pada acara tersebut.

"Biadab dan memualkan! Saya nasihatkan @tv3malaysia jangan jadi enabler golongan mutasyabbih ini. Apakah TV3 menerusi #AJL39 cuba untuk menormalisasikan budaya LGBT di kalangan masyarakat?

"Tak sewajarnya insiden sebegini berlaku dalam majlis anugerah seni yang secara tradisi sejak 40 tahun lalu dianjurkan untuk meraikan karya terbaik di kalangan komposer dan penulis lirik tanah air," kata Najwan dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim, turut menyuarakan kebimbangan terhadap gaya pemakaian ala busana wanita yang dikenakan segelintir penonton lelaki pada acara itu.

"Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat, di mana pemakaian lelaki dan wanita mempunyai perbezaan yang jelas.

“Fesyen yang menampilkan lelaki berpakaian seperti wanita dilihat bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk prinsip dalam Islam dan budaya Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia menyifatkan mereka yang memilih berpakaian sedemikian bukan kerana gaya atau ekspresi seni, tetapi untuk mencipta kontroversi dan menarik perhatian media serta netizen.

Menurutnya, ini menjadikan AJL lebih kepada pentas "mencari publisiti" daripada acara penghargaan muzik yang sebenar.

“AJL seharusnya menjadi medan untuk meraikan muzik dan bakat artis, tetapi malangnya perhatian kini lebih tertumpu kepada pakaian aneh dan ‘songsang’ yang digayakan.

“Pemakaian seperti ini bukan sahaja menenggelamkan pencapaian artis dan lagu yang bertanding, malah menjadikan AJL sebagai acara fesyen yang penuh kontroversi,” ujarnya.

Justeru dia memberi amaran jika trend ini dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai yang tidak sejajar dengan budaya Malaysia.

“Saya dengan ini mendesak agar AJL menetapkan kod pakaian yang lebih jelas pada masa akan datang agar tidak mencetuskan kontroversi yang boleh mencemarkan imej acara berprestij tersebut.

"Penganjur hendaklah memastikan bahawa pakaian yang dipakai oleh selebriti mahupun peminat atau penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan,” katanya.

Selain itu dia turut mencadangkan agar Majlis Agama Islam memainkan peranan dalam menangani isu ini melalui peruntukan enakmen atau akta syariah serta mekanisme fatwa sedia ada.

Sunday, February 16, 2025

Menteri Ekonomi terlalu obses, lupa portfolio diri sendiri

harakahdaily.net
February 16, 2025

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menegaskan bahawa kewujudan sekolah vernakular menjadi punca perpecahan kaum dan meminggirkan Bahasa Kebangsaan di negara ini.

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, sekolah vernakular menjadi penyebab utama segelintir rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa Melayu walaupun lahir di negara ini.

Beliau turut mengkritik kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa sekolah vernakular menggalakkan persaingan sihat antara sekolah.

“Tanggapan Rafizi yang mengatakan wujud galakan persaingan sihat adalah kurang tepat kerana ia akan memecahkan sempadan perpaduan kaum di negara ini apabila wujudnya sekolah vernakular,” katanya kepada Harakahdaily, tadi.

Justeru, PERKASA menyarankan agar Rafizi melihat keadaan kehidupan seharian rakyat di Indonesia yang berbilang kaum tetapi bertutur dengan menggunakan bahasa ibunda negara Indonesia.

“Walaupun kita lihat mereka datang dari pelbagai etnik dan bangsa berlainan yang ada di Indonesia dan cuba kita bandingkan dengan segelintir rakyat di negara ini yang tidak fasih berbahasa Melayu.

“Ia akibat tembok sempadan yang dibina oleh sekolah vernakular ini. (Sedangkan) Sekolah vernakular tidak pernah wujud di Indonesia, Jepun, Korea, China dan Eropah.

“Tetapi di Malaysia bukan sahaja wujud sekolah vernakular, bahkan peruntukan untuk sekolah vernakular ditambah setiap tahun oleh kerajaan sehingga sekolah kebangsaan ada juga yang daif seperti di pedalaman luar bandar,” katanya.

Oleh demikian, PERKASA turut menggesa Rafizi agar fokus kepada kementeriannya yang lebih memerlukan perhatian seorang Menteri dalam mengukuhkan ekonomi di negara ini.

“Saya merasakan bahawa Menteri Ekonomi terlalu obses sehinggakan terlupa portfolio yang disandangnya dengan mengulas lebih lanjut yang sepatutnya diulas oleh Menteri Pendidikan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan pendirian mereka untuk mendesak sistem sekolah satu aliran dilaksanakan demi menjaga kepentingan Bahasa Kebangsaan serta memperkukuh perpaduan nasional.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berpandangan kewujudan sekolah vernakular memberi impak positif, khususnya menggalakkan persaingan sihat antara semua jenis sekolah di negara ini.

Tambah Rafizi, persepsi yang mengaitkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) tidak baik untuk negara, adalah tidak benar sama sekali.

 – HARAKAHDAILY 16/2/2025

Thursday, February 13, 2025

DAP cuma ada 40 kerusi, boleh berkhayal saja mahu pinda Perlembagaan kedudukan Islam – Asyraf Wajdi

suaratv.com
ByJanatul Firdaus Yaacob
13/02/2025

KUALA LUMPUR – DAP diingatkan cuma memiliki 40 kerusi di Parlimen justeru adalah tidak wajar untuk menuntut pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan Perkara 3 berhubung kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.

Asyraf berkata demikian mengulas cadangan supaya kerajaan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan, beliau menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Hormati Perlembagaan Perkara 3 Kedudukan Islam dan Raja- raja Melayu pemelihara Islam. Tiada keperluan Menteri Hal Ehwal Agama lain.

“Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja!

“DAP hanya ada 40 kerusi. Jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam,” bidas Asyraf dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Tegas Pengerusi MARA itu lagi, penegasan ini merupakan pendirian Presiden dan pimpinan Umno.

“Bahkan bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sama ada DAP, PKR, UPKO, parti-parti dalam gabungan Sabah GRS, parti-parti dalam gabungan Sarawak GPS, sudah menanda-tangan perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedaulatan Raja- raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Ahli-Ahli Parlimen BN-Umno juga telah diarahkan untuk menyatakan pendirian Umno dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu ni dan minggu hadapan.

“Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam,” katanya.

Menurut Asyraf lagi, pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.

“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda.

“Ya! Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang ( dua pertiga 3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu,” tegas beliau lagi.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Yu Hui (PH-Raub) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.

Monday, February 10, 2025

Tahun kedua penuh campur tangan ke atas Islam

harakahdaily.net
February 10, 2025

Tahun pertama tonjol pelbagai aktiviti dan tokoh Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu kembali kepada matlamat asal untuk membawa perubahan negara kepada acuan Islam yang sebenar sebagai agama Persekutuan, bersesuaian dengan dasar ‘Madani’ dislogankan.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat berkata, tahun kedua kerajaan menyaksikan pemimpin bukan-Islam seperti DAP dilihat mula mencampuri urusan berkaitan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

“Walaupun di peringkat awal dipenuhi dengan kehadiran para alim ulama terkenal dari luar negara serta pelbagai aktiviti keagamaan seperti Maulidur Rasul, zikir munajat, seminar, tausiyah, ceramah pengajian dan sebagainya.

“Namun pada tahun kedua keadaan jadi berubah,” katanya pada sidang media NGO Melayu-Islam yang turut dihadiri Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali, di sini hari ini.

Juga hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Jelas beliau, antara isu terbaru yang berlaku ialah bantahan garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan-Islam dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bantahan dibuat oleh pimpinan DAP, MCA, MIC dan pimpinan bukan Islam dalam Kerajaan Madani, juga cara tatakelola akhlak PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang menolak cadangan yang disokong oleh mufti ini.

“Adalah sangat merendah dan menghina JAKIM serta para mufti yang menyokong garis panduan ini. Ditambah lagi dengan isu-isu sensitif seperti kapal perang China di Pulau Pinang dan kibaran bendera China di Teluk Intan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat beragama Islam di negara ini untuk membuka mata dan sedar mengenai perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat yang beragama Islam agar lebih peka dan sensitif terhadap isu-isu yang merbahaya kepada agama dan negara termasuklah berani menegur, berani bersuara dan berani membantah.

“Sebarang dasar atau peraturan yang boleh mengancam, memudaratkan dan melemahkan Islam dan umat Islam dalam negara ini,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 10/2/2025

Sunday, February 9, 2025

Dr Akmal beri amaran kepada Ketua Pemuda DAP

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Februari 9, 2025
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong.

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO memberi amaran kepada Pemuda DAP (DAPSY) supaya tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan orang Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan sekiranya sayap DAP itu terus mengganggu gugat dan mencampuri urusan agama Islam, tidak mustahil mereka akan kembali menjadi pembangkang selama-lamanya.

"Apabila kamu mencampuri urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami orang Melayu Muslim mempertahankannya.

"Bagi orang Melayu Muslim seperti kami, agama dan bangsa melebihi daripada parti politik!

"Sekali lagi amaran kami berikan kepada kamu, urusan agama kami adalah urusan kami, bukan urusan kamu! Selama ini, kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu!" katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang dilaporkan mendakwa Dr Muhamad Akmal seolah-olah bertindak sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dan musuh dalam selimut terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus menggesanya meletak jawatan serta menyertai PAS.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, prinsip UMNO adalah menjaga agama, bangsa dan tanah air, bukan hanya berpolitik semberono.

"Maka, mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama kami, bangsa kami, tidak kira siapa pun mereka, ia menjadi tanggungjawab kami untuk lawan mereka," katanya.

Perbalahan kenyataan membabitkan dua sayap parti itu adalah berkait isu garis panduan untuk pembabitan umat Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam, yang sebelum ini menjadi polemik selepas ia dipertikaikan oleh beberapa pemimpin bukan Islam.

Friday, February 7, 2025

Kenapa kaum bukan Islam Kelantan tahu batasan agama?

harakahdaily.net
February 7, 2025


TUMPAT: Masyarakat bukan-Islam di Kelantan telah memahami apa yang menjadi larangan terhadap umat Islam untuk diamalkan terutama melibatkan makanan.

Kefahaman itu berlaku hasil hubungan baik masyarakat berkenaan dengan umat Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Rusli Abdullah pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat sempena Tahun Baru Cina Peringkat DUN Wakaf Bharu petang semalam.

Majlis anjuran Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) itu diadakan di Taman Perumahan Kulim, dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Khas Hubungan Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Lim Guang Seng dan pemimpin masyarakat setempat.

Tambah beliau, masyarakat Tionghua di Kelantan khususnya lebih memahami batasan agama dalam meraikan perayaan bersama masyarakat Islam.

“Sebagai contoh, jika mengundang umat Islam ke majlis mereka, mereka akan memastikan makanan ditempah daripada penyedia halal dari luar serta menyediakan minuman seperti air kotak atau air mineral sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti agama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selagi sesuatu perayaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerajaan negeri bersedia untuk turut serta meraikannya bersama masyarakat.

Pada masa sama, Rusli turut menasihati rakyat agar tidak terpengaruh persepsi negatif pihak luar yang tidak faham keharmonian sebenar di Kelantan.

Beliau berkata, walaupun komuniti bukan-Islam kecil, mereka tetap diraikan sebagai sebahagian daripada masyarakat Kelantan yang harmoni.
“Walaupun jumlah mereka hanya sekitar lima peratus, perpaduan kaum di negeri ini amat kukuh. Wakaf Bharu sendiri dihuni masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, Siam dan India,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad memberitahu, kerajaan negeri terus aktif merai kepelbagaian budaya kaum minoriti di negeri ini.

Katanya, keraian itu termasuk melalui penganjuran sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, program seperti itu bertujuan memastikan kaum minoriti turut merasai manfaat di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

“Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN sentiasa komited menganjurkan program sambutan perayaan bagi kaum minoriti, termasuk Tahun Baharu Cina.

“Ini membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat tanpa menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Menurutnya, UPKN juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Tionghua, agar mereka tidak terpinggir daripada agenda pembangunan negeri. 

HARAKAHDAILY 7/2/2025

Wednesday, February 5, 2025

'Terjemahan niat jahat': Polis digesa siasat pertikaian istilah 'kuda gila'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 5, 2025 8:41 AM
Pemuda MCA Petaling Jaya membuat laporan polis semalam, menggesa pihak berkuasa menyiasat pertikaian antara parti itu dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh mengenai istilah "kuda gila".

Sayap pemuda bahagian itu percaya istilah berkenaan telah diterjemahkan dengan niat jahat dan diputarbelitkan untuk mengelirukan orang ramai, yang menyebabkan parti itu menerima tuduhan tidak adil.

“Apa yang memburukkan keadaan ialah maklumat salah seperti itu boleh dieksploitasi oleh pihak yang berniat jahat, memperdalam lagi perpecahan sosial dan menjejaskan keharmonian antara kumpulan etnik yang berbeza,” kata timbalan ketuanya Lee Yee Yuan.

“Justeru, Pemuda MCA menggesa polis menyiasat secara menyeluruh perkara itu bagi menegakkan kebenaran dan mengelak penyebaran maklumat palsu,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Pemuda MCA Petaling Jaya berkata laporan polis itu dibuat oleh ketuanya Teoh Tuck Wah, yang diiringi Lee dan beberapa pemimpin parti lain.

Teoh menegaskan bahawa kebebasan bersuara harus berdasarkan fakta dan sebab, bukannya maklumat yang salah.

Dia menggesa semua pihak supaya tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan sebelum kebenaran dijelaskan sepenuhnya, bagi mengelakkan salah faham dan konflik yang tidak perlu.

“Dalam masyarakat yang pelbagai, kewujudan bersama yang harmoni adalah kunci kepada kestabilan negara. Khabar angin dan kenyataan yang mengelirukan tidak boleh dibiarkan menghakis kepercayaan bersama,” katanya.

Pada 30 Jan, Akmal membidas Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang berhubung penggunaan istilah Cina ‘癫马’ dalam catatan media sosialnya, yang secara harfiah diterjemahkan sebagai “kuda gila”.

Aksara Cina "马" - disebut mā - bermaksud "kuda".

Bagaimanapun, aksara itu juga boleh digunakan secara fonetik untuk mewakili bunyi “ma” apabila mengalih huruf daripada bahasa lain, termasuk perkataan Cina untuk Malaysia, Melayu, Mahathir dan Akmal.

Akmal mendakwa bahawa istilah itu digunakan untuk bermaksud "Melayu gila" dan menghina, tetapi Law menjawab dengan penjelasan panjang yang menyatakan bahawa istilah itu bermaksud "Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional".

Akmal berkata dia akan mengarahkan peguamnya dan Pemuda Umno untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Law.

Naib Presiden MCA Tan Teck Cheng kemudiannya mempertahankan Law dan menggesa Akmal supaya tidak bertindak keterlaluan serta merenung tindakan dan sikapnya yang menurutnya menyebabkan orang bukan Melayu tidak menyukai pemimpin Umno itu.

Sebagai tindak balas, Akmal mengingatkan MCA bahawa kedua-dua kerusi parlimennya adalah dalam kawasan majoriti Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi turut menyokong Akmal, menggesa MCA merenung mengapa ia ditinggalkan oleh pengundi bukan Melayu.

Monday, February 3, 2025

Tuduh Akmal gila lebih rasis, Puad beritahu MCA

suara.tv.com
ByJanatul Firdaus Yaacob
03/02/2025

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh tidak rasis seperti didakwa Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng bahkan Ketua Pemuda Umno itu tidak pernah memulakan kontroversi sebaliknya hanya bertindak balas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menegaskan, Akmal respon kepada tindakan pihak tertentu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan orang Melayu.

“Akmal bukan rasis seperti dakwaan naib presiden MCA. Apa bukti orang bukan Melayu tidak suka Akmal? Tan Teik Cheng sebaliknya lebih wajar bertanya kenapa bukan Melayu tidak menyukai MCA?

“Akmal respon kepada tindakan pihak tertentu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan orang Melayu. Bukan dia yang memulakan kontroversi itu. Dia bertindak atas kecuaian orang lain yang tidak sensitif.

“Tindakannya sama ada boikot atau laporan polis tidak melanggar undang undang. Akmal bukan rasis.

“Tuduh Akmal gila atau tidak berakal adalah lebih rasis. Ia tindakan baling batu sembunyi tangan. Boleh ditafsir cuba memihak kepada mereka yang sebenarnya memulakan kontroversi,” bidas Puad.

Speaker Dun Johor malah mengingatkan supaya MCA jangan dilihat memihak kepada individu atau pihak yang memulakan kontroversi agama atau kaum.

“MCA pun tahu jadi rasis belum menjamin bukan Melayu kembali sokong MCA.

“Ada sebab lain. Cari sebab sebab itu. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

PAS sedia bekerjasama semula jika ada pertukaran pimpinan Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 10:30 AM
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memberi bayangan bahawa kerjasama antara PAS dan Umno boleh dihidupkan kembali sekiranya presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, tidak lagi menerajui kepimpinan parti tersebut.

Menurutnya, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan Umno demi menyatukan umat Islam di Malaysia.
Hashim Jasin
Merujuk kepada kerjasama terdahulu menerusi Muafakat Nasional, katanya, dia berkata: “Dengan Umno ini dah pun kita rancang dan wujudkan perpaduan ummah termasuk ada piagamnya, tapi mungkin ada masalah sikit, tapi pintu kita tak pernah tutup.”

“Kita pun tahu siapa yang menolak (kerjasama) itu sebelum ini, mungkin dengan pertukaran kepimpinan dalam Umno, mana tahu pintu akan terbuka luas balik, Insya-Allah.

“Apa-apa pun kita lihat nanti lepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya yang dipetik oleh Scoop.

Ketika ditanya sama ada Bersatu - rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional - akan menentang kerjasama dengan Umno, Hashim berkata perkara itu boleh diselesaikan antara parti yang terlibat.
“Itu terpulang kepada mereka (Umno dan Bersatu), tapi bagi PAS, kita terbuka untuk perpaduan ini, kita sentiasa berdoa.

“Dengan kes-kes yang berlaku sekarang ini sama ada dalam dan luar negara mungkin membuka jalan untuk pimpinan-pimpinan memikirkan apa yang perlu kita beri keutamaan demi penyatuan ummah dan Islam,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud menyatakan keyakinannya bahawa Umno dan PAS masih boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional sebelum pilihan raya akan datang.

“Akar umbi Umno dan PAS, mereka lebih suka bermuafakat, memang rata-rata kalau pergi ke akar umbi, saya rasa pimpinan atas pun tahu, mereka minta supaya MN dihidupkan kembali,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum lalu, secara konsisten menolak cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional dengan menuduh PAS tidak ikhlas dalam kerjasama tersebut.

Akmal: MCA perlu renung dua kerusinya di kawasan apa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 3, 2025 8:00 AM
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengingatkan MCA bahawa MCA mempunyai wakil rakyat di parlimen kerana sokongan orang Melayu.

Ini selepas seorang naib presiden MCA menasihatkan Akmal untuk merenung kenapa orang bukan Melayu mempunyai persepsi negatif terhadapnya.

"Cuba renung juga, dua kerusi yang kamu menang tu di kawasan apa... Takut-takut kamu terlupa dan saya ingatkan," katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Ayer Hitam dan Tanjong Piai yang dipegang MCA adalah kawasan pengundi dengan komposisi campuran tetapi dengan demografi pengundi Melayu lebih tinggi daripada 50 peratus.

Di Ayer Hitam - kerusi Presiden MCA Wee Ka Siong - kira-kira 56 peratus pengundi semasa pilihan raya umum lalu dilaporkan adalah Melayu.

Perbalahan terbaru Akmal dengan MCA berlaku selepas catatan Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina oleh Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang, yang mengkritik Akmal dalam bahasa Cina.

Salah satu catatan itu diterjemahkan sebagai merujuk kepada Akmal sebagai "Melayu gila".

Law, bagaimanapun, menjelaskan bahawa "癫马" adalah frasa biasa di media sosial yang bermaksud - "Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional".

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng kemudian berkata Akmal mendapat julukan itu kerana dia sentiasa menyakiti perasaan orang bukan Melayu.

Mengulas dakwaan Tan, ketua Pemuda Umno itu berkata tindakannya bukan bertujuan untuk mencari pengaruh.

“Kami pertahankan agama dan bangsa kami bukan sebab nak orang suka kami, tetapi atas sebab tanggungjawab kami untuk menjaga kesucian agama dan bangsa kami.

"Kamu sentuh dan perlekehkannya,kami akan lawan kamu habis-habisan tidak kira kamu dari parti apa," katanya.

Saturday, February 1, 2025

PAS dijangka terajui Pulau Pinang PRU17 – penganalisis

harakahdaily.com
February 1, 2025
KUALA LUMPUR: Peningkatan populasi Melayu di Pulau Pinang dijangka memberi kelebihan kepada PAS untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) di negeri itu pada masa depan, kata penganalisis politik.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata bahawa walaupun Gerakan kini menjadi pilihan logik untuk memimpin PN Pulau Pinang kerana kawasan majoriti Cina, pengaruh PAS dijangka meningkat dalam dua pilihan raya akan datang menjadikannya lebih layak menerajui PN di negeri itu.

“Jika PAS menerajui PN sekarang, mereka akan kehilangan undi Cina sepenuhnya. Namun, dengan pertumbuhan populasi Melayu di Pulau Pinang, ia menjadi langkah yang masuk akal kerana mereka masih boleh memenangi negeri ini,” katanya kepada sebuah media tempatan.

Pada 2020, Melayu menjadi kumpulan etnik terbesar di Pulau Pinang dengan 44.4 peratus daripada populasi, diikuti oleh Cina (39.1 peratus), India (9.45 peratus), dan lain-lain (7.1 peratus).

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Penang Institute, Dato’ Dr Ooi Kee Beng berpendapat bahawa pengundi Pulau Pinang lebih menilai dasar dan kesepaduan sosial berbanding perubahan demografi, memandangkan identiti pelbagai budaya serta kedudukan negeri itu di peringkat antarabangsa.

Oh mengakui PAS membuat kemajuan ketara dalam pilihan raya negeri 2023 yang dikuasai DAP, memenangi tujuh kerusi iaitu pencapaian tertinggi parti itu di negeri tersebut dan Bersatu, dengan empat kerusi, hanya menumpang pengaruh PAS.

“Saya rasa pengundi PN di Pulau Pinang kebanyakannya mengundi PAS. Mereka tidak mengundi Bersatu, apatah lagi Gerakan,” katanya, menambah bahawa ini mengukuhkan hujah PAS untuk mengetuai PN Pulau Pinang.

Beliau juga menolak kemungkinan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) memimpin PN di Pulau Pinang.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan denga memetik sumber bahawa PN merancang menumpukan kepada pengundi Melayu dan India untuk memperoleh majoriti tipis dalam pilihan raya negeri akan datang, sambil mengakui kesukaran menarik sokongan pengundi Cina.

Bagaimanapun setakat ini, Gerakan tidak berjaya membantu PN memenangi sebarang kerusi Parlimen atau DUN di Pulau Pinang, meskipun pernah memerintah negeri itu selama 39 tahun dari 1969 hingga 2008.

Namun, parti itu tetap menyatakan keyakinan mereka mampu menawan semula Pulau Pinang berdasarkan pengalamannya mentadbir negeri tersebut.

Oh dan Ooi berpandangan bahawa zaman kegemilangan Gerakan di Pulau Pinang sudah berakhir dan sukar dikembalikan melainkan parti itu meninggalkan PN.

Oh berkata, Pulau Pinang pernah menikmati ledakan teknologi pada 1970-an di bawah kepimpinan Gerakan, yang mencipta banyak peluang pekerjaan dan melonjakkan ekonomi negeri itu.

Namun menurutnya, sokongan terhadap parti itu merosot selepas 2008 akibat kekecewaan terhadap Barisan Nasional dan kini dengan hubungan politiknya bersama PAS, Gerakan tidak lagi mempunyai peluang untuk meraih sokongan bukan-Melayu.

Ooi berpendapat bahawa Gerakan hanya boleh kembali relevan jika ia keluar daripada PN dan berperanan sebagai parti pembangkang tempatan.

“(Gerakan perlu) dipimpin oleh pemimpin yang memahami kebimbangan pengundi Pulau Pinang terhadap pentadbiran PH selama 16 tahun lalu serta menawarkan penyelesaian yang berwawasan,” katanya. 

HARAKAHDAILY 1/2/2025

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-