Monday, September 14, 2015

Kes Altantuya: Buat laporan polis bukannya cerita

FATHIN ATHIRAH HASLI
14 SEPTEMBER 2015
Bekas Ketua Polis Negara ,Tan Sri Musa Hassan memberi penjelasan berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, hari ini.‎ - Foto Sinar Online oleh FATHIN ATHIRAH HASLI

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyeru mana-mana pihak untuk membuat laporan polis sekiranya menemui bukti baharu dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kata Musa, laporan rasmi akan membolehkan kes terbabit dibuka semula untuk disiasat.

"Saya menyeru kepada sesiapa sahaja yang mempunyai bukti mengenai kes itu untuk membuat laporan polis, dan bukannya membuat cerita.

"Pihak polis tidak akan tutup mata dan kes itu boleh dibuka semula jika ada bukti-bukti baharu, "katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah terlibat dengan pembunuhan itu.

"Hari ini, kita masih dapat lihat laporan berita yang menyiarkan berita tersebut. Ada yang fakta dan ada yang fiksyen (dalam laporan berita tersebut).

"Saya kesal dengan laporan media yang masih mengaitkan Perdana Menteri dengan Altantuya. Jadi hari ini saya terpanggil untuk mengadakan sidang media berkenaan perkara tersebut," katanya lagi.

Hari ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya turut menggesa pihak kerajaan menyaman Al Jazeera berikutan penerbitan dokumentari yang mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya ‎jika laporan itu tidak benar.

“Jika kerajaan fikir dokumentari itu tidak benar, mereka patut saman Al Jazeera kerana memfitnah.

“Al Jazeera ditonton jutaan orang di seluruh dunia. Kebanyakan orang percaya apa yang mereka lihat.

“Semata-mata berkata ia tidak benar mungkin meyakinkan sebahagian rakyat Malaysia, tetapi tidak akan meyakinkan orang luar," tulisnya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri sudah menafikan laporan yang mengaitkan Najib itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-