Sunday, September 13, 2015

Sindiket dadah tumpas: dua anggota polis ditahan

Siasatan awal juga mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 15 rekod tangkapan pelbagai kesalahan termasuk curi kenderaan, penyalahgunaan dadah dan senjata api.

JOHOR BAHRU, 13 September:

Satu sindiket penyalahgunaan dadah berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya enam suspek termasuk dua orang anggota polis dan seorang wanita, dalam satu operasi khas dua hari lalu.

Difahamkan ahli-ahli sindiket itu menjual methamphetamine kristal (syabu), pil psikotropik dan juga ganja di sekitar daerah Johor Bahru beberapa bulan lalu.

Hasil siasatan mendapati kumpulan itu juga terlibat dalam kes curi dan pecah rumah yang dipercayai sebagai pendapatan sambilan.

Suspek yang ditahan berusia di antara 25 dan 38 tahun ditahan oleh pihak polis secara berperingkat ekoran pemeriksaan rutin di sebuah rumah di Jalan Padi Malinja 8 di Bandar Baru Uda di sini pada pagi Rabu.

Dalam operasi yang dijalankan itu, dua orang suspek iaitu lelaki berusia 25 dan 38 yang memiliki kenderaan curi jenis motorsikal Honda CBR1000, komputer riba dan juga pelbagai jenis dadah terutamanya amphetamine.

Kedua-dua suspek yang ditahan itu, membawa kepada penahanan suspek ketiga di Jalan Jagung, Bandar Baru Uda.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh polis menunjukkan bahawa suspek berusia 34 tahun itu memiliki bungkusan daun kering mampat yang dipercayai ganja, pisau, T-baton dan juga snowcap dalam motosikalnya,” kata jurucakap polis kepada The Rakyat Post.

Siasatan lanjut oleh Polis Daerah Johor Bahru Utara mendedahkan, motorsikal yang dicuri itu harus diserahkan kepada tiga lagi rakan pada hari Khamis di sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Skudai.

Menurut jurucakap polis, hasil operasi yang dilakukan telah berjaya membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek termasuk seorang wanita berusia 28 tahun.

“Operasi itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 29 dan 26 tahun yang juga anggota polis.

“Salah seorang daripada anggota polis itu berpangkat dan bertugas dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 di Sandakan Sabah, manakala seorang lagi sedang menjalani hukuman digantung tugas dari Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bahru,” katanya.

Jelasnya lagi, anggota polis yang digantung tugas itu mempunyai tiga kes berkaitan penyalahgunaan dadah, pecah rumah dan juga curi kenderaan.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk siasatan lanjut.

Suspek perempuan yang ditahan ialah seorang anggota polis PGA, didapati positif dadah jenis amphetamine selepas menjalani ujian air kencing.

Siasatan awal juga mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah dan salah seorang daripada mereka mempunyai15 rekod tangkapan pelbagai kesalahan termasuk curi kenderaan, penyalahgunaan dadah dan senjata api.

Pemangku Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai mengesahkan penahanan suspek-suspek tersebut.

“Polis sedang menyiasat suspek kerana terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah dan juga kes curi motosikal.

“Dalam siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat penangkapan seterusnya berhubung kes itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/13/sindiket-dadah-tumpas-dua-anggota-polis-ditahan/#ixzz3lY0Ddg1c

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-