Saturday, October 24, 2015

'Tiada jaminan tukar Najib akan kuatkan Umno'

Kamarul Azman (baju hitam) dan Ketua Cawangan Umno yang lain tidak khuatir dikenakan tindakan, kerana mendesak Najib berundur. - Foto TRP/ SM Amin


PORT DICKSON, 24 Oktober:

“Jaminan itu tidak ada,” kata Ketua Umno Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman, ketika ditanya apakah jaminan terhadap tindakan mereka mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, akan menguatkan parti.

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Suara hati akar umbi Umno Telok Kemang’ di Kelab Golf Port Dickson, hari ini.

Bagaimanapun, kata Kamarul Azman, masalah kepimpinan tertinggi Umno yang berlaku ketika ini, tidak akan memberi perkembangan positif untuk parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelasnya, perubahan perlu dilakukan, supaya sokongan rakyat terhadap Umno dapat dikembalikan.

“Hari ini, situasi yang amat berbeza, apabila ahli Umno sendiri pertikai kredibiliti pemimpin tertinggi,” katanya.

Sidang media itu dianjurkan 13 daripada 54 Ketua Umno Cawangan di Bahagian Telok Kemang, Negeri Sembilan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini melepaskan jawatannya, selepas didesak ahli dan pucuk pimpinan Umno.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak menambah kekuatan parti, kerana Barisan Nasional hanya memenangi 133 kerusi Parlimen pada PRU 2013, berbanding 140 kerusi pada PRU sebelumnya.

Tegas Kamarul Azman, beliau dan Ketua Umno Cawangan yang lain tidak khuatir dikenakan tindakan, kerana mendesak Najib berundur.

“Saya rasa ahli Umno ada tiga kategori, sedar apa yang berlaku, tetapi senyap; menentang benda yang salah dan jadi kaya serta perjuangkan kebenaran, tetapi tidak ke mana.

“Kami kategori yang ketiga,” katanya sambil menambah, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon sesuai untuk menggantikan Najib, mengikut tradisi parti.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/24/tiada-jaminan-tukar-najib-akan-kuatkan-umno/#ixzz3pSqIzmbO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-