Wednesday, November 4, 2015

Azmin jamin DEIG dibentang di DUN Selangor

Zulaikha Zulkifli
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, kerangka struktur operasi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah siap untuk diberi kepada penasihat undang-undang negeri bagi mendapat maklum balas perundangan sebelum dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, kerangka itu perlu diberi kepada pegawai undang-undang negeri terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan operasinya dipantau jawatankuasa yang dilantik kerajaan Selangor.

"Kita beri jaminan struktur DEIG ini telus dan telah disiap. Kerangka ini akan dirujuk kepada kamar undang-undang negeri (penasihat undang-undang negeri) untuk mendapatkan maklum balas perundangan sebelum dibentang kepada lembaga pengarah MBI dan sebelum dibahaskan di DUN.

"Kita mahu perjalanan operasi DEIG ini dipantau oleh jawatankuasa yang dilantik oleh DUN Selangor serta perauditan oleh Jabatan Audit Negara," katanya dalam ucapan penggulungan Bajet Selangor 2016 di Shah Alam hari ini.

Selain itu, ADUN Bukit Antarabangsa itu turut menegaskan bahawa DEIG akan beroperasi sepenuhnya selepas semua elemen ketelusan dan sistem tadbir korporat diputuskan penasihat undang-undang negeri.

DEIG dilapor ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan dilancarkan pada Mei tahun ini untuk menguruskan pelaburan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau dikenali sebagai MBI.

DEIG adalah milikan penuh MBI dan mempunyai modal dibenarkan sejumlah RM10 juta.

Ia akan akan ditadbir oleh lembaga pengarah terdiri daripada Menteri Sesar Selangor, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI, selain disokong golongan professional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-