Monday, May 2, 2016

PAS Sarawak yakin menang 1-2 kerusi

Nawar Firdaws

Kami bersedia lebih awal berbanding parti lain, kata Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili.

VIDEO INSIDE
KUCHING: PAS Sarawak yakin mampu merangkul ‘satu atau dua’ daripada sebelas kerusi DUN yang ditandinginya pada PRN kali ini.

Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterimanya sepanjang melawat DUN-DUN yang ditandingi parti itu.

Menurutnya, ada dua DUN yang menunjukkan sokongan yang kuat kepada PAS, iaitu Beting Maro dan Sebuyau yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

“Saya ke Beting Maro semalam, poster calon (Hamidah Mokhtar) sangat popular sehingga habis dan kami perlu menambahnya.

“Nampaknya antara sebelas calon kita, Beting Maro adalah paling popular. Mungkin kerana beliau masih muda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau juga berkata, PAS terutama jenteranya sememangnya bersedia dalam PRN kali ini.

Hanya dua halangan yang mengekang parti itu, katanya lagi, iaitu sekatan terhadap sebahagian ahlinya dari Semenanjung serta “padang perlawanan yang tidak sama rata”.

“Kami bersedia lebih awal berbanding parti lain dan yang pertama mengumumkan senarai calon dan DUN. Ini adalah kali keempat bertanding (dalam PRN Sarawak), tetapi ini pertama kali kami melihat jentera parti begitu bersemangat.

“Namun ada yang dihalang masuk, atau hanya boleh berada di sini sehingga 5 Mei. Maka kami menggesa kerajaan sementara agar lebih terbuka,” katanya lagi.

Adenan menggunakan kuasa imigresen yang ada pada kerajaan negeri untuk menyekat sejumlah ahli politik pembangkang dan aktivis daripada memasuki Sarawak.

Ada juga sebahagian yang dibenarkan masuk tetapi sehingga 5 Mei sahaja, dua hari sebelum hari mengundi.

Adenan menyatakan ia bagi memastikan proses pilihanraya berjalan secara aman dan terkawal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-