Tuesday, June 27, 2017

PAS juga kutip sumbangan ahli biaya saman Sarawak Report

FMT Reporters

Naib Presiden Idris Ahmad berkata dalam masa 3 hari sahaja Sarawak Report berjaya mengutip RM160,000.
PETALING JAYA: Sehari selepas portal Sarawak Report mengutip £30,000 (RM160,000) hasil sumbangan orang ramai untuk membantu membela diri dari saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS juga meminta ahlinya supaya menyumbang kepada yuran guaman mereka.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata dalam masa 3 hari sahaja Sarawak Report berjaya mengutip jumlah itu daripada 615 penyumbang.

“Mungkin akan dapat banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di Harakahdaily hari ini. “Pakatan moden peringkat antarabangsa akan melawan PAS.”

“Mereka akan bersatu untuk memadam cahaya perjuangan PAS. Mereka cukup dendam dan benci pada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam.”

Beliau berkata mereka yang menyokong Sarawak Report akan berlumba-lumba untuk menderma kepada portal itu, dan PAS akan menghadap semua cabaran ini “dengan kekuatan ahli PAS”.

“PAS tidak tunduk kepada sesiapa. PAS tidak ada tuan yang memberi dedak sama ada tuan luar negara atau dalam negara. PAS adalah PAS.”

Semalam dilaporkan Sarawak Report berjaya mengutp dana dalam masa sesingkat 3 hari sahaja melalui platform dana terbuka Crowd Justice. Setakat ini mereka berjaya mengutip £30,452 hasil sumbangan 615 penyumbang.

Hadi pada 21 April lalu memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London.

Hadi menyaman artikel Sarawak Report yang mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada PAS, dakwaan yang dinafikan parti itu.

Sarawak Report berkata ia berdepan yuran guaman yang mahal apabila memfailkan pembelaan terhadap saman Hadi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta setiap ahli menyumbang RM5.00 sementara setiap pemimpin RM100.00 untuk biaya tindakan undang-undang itu.

Di muktamar PAS baru-baru ini, parti itu menubuhkan tabung khas untuk mengutip dana bagi membiayai perbelanjaan undang-undang yang mahal. Parti itu dilaporkan berjaya mengutip RM200,000.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-