Tuesday, March 13, 2018

Malaysia tetap defisit walaupun ada GST...?

Malaysia tetap defisit walaupun ada GST

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
13 MAC 2018

Guan Eng

GEORGETOWN - Malaysia mencatatkan defisit setiap tahun sejak 2015 walaupun pada tempoh tersebut, cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah dilaksanakan di negara ini.

Perkara itu sekali gus menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pelaksanaan GST akan menyelamatkan Malaysia sebagai negara defisit dengan kutipan RM45 bilion setahun melalui kutipan cukai tersebut.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Najib mengenai GST adalah tidak benar kerana bajet negara sudah menunjukkan defisit sejak GST dilaksanakan.

“Setiap tahun, 2015, 2016 dan 2017, Malaysia menunjukkan defisit walaupun pada tempoh itu, GST sudah pun dilaksanakan. Oleh itu, saya tak tahu apa yang beliau katakan bahawa tanpa GST, Malaysia akan jadi negara defisit.

“Bukan macam Pulau Pinang, kita sedang bergembira dengan bajet surplus sejak dahulu lagi, sejak Pakatan Harapan memerintah negeri ini. Sedangkan, Pulau Pinang tak buat GST pun, tapi masih surplus,” katanya kepada media semalam.

Guan Eng berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib mengenai Malaysia akan menjadi negara defisit tanpa kutipan hasil RM45 bilion melalui pelaksanaan GST.

Najib berkata, tanpa GST, negara tidak mungkin mampu mengutip hasil sebanyak RM45 bilion setahun yang kemudian dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan, pekebun kecil dan nelayan serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Najib berkata, kadar GST Malaysia antara terendah di dunia, iaitu 6 peratus di mana 164 negara lain turut melaksanakan GST, dengan yang terbaru di India.

Setiausaha Agung DAP itu menambah, pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, negara tidak berada dalam defisit walaupun pada ketika itu, GST belum diwujudkan.
“Dulu Tun jadi PM, beliau tak buat GST pun, tapi negara tak juga defisit. Jadi, mengapa kita perlukan GST? Pemimpin BN kata tanpa GST, BR1M tak boleh bagi, projek tak boleh dijalankan. Tapi kita di Pulau Pinang, mampu buat. Kita tak ada GST, bantuan dan projek masih jalan.

“Mengapa kita boleh? Sebab kita hapuskan rasuah. Jika di Pulau Pinang kita boleh buat, kita juga boleh buat di Putrajaya jika menang kelak. BR1M masih boleh diberikan tanpa kutipan GST sekiranya Pakatan Harapan menguasai Putrajaya nanti,” katanya.

Guan Eng berkata, Pulau Pinang telah membuktikan dengan pelaksanaan 99.7 peratus projek pembangunan dengan hanya menggunakan 55.4 peratus bajet tahunan.

“Laporan Ketua Audit Negara 2015 mengakui Pulau Pinang berjaya menyiapkan 99.7 peratus projek pembangunan iaitu 16,126 daripada 16,173 projek dengan hanya membelanjakan 55.4 peratus bajet tahunan (RM951. 61 juta).

“Mengapa kita mampu buat seperti ini? Sebab kita bebas rasuah. Kita akan hapus GST tapi dalam masa sama, mampu bagi BR1M,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-