30 MEI 2018
WALAUPUN Kerajaan Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan mengkaji semula pelaburan China di Malaysia, namun pelabur China seharusnya yakin dan tidak perlu takut meneruskan perancangan asal mereka.
Menurut lidah pengarang Southern Morning Post, sekiranya Kerajaan China dan pelabur China menaruh keyakinan terhadap kerajaan baharu Malaysia, sudah pasti hubungan antara Kerajaan China dengan Malaysia akan dapat terus terjalin dengan baik.
Kata akhbar ini, Dr Mahathir Mohamad ketika memegang jawatan perdana menteri antara 1981 hingga 2003, beliau berjaya membina hubungan baik dengan semua negara di Asia, termasuk China.
"Walaupun Malaysia telah memilih kerajaan yang baharu, tetapi hubungan antara China dengan Malaysia dijangka tidak akan berubah. Malaysia masih memerlukan pelaburan dan kepakaran daripada China.
"Ini adalah sebahagian daripada 'Satu Jalur Satu Laluan' yang diasaskan oleh Kerajaan China," kata akhbar ini lagi yang dipetik oleh Nanyang Siang Pau.
Sebelum PRU14, jelas akhbar ini, Dr Mahathir telah menegaskan sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan, pihaknya akan mengkaji semula semua projek pembangunan yang dijalankan oleh China seperti projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Forest City dan sebagainya.
"Bagaimanapun, pada minggu lalu, Dr Mahathir telah secara terbuka memberitahu bahawa Kerajaan Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelaburan daripada semua negara tanpa mengira perbezaan politik," kata akhbar ini.
Jualan kereta terpakai tidak terjejas
Memandangkan Hari Raya Aidilfitri hampir menjelang tiba, jualan kereta terpakai dilaporkan agak menggalakkan walaupun terpaksa menghadapi saingan daripada jualan kereta baharu.
Banyak syarikat penjual kereta terpakai kini berusaha memberikan potongan diskaun yang banyak kepada pelanggan.
Promosi yang dilakukan syarikat-syarikat ini pada musim perayaan ketika ini dikatakan berjaya.
Mulai 1 Jun ini, ramai berpendapat jualan kereta terpakai di seluruh negara dijangka menurun disebabkan tiada lagi cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas semua barangan termasuk kereta baharu.
Bagaimanapun, menurut laporan Sin Chew Jit Poh, penetapan kadar sifat GST akan meningkatkan jualan kereta tanpa mengira kereta lama mahupun baharu.
"Sebagai contoh, kereta terpakai Toyota Vios yang berusia lima tahun boleh dijual dalam lingkungan RM50,000, manakala harga kereta baharu untuk model yang sama dijual lebih kurang RM70,000. Jika membuat perbandingan, kereta baharu seperti ini akan menjadi pilihan pelanggan.
"Bagi jualan kereta terpakai yang berusia 10 tahun ke atas tidak akan terjejas disebabkan harganya telah berada di tahap paling rendah," kata seorang pengusaha kereta.
Menurutnya, selain kereta persendirian, jualan untuk kenderaan perdagangan terpakai seperti van dan lori dijangka meningkat disebabkan aktiviti ekonomi akan kembali cergas beberapa bulan akan datang.
"Bermula daripada bulan Ramadan hingga hari ini, jualan kereta terpakai di syarikatnya agak memuaskan.
"Saya akan cuba menjual seberapa banyak kereta yang ada. Dijangkakan bermula Jun ini, jualan kereta terpakai akan menurun sedikit," katanya.
Rakyat Singapura sedia berbelanja di Malaysia
Ramai rakyat Singapura dijangka memasuki Malaysia mulai minggu hadapan bagi tujuan membeli-belah dan melancong apabila GST pada kadar sifar berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.
Menurut Sin Ming Daily, sejak beberapa hari yang lalu, ramai rakyat Singapura telah berpusu-pusu ke syarikat pengurup wang untuk menukar mata wang ringgit.
Perniagaan syarikat pengurup wang di Singapura ini dikatakan telah meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus sejak seminggu yang lalu.
Buat masa ini, kadar pertukaran mata wang 1 Dolar Singapura adalah RM2.96 dan dijangkakan akan meningkat kepada RM3 disebabkan ketidaktentuan pasaran.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.