30 JULAI 2018
Prof Datuk Dr Ramlah Adam
SHAH ALAM - Fakta tentang golongan berhaluan kiri dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah dimasukkan ke dalam buku teks sejarah, namun tidak diperincikan kerana dikhuatiri ia disalah tafsir dan menimbulkan ketegangan.
Penulis buku teks sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, menjadi dasar kerajaan ketika buku teks ditulis untuk tidak memperincikan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kaum atau peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dan hari Hartal.
"Tetapi (cerita) PKM ada, parti kiri pun ada. Nama-nama kiri seperti Dr Burhanuddin (Helmi) dan Ahmad Bustamam pun kita sebut dalam buku teks, selain daripada nama Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak (Hussein).
"Kita tidak cerita meluas, kalau pelajar hendakkan perinciannya, masa masuk universiti boleh dibincangkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya tentang keperluan untuk memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk PKM.
[ARTIKEL BERKAITAN: Belum kaji cadangan nilai semula buku teks sejarah]
Semalam, aktivis, Fadiah Nadwa Fikri menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk PKM.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan tersebut belum dikaji kerajaan.
Dalam pada itu, Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis berkata, walaupun fakta tentang PKM ada dalam buku teks sejarah, namun cerita tentang parti itu tidak diagung-agungkan kerana mereka bukan pejuang kemerdekaan negara.
"Pada dasarnya, PKM tujuannya adalah untuk sebarkan ideologi komunis untuk jadikan negara ini sebagai negara komunis. Malah British, raja-raja Melayu dan orang Melayu pada masa itu menolak komunisme.
"Begitu juga dengan haluan kiri yang ditubuhkan ditubuhkan oleh komunis dan mereka berjuang untuk Indonesia Raya. Memang mereka ada usaha berunding dengan Sukarno (presiden pertama Republik Indonesia) untuk masukkan kita dalam Indonesia Raya pada 1945," katanya.
Menurutnya, semua yang ditulis dalam buku teks sejarah adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku.
"Yang merdekakan Malaysia adalah Parti Perikatan terdiri daripada Umno, MCA dan MIC...itu fakta sejarah, tak boleh dinafikan.
"Komunis pula pada masa itu isytiharkan dirinya perang gerila, dia masuk hutan. Jadi apa yang kita nak masukkan dalam buku teks? Memang kita sudah masukkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.