Showing posts with label Parti Komunis Malaya (PKM). Show all posts
Showing posts with label Parti Komunis Malaya (PKM). Show all posts

Tuesday, December 31, 2019

Perhimpunan pejuang negara: Amanat Tun Hamid

31/12/2019


APABILA Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua dan sebelum British kembali semula ke Semenanjung Tanah Melayu, Pasukan Bintang Tiga telah bermaharajalela, membunuh dan menyiksa orang Melayu yang mereka tuduh bersubahat dengan Britisih.

Kumpulan itu adalah nukleus yang kemudiannya menjadi Parti Kominis Malaya (PKM). Tujuan PKM adalah untuk menjadikan Malaya sebuah negara kominis ala-China. Tidak siapa pun boleh menafikan bahawa dengan tertubuhnya negara kominis Malaya, kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, hak keistimewawaan orang Melayu dan bahasa Melayu akan terhapus. Mereka bukan berjuang untuk memerdekakan tanah air Mereka. Mereka bukan warganegara negara ini. “Negara ibunda” mereka adalah negara China.

Apabila British kembali, ada beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu yang lari masuk ke hutan untuk menyertai PKM. Mereka berbuat demikian semata-mata untuk menyelamatkan diri daripda ditangkap oleh British, bukan untuk menuntut kemerdekaan tanah air mereka. Mereka diperalatkan Chin Peng dan PKM untuk mendapat sokongan orang Melayu. Nasib baiklah orang Melayu tidak terpengaruh dengan mereka.

Pada masa itulah anak-anak Melayu, selepas tamat sekolah Melayu, dengang semangat yang berkobar-kobar tanpa memikirkan keselamatan diri, mula menyahut seruan negara, meninggalkan kampung halaman untuk menyertai pasukan bersenjata seperti Askar Melayu, Polis Di Raja Malaysia, Security Corps (SC) dan lain-lain. Tujuan mereka adalah untuk berperang dan menghapuskan perjuangan PKM itu.

Selepas itu, anak-anak Melayu yang berpelajaran seperti tuan-tuan menyertai pasukan-pasukan bersenjata negara dengan tujuan yang sama. Tuan-tuan menyertai PDRM. Bersama-sama tuan-tuan, terdapat sebilangan anak-anak muda Cina, India dan lain-lain yang turut sama menyertai PDRM untuk menjaga ketenteraman negara, termasuk daripada ancaman anggota-anggota PKM.

Banyak di antara pejuang-pejuang ini terkorban dalam perjuangan dan semasa menjalankan tugas mereka, bersama-sama orang awam.

Walau bagaimana pun, dengan kegigihan mereka semua, dengan kesungguhan pemerintah dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu, perjuangan PKM dapat dikalahkan. Penyokong-penyokong PKM dan orang-orang yang bersimpati dengannya diam seketika.

Tetapi, apabila keputusan PRU 14 memihak kepada mereka dan tertubuhnya kerajaan baru yang memberi ruang kepada mereka untuk bergerak, mereka dengan angkuh bangun semula untuk melanjutkan perjuangan mereka itu. Mereka cuba mengabui mata rakyat dengan menunjolkan pemimpin-pemimpin PKM itu sebagai pejuang kemerdekaan. Itu adalah satu pembohongan yang amat nyata.

Orang Melayu, khususnya, dan rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, anmnya, hendaklah waspada akan kebangkitan semula kumpulan ini. Ancaman ini adalah lebih merbahaya daripada ancaman ICERD. Bukan sahaja orang Melayu/Islam, malah semua rakyat Malaysia yang tidak mahu berada di bawah pemerintahan ala-kominis China, hendaklah bersatu menentang agenda kumpulan ini berhabis-habisan.

Akhir sekali, saya ingin memperingatkan tuan-tuan dan puan-puan, terutama sekali orang Melayu, apa yang dikatakan oleh Arnold J Toynbee, seorang ahli sejarah British, katanya:

“A truly significant mark that the British Empire can leave in Malaya when she withdraws is the transformation of this country into the nineteenth province of China.”

“Tanda yang sangat ketara yang Empayar British boleh tinggalkan di Malaya apabila ia meninggalkannya ialah transformasi negara ini kepada wilayah ke sembilan belas negara China.”

Mahukah kita perkara seperti itu berlaku?

Sekian. Terima kasih.

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me




Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Saturday, December 28, 2019

Parti Komunis dan DAP itu sama? Lucunya, kata Abdullah CD


BERITA

WAWANCARA | Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menyifatkan persepsi sesetengah rakyat Malaysia yang menyamakan parti itu sama dengan DAP adalah perkara lucu.

Bekas pengerusi PKM Abdullah CD, melalui jurucakapnya Indrajaya Abdullah, berkata pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) - yang menginspirasikan penubuhan DAP - terkenal sangat antikomunis.

"Jadi, untuk menjatuhkan DAP mereka, (penuduh) samakan parti itu dengan komunis - satu tuduhan yang sangat melucukan.

"Sebenarnya, DAP kalau kita kata (mengenai) sejarah, kita kata (pemimpin) PAP iaitu (pengasas PAP dan perdana menteri pertama Singapura) Lee Kuan Yew sangat antikomunis.

“Yang Kuan Yew katakan itu adalah sosialis, bukan komunis. Sosialis bukan komunis.

"Ertinya antikomunis, memang gerakan PKM di Singapura dihancurkan oleh Lee Kuan Yew, walaupun dia waktu itu jadi perdana menteri kerana sokongan-sokongan golongan kiri termasuk PKM, yang mengerakkan rakyat untuk menyokong PAP waktu itu," jelasnya dalam wawancara di rumah Abdullah CD.
Indrajaya Abdullah

Abdullah CD pemimpin Rejimen ke-10 PKM, yang kini sudah berusia 96 tahun dan mengalami masalah pertuturan, turut hadir menemani menantunya ketika wawancara berlangsung.

Indrajaya berkata apabila begitu berkuasa, Lee bukan sahaja menghapuskan PKM, tetapi juga gerakan kiri di Kota Singa itu.

DAP didaftarkan pada 1965 selepas pendaftaran PAP dibatalkan susulan perpisahan Singapura dari Malaysia.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di kampung pendamaian Chulaborn Patana 12, Narathiwat, baru-baru ini, Indrajaya justeru menyifatkan dakwaan bahawa PKM, yang dibubarkan 30 tahun lalu, mempunyai hubungan dengan DAP sebagai fitnah.
Salah satu persembahan dalam ulang tahun Perjanjian Hat Yai di Songkhla pada 2 Disember lalu, gambar hiasan

"Hubungan PKM dengan DAP bukanlah seperti apa yang disebut-sebut di Malaysia. Sebenarnya DAP adalah pecahan daripada parti PAP (Parti Tindakan Rakyat) Singapura. Ia langsung tak ada hubungan dengan PKM.

"Tapi, mungkin sesetengah pandangan mereka yang progresif melihat DAP bersesuaian dengan PKM juga. Tetapi bukannya DAP sama dengan PKM, itu fitnah," katanya yang juga menantu Abdullah CD dan pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai.

Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai dianggotai bekas-bekas wakil yang terlibat dalam menjayakan Perjanjian Damai Hat Yai 1989 yang menamatkan perang Malaysia-PKM dan Thailand-PKM.

Juga dikenali sebagai Anas, Indrajaya berkata, rakyat Malaysia perlu tahu berkaitan agenda politik yang cuba mengaitkan DAP dengan PKM.

“Saya kata ini mungkin satu tujuan dari sesetengah politikus di Malaysia untuk menekan DAP, sebab mereka sudah berusaha dan mungkin sudah berjaya menanam satu pemikiran dalam kalangan rakyat kononnya komunis jahat,” katanya.

Friday, December 13, 2019

Isu komunis: Ronnie Liu digesa mohon maaf kepada Sultan Selangor

AKMAL MANAF


Adun DAP Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew digesa memohon maaf kepada Sultan Selangor dan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menyatakan simpati serta mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, hari ini.

Mereka berkata, sempena Ulang Tahun Keputeraan yang Ke-74, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan rakyat Selangor agar tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan PKM sehingga terlibat mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

“Titah Tuanku lagi walaupun PKM kononnya dikatakan menentang penjajah, namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia Merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Malah ramai anak-anak bangsa daripada pelbagai keturunan termasuklah dari pihak Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terkorban dan menanggung derita akibat aktiviti keganasan pihak PKM ini.

“Pas dan Umno Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan itu dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah, apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara itu,” katanya.

Justeru katanya, Pas dan Umno Selangor turut menuntut agar dengan semangat titah Tuanku Sultan ini jangan lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Negeri Selangor.

Pada 1 Disember 2019 lalu YB Ronnie Liu telah hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun ke 30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang.

Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan Ronnie Liu dalam ucapannya telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa Datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/isu-komunis-ronnie-liu-digesa-mohon-maaf-kepada-sultan-selangor/

Friday, December 6, 2019

Zahid: PH diaibkan dengan abu mayat Chin Peng

Diterbitkan Hari ini 4:13 petang 

BERITA

Umno simpati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diaibkan dengan kemasukan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini pada September lalu.

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan BN ketika dipimpin Najib Razak secara konsisten menolak kemasukan abu mayat mendiang.

“Ia juga menghina rakyat dan menjurus ke arah pengiktirafan semula PKM. Ia juga mencerminkan betapa tidak ada kuasanya kerajaan sekarang kerana ditekan oleh pihak tertentu dalam PH.

"Saya bersimpati dengan kerajaan sekarang, mereka diaibkan dengan abu mayat Chin Peng. Walaupun ketika kita memerintah jemaah menteri ketika itu bawah Najib telah menolak abu mayat itu dibawa ke negara kita.

"Tetapi ketika ini orang ini (Chin Peng) seolah-olah mahu didewakan, malah Mereka juga mahu menukar sejarah mengangkat Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan.

"Sesungguhnya tindakan kerajaan sebegini amat menghiris hati rakyat dan Umno menolak," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan agung Umno kali ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menafikan kerajaan membenarkan abu mayat pemimpin PKM itu dibawa pulang.

Baca: Kerajaan tak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata isu itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Isu Chin Peng menjadi perhatian apabila kumpulan pengurusan abu mayatnya membawa pulang abu berkenaan dari Thailand dan ditabur di laut berhampiran lumut Perak serta hutan banjaran Titiwangsa.
Ekoran laporan itu pelbagai pihak menyatakan rasa marah terhadap kerajaan dan tidak kurang juga mengaitkan insiden tersebut dengan cubaan menyebarkan fahaman komunisme di negara ini.

Bagaimanapun, bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor yang terlibat dengan Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989 mempertahankan tindakan tersebut.

Menurut Abdul Rahim, perjuangan PKM telah berakhir sejak perjanjian itu ditandatangani dan pemimpin mereka dibenarkan pulang ke negara ini, mengikut perjanjian.

Baca: Kalau abu Chin Peng boleh balik, kenapa abunya tidak - Bekas IGP

Untuk rekod, Chin Peng - atau nama sebenarnya Ong Boon Hua - lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 dan bermastautin di Thailand sejak PKM dan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian damai berkenaan.

Dalam pada itu, Zahid berkata, kepulangan abu mayat itu paling dirasai oleh kaum keluarga yang menjadi mangsa PKM, termasuklah lebih 10,000 anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara daripada ideologi komunisme.

“Mengingati peristiwa itu, ramai anggota keselamatan dibunuh secara kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

“Ada yang dibakar hidup-hidup, wanita mengandung dirobek perut mereka hingga terburai, ada mangsa yang berkecai kepala kerana ditembak, rumah dibakar bersama penghuninya dan pelbagai kekejaman," katanya lagi.

Perjuangan PKM sejak sebelum merdeka sering dikaitkan dengan elemen keganasan dan usaha menubuhkan negara komunis.

Bagaimanapun, pihak yang bersimpati dengan mereka mendakwa perjuangan parti itu bertujuan mendapatkan kemerdekaan dari British.

Wednesday, December 4, 2019

Veteran PKR marah perhimpunan komunis disiasat

December 4, 2019
EDITOR

Syed Hussin Ali

SHAH ALAM – Veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga pengasas parti itu, Syed Hussin Ali mempersoalkan kritikan masyarakat terhadap kehadirannya pada perhimpunan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang baru-baru ini.

Syed Hussin berkata, perhimpunan itu dianjurkan setiap tahun untuk Memperingati Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai.

“Perhimpunan itu untuk memperingati perjanjian perdamaian. Apa salahnya pergi untuk tengok?” katanya.

Syed Hussin berkata, kehadirannya adalah berdasarkan jemputan dan beliau tidak berucap pada perhimpunan tersebut.

Ahad lalu, media melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.
Berikutan itu, semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan tersebut.

Namun, sebarang acara, atau ideologi komunis di negara ini ditentang oleh majoriti rakyat Malaysia kerana membunuh ramai anggota dalam pemberontakan bersenjata, serta membunuh orang awam yang tidak selari dengan mereka.

Syed Hussin, merupakan individu yang sangat akrab dengan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

sebelum ini beliau membuat kenyataan bahawa ‘bossnya’ iaitu Anwar Ibrahim akan dihukum dengan dipaksa berundur jika beliau menentang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tahu sukar baginya kerana jika dia berbuat demikian, Mahathir akan segera membunuhnya secara politik,” katanya.

Syed Husin juga percaya presiden PKR adalah calon terbaik untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

“Bolehkah kamu beritahu saya siapa lagi (boleh jadi perdana menteri)? Saya tidak nampak sesiapa, saya fikir dia adalah orang terbaik, dan sudah ada persetujuan di antara pelbagai pihak mengenai isu ini,” kata Syed Husin. 

Buletin Asia

Monday, December 2, 2019

Pertemuan PKM: Saya pun risau, kata Muhyiddin

Diterbitkan Hari ini 1:03 tengahari

BERITA

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini menyuarakan kebimbangan dengan trend semasa yang membabitkan isu komunis hingga menimbulkan perasaan tidak baik di kalangan rakyat.

Justeru, Muhyiddin meminta semua pihak perlu menghormati kepelbagaian kaum, latar belakang dan keturunan yang ada di negara ini yang sememangnya sudah aman damai.

Kata Muhyiddin, pihaknya tidak boleh memandang ringan perkara terbabit kerana Malaysia sudah merdeka maka mengapa himpunan terbabit boleh berlaku.

“Saya pun rakyat malaysia. Jadi sebagai rakyat Malaysia saya pun risau. Kadang-kadang lebih dari risau kenapa mutakhir ini ada trend sebegini.

“Apakah negara kita sudah matang dari segi demokrasi, nak buat apa suka, siapa nak menunjukkan perasaan tertentu boleh buat sebegitu atau pun ada kesan lain?

“Apa yang penting bagi saya, sebagai menteri bertanggungjawab nak menentukan negara kekal aman sejahtera tiada pergolakan dan perkara yang boleh menimbulkan perasaan tidak baik di kalangan rakyat, itu penting untuk dipertimbangkan.

“Dalam mengatakan kita bebas boleh buat apa sahaja, kita nak kaji sekiranya apa yang dilakukan membawa kesan yang tak baik kepada negara dan di situlah, pihak kementerian memandang berat perkara sebegitu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai pertemuan sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, semalam.
Acara bekas anggota PKM yang turut dihadiri pemimpin politik
Awal pagi semalam dilaporkan, sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara di Kajang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Yai malam ini.

Penandatanganan perjanjian antara PKM dengan kerajaan telah menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Malaysia dan membawa kepada pembubaran PKM.

Seramai 300 orang, kebanyakannya warga tua, menghadiri majlis memperingati perjanjian itu.

Ekoran daripada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya kini sedang menyiasat penganjuran program tersebut.

Mengulas lanjut berhubung langkah yang boleh dilakukan, Muhyiddin berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan bahagian risikan untuk melengkapkan siasatan penuh seberapa segera.

"Saya harap dalam minggu ini, polis dapat segerakan laporan berikutan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana pelbagai benda boleh berlaku jika dibiarkan.

"Rakyat Malaysia mahu tahu perkara sebenar dan mereka tidak mahu cerita bohong atau palsu. Sudah pastinya rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan sebabnya.

"Sebagai pihak agensi bertanggungjawab juga mahu tahu apa yang berlaku dan kita tidak boleh berlengah-lengah hingga tidak ada tindakan sewajarnya," katanya.

Teliti laporan penuh

Mengulas penyertaan beberapa pemimpin politik negara dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti laporan penuh berhubung perkara itu.

"Kita akan teliti dahulu dan apa tujuan dia yang mungkin mahu tunjukkan perasaannya dalam majlis terbabit.

"Bagaimanapun, kita akan siasat apa yang berlaku dan menilai langkah yang perlu diambil berdasarkan pelbagai aspek dan sudut," katanya.

Semalam turut dilaporkan hadir ialah Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali, Dr Michael Jeyakumar dari PSM dan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Rahman Embong.

Liu, yang telah memberi ucapan pada majlis itu, menegaskan bahawa dia menghadirinya atas kapasiti peribadi.

Polis siasat majlis peringatan Perjanjian Damai Hat Yai

BERITA

Polis dilaporkan sedang menyiasat penganjuran sebuah program di Kajang awal hari ini yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai (1989).

“Setakat ini tiada sebarang laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung perhimpunan itu, bagaimanapun kita sudah memperoleh maklumat mengenai penganjurannya.

“Ia berlangsung secara tertutup dan kita masih dalam tindakan menyiasat segala aspek yang berkaitan penganjuran perhimpunan itu,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, yang dipetik portal berita BH Online.

Awal hari ini, sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara di Kajang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Yai esok.

Penandatanganan perjanjian antara PKM dengan kerajaan itu telah menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Tanah Melayu dan membawa kepada pembubaran PKM.

Seramai 300 orang, kebanyakannya warga tua, menghadiri majlis memperingati perjanjian itu.

"Ia juga untuk memulihkan kebenaran yang telah diputarbelitkan dan membetulkan persepsi yang salah terhadap orang ramai terhadap sejarah kita.

"Perjuangan PKM adalah perang yang antipenjajahan dan antiimperialisme, yang berjuang untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian," tambah bekas ahli PKM, Tan Yi Yu, dalam acara itu.

Turut hadir ialah Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali, Dr Michael Jeyakumar dari PSM dan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Rahman Embong.

Liu, yang telah memberi ucapan pada majlis itu, menegaskan bahawa dia menghadirinya atas kapasiti peribadi.

Sunday, December 1, 2019

300 hadiri perhimpunan berkaitan Parti Komunis Malaya di Kajang

NASIONAL
Snarf
1 December 2019


KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan berhimpun melibatkan bekas kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang hari ini.

Perhimpunan itu dianggap sebagai perjumpaan yang bersejarah sehari sebelum ulangtahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Malaysiakini melaporkan antara yang turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu dan veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Perjumpaan berkenaan dikatakan bermula pada pukul 10.15 pagi tadi dengan ucapan daripada beberapa bekas anggota PKM dan Ronnie.

Menurut salah seorang bekas anggota PKM, Tan Yi Yu, perjumpaan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah mereka tetapi juga untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

“Perjuangan PKM adalah perang terhadap kolonial dan imperialisme, berjuang untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian,” kata Yi Yu.

Sementara itu, Ronnie menjelaskan kehadirannya adalah bersifat peribadi dan turut berkongsi cerita mengenai penglibatan datuk dan abangnya dalam pergerakan komunis.

Ronnie berkata, penglibatan datuknya dalam pergerakkan komunis adalah untuk membebaskan Malaya daripada British selepas berjaya menghalau Jepun keluar daripada Malaysia.

Penglibatan datuk Ronnie dalam aktiviti komunis telah menyebabkan beliau dibuang ke China.

“Saya bimbang ucapan saya di sini hari ini akan menyebabkan saya dianggap sebagai komunis atau bersimpati terhadap komunis, tetapi saya masi rasa terpangging untuk bercakap di sini,” kata Ronnie seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Perjumpaan bekas anggota pengganas PKM itu adalah siri terbaharu melibatkan organisasi yang cukup diingati dengan kekejamannya selepas abu mayat bekas setiausaha agung PKM Chin Peng berjaya diseludup masuk dan ditaburkan di laut dan di dalam hutan di Malaysia.

Kegiatan PKM terutama pada zaman darurat meninggakan parut yang mendalam terhadap rakyat Malaysia. Banyak keluarga masih menyimpan kenangan sedih dan ngeri mengingati bagaimana anggota komunis menyeksa dan membunuh kaum keluarga mereka dengan kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Susulan itu ramai yang berasa kecewa apabila abu mayat Chin Peng yang semasa hayatnya tidak dibenarkan masuk dan menjejakkan kaki ke Malaysia berjaya diseludup dan ditabur di dalam negara yang pernah menyaksikan kekejaman yang dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh PKM terhadap rakyat Malaysia.

-SM

Snarf

http://www.suaramerdeka.com.my

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Wednesday, November 27, 2019

Abu Chin Peng: Pendirian Mat Sabu lepas KDN siasat

Diterbitkan Hari ini 8:28 malam 

BERITA

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan membuat pendirian berhubung isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng selepas siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa KDN untuk menyiasat bagaimana abu berkenaan dibawa masuk.

"Pendirian selepas siasatan KDN," katanya pada sesi penggulungan rang undang-undang (RUU) perbekalan 2020 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat, petang tadi.

“Saya akan dedahkan pandangan itu bila saya buat kenyataan nanti, ada juga pandangan lain, ini ada pelbagai perbezaan, saya akan buat pandangan selepas KDN buat siasatan,” tambahnya.

Jelasnya, apabila isu itu timbul beliau terus mendapatkan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Mohd Noor yang terbabit dalam rundingan damai pada 2 Dis 1989.

Pada sesi perbahasan pagi tadi, pembangkang menggasak Mohamad supaya menyatakan pendirian berhubung kemasukan abu mayat Chin Peng ke negara ini.
Wakil rakyat pembangkang menyifatkan tindakan itu penghinaan terhadap bekas perajurit yang telah mengorbankan nyawa menentang komunis.

Semalam, kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng pada sidang akhbar, mendedahkan abu bekas pemimpin PKM itu telah dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Separuh daripada abunya ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak iaitu di negeri kelahirannya dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak ini.

Pembelian 6 helikopter tempur

Sementara itu Mohamad berkata Kabinet akan membuat keputusan berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G dalam tempoh terdekat sebelum akhir tahun ini.

Katanya, kementerian itu sudah mendapat laporan dan pandangan dari Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan berhubung perkara berkenaan.

"Kita telah dapat laporan, kita juga buat siasatan dalaman, keputusan akan dibuat akhirnya oleh Kabinet dalam masa terdekat.

"Minggu depan atau sebelum akhir tahun ini tentang keputusan akhir helikopter yang telah ditempah enam buah itu tidak dapat sampai hari ni," katanya.

Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa belum menerima enam helikopter bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.
Sepatutnya, helikopter pertama diterima pada Nov 2017, namun sehingga kini masih belum diperoleh sedangkan pembayaran sudah dibuat sebanyak RM112 juta

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan belum memuktamadkan sebarang pembelian pesawat pejuang dari mana-mana negara kerana dalam proses penilaian membabitkan pakar.

Beliau berkata, cadangan supaya sistem barter membabitkan pertukaran dengan minyak sawit digunakan dalam rundingan pembeliannya tidak mudah dilaksanakan, kerana memerlukan komitmen banyak kementerian.

“Ada kata kita mahu beli dengan Russia, ada kata dengan Pakistan, ada kata Korea Selatan. Semua itu masih di peringkat spekulasi.

"Perundingan masih berjalan. Kita cari yang terbaik dan paling sesuai,” katanya.

K’jaan tak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang - Muhyiddin

BERITA

Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Persoalannya adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” katanya kepada Bernama, di Bangkok hari ini.

Beliau berkata beberapa pihak telah membuat laporan polis dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutamannya terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” katanya.

Muhyiddin berada di Bangkok untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 Sept lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lalu dan dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

- Bernama

Tuesday, November 26, 2019

Abu Chin Peng pulang ke Malaysia


BERITA

Mendiang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya dapat "kembali ke rumah" pada 16 September tahun ini selepas enam tahun kematiannya.

Menurut kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81 tahun berkata selepas abu mayatnya tiba di Ipoh, mereka telah menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama.

Menurut Chai, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu atau jirat.

[Berita penuh menyusul]

Monday, August 27, 2018

Peristiwa 'mata lebam' cerita lama, kata Rahim Noor

Hariz Mohd
Diterbitkan 27 Ogs 2018, 5:56 petang


Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor berkata peristiwa "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 tidak relevan dalam pelantikannya sebagai fasilitator rundingan damai wilayah selatan Thailand.

Menyifatkan ia sebagai peristiwa lama, beliau percaya kerajaan memilihnya atas peranannya ketika rundingan damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989.

Rundingan itu menyaksikan PKM menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand - dinamakan sebagai Perjanjian Hat Yai - menamatkan pemberontakan lebih 40 tahun.

"Apa yang berlaku pada waktu itu (peristiwa mata lebam), waktu itulah. Tidak relevan untuk dia (Nurul Izzah) mengaitkannya dengan pelantikan saya.

"Melainkan keputusan untuk melantik saya dibantah pihak berkuasa Thai atau MARA Pattani (wakil beberapa kumpulan militan disana). Setakat ini, daripada maklum balas yang saya terima, tiada yang menunjukkan bantahan mereka.

"Dua pihak inilah yang penting dalam proses damai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pagi ini, Nurul Izzah menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Rahim yang disifatkannya sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

Izzah merujuk kepada Anwar yang diserang ketika dalam tahanan polis selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998. Gambar mata lebamnya menjadi salah satu simbol gerakan Reformasi.

Ia berikutan laporan menyatakan Rahim akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim untuk peranan itu.

Rahim yang menjadi IGP antara 1994 hingga 1999 berkata reaksi seumpama itu sudah dijangka daripada seorang ahli politik.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga mungkin memilihnya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan dalam soal keselamatan dan sempadan.

"Dulu kita berjaya menyelesaikan masalah PKM yang bercokol di Selatan Thailand melalui rundingan damai. Tahun depan adalah ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai.

"Dan kini ada satu lagi masalah di sempadan - konflik antara orang Melayu dengan kerajaan Thai - yang berlaku di bahagian selatan. Saya percaya kerajaan beri saya peranan ini kerana pengalaman saya," katanya lagi.

Tuesday, July 31, 2018

Buktikan komunis pejuang kemerdekaan Tanah Melayu

RZ 31/07/2018

Perjuangan PKM kerana hendak balas dendam kepada Jepun
BANGI, 18 Zulkaedah 1439H, Selasa – “Atas dasar apa komunis mahu diiktiraf sebagai pejuang dan perjuangan mereka hendak dimasukkan ke dalam buku teks? Buktikan bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan.”

Demikian persoalan yang dibangkitkan pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, yang turut kesal kerana segelintir pemimpin sekarang ini terikut-ikut rentak pemikiran ultra kiasu komunis.

Dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.net, beliau turut sedih kerana pemimpin Melayu tidak dapat membezakan antara pemimpin Melayu berhaluan kiri dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Chin Peng ketika itu.

Beliau berkata, permusuhan China dan Jepun bermula sejak 1894 ketika Dinasti Qing dan, apabila negara Matahari Terbit itu menduduki Tanah Melayu, mereka membalas dendam terhadap orang Cina.

“Orang Cina tidak ada pilihan lain, terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk menentang keganasan Jepun. Tidak timbul soal perjuangan kemerdekaan kerana permusuhan itu lebih besar antara kedua bangsa ini daripada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

“Bukti jelas dapat dilihat apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 1945, PKM keluar dari hutan dan mahu menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dan membalas dendam kepada orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun. Nasib baik British kembali semula selepas 14 hari Perang Dunia II tamat.

“Jika tidak negara ini sudah dikuasai PKM. Selepas berjaya menumpaskan PKM, walaupun tidak sepenuhnya, darurat terpaksa diisytiharkan 1948. Sekali lagi PKM terpaksa kembali ke hutan dan melancarkan perang gerila. Keadaan ini berlanjutan sehingga tahun 1989.

“Ya, tidak nafikan British menggunakan orang Melayu untuk bekerja sebagai polis bagi menjejaki komunis. Dalam maksud, komunis menentang polis Melayu kerana bekerja untuk British,” katanya.

BERIKUT ADALAH KENYATAAN PENUH DR RIDHUAN TEE ABDULLAH

Cadangan iktiraf komunis perlu dihentikan

NORMAWATI ADNAN
31 JULAI 2018

Naim mengetuai perbarisan pesara polis sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak.

IPOH – Perdebatan agar perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM) dimasukkan dalam buku teks sejarah, perlu dihentikan segera.

Pesara 69 Komando (VAT 69), Naim Abdullah, 62, berkata, sebarang perbincangan mengenai isu itu tidak harus diteruskan kerana dikhuatiri menimbulkan perasaan marah yang boleh membawa kepada rusuhan sepertimana peristiwa 13 Mei 1969 lalu.

“Daripada dibakar hati yang tengah berperang dan menjadi api dalam sekam, eloklah perkara ini dicantas dan dihentikan, semangat orang Melayu ini lain, jika semuanya bersatu dan memikirkan perkara ini dengan serius, tak mustahil apa yang berlaku pada 13 Mei itu boleh berulang.

“Tambahan pula, apa lagi yang perlu kita agungkan dan berapa banyak lagi fahaman komunis yang perlu ada di negara kita, cukuplah dengan ramainya pasukan keselamatan kita yang mati akibat bertempur kerana mempertahankan negara,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Beliau mengulas gesaan pihak tertentu untuk menilai semula buku teks sejarah dengan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri seperti dicadangkan seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang berlangsung, Ahad lalu.

Fadiah dilaporkan berkata, hal itu kerana golongan kiri termasuk PKM turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Naim yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Latihan Cawangan Payung Terjun dalam pasukan VAT69 selama 25 tahun menganggap mana-mana pihak dan individu yang bangkit memperjuangkan golongan berhaluan kiri itu sebagai anasir baharu komunis kepada negara.

Katanya, kumpulan itu menjadi bukti bahawa perjuangan komunis tidak pernah berhenti untuk terus menggugat keharmonian negara ini.

“Mereka (pejuang komunis) hanya meletakkan senjata, sedangkan fahaman dan ideologi masih lagi dipegang oleh puak-puak tertentu hingga sekarang.

“Sepatutnya, generasi Y (muda) yang ada sekarang tanya diri sendiri apa sumbangan mereka kepada negara, kami pasukan keselamatan ini tidak minta diagungkan, sekurang-kurangnya hormatilah perjuangan terdahulu,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri, turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Fakta PKM, haluan kiri ada dalam buku teks

NURULFATIHA MUAH
30 JULAI 2018

Prof Datuk Dr Ramlah Adam

SHAH ALAM - Fakta tentang golongan berhaluan kiri dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah dimasukkan ke dalam buku teks sejarah, namun tidak diperincikan kerana dikhuatiri ia disalah tafsir dan menimbulkan ketegangan.

Penulis buku teks sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, menjadi dasar kerajaan ketika buku teks ditulis untuk tidak memperincikan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kaum atau peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dan hari Hartal.

"Tetapi (cerita) PKM ada, parti kiri pun ada. Nama-nama kiri seperti Dr Burhanuddin (Helmi) dan Ahmad Bustamam pun kita sebut dalam buku teks, selain daripada nama Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak (Hussein).

"Kita tidak cerita meluas, kalau pelajar hendakkan perinciannya, masa masuk universiti boleh dibincangkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya tentang keperluan untuk memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk PKM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Belum kaji cadangan nilai semula buku teks sejarah]

Semalam, aktivis, Fadiah Nadwa Fikri menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk PKM.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan tersebut belum dikaji kerajaan.

Dalam pada itu, Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis berkata, walaupun fakta tentang PKM ada dalam buku teks sejarah, namun cerita tentang parti itu tidak diagung-agungkan kerana mereka bukan pejuang kemerdekaan negara.

"Pada dasarnya, PKM tujuannya adalah untuk sebarkan ideologi komunis untuk jadikan negara ini sebagai negara komunis. Malah British, raja-raja Melayu dan orang Melayu pada masa itu menolak komunisme.

"Begitu juga dengan haluan kiri yang ditubuhkan ditubuhkan oleh komunis dan mereka berjuang untuk Indonesia Raya. Memang mereka ada usaha berunding dengan Sukarno (presiden pertama Republik Indonesia) untuk masukkan kita dalam Indonesia Raya pada 1945," katanya.

Menurutnya, semua yang ditulis dalam buku teks sejarah adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku.

"Yang merdekakan Malaysia adalah Parti Perikatan terdiri daripada Umno, MCA dan MIC...itu fakta sejarah, tak boleh dinafikan.

"Komunis pula pada masa itu isytiharkan dirinya perang gerila, dia masuk hutan. Jadi apa yang kita nak masukkan dalam buku teks? Memang kita sudah masukkan," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-