Sunday, July 29, 2018

Hanipa janjikan siasatan telus masalah mahkamah

Hafiz Yatim | Diterbitkan 29 Jul 2018, 9:49 pagi


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin meminta laporan penuh diberikan berhubung isu kakitangan mahkamah - termasuk hakim - terpaksa menjalankan sendiri kerja-kerja pembersihan di tempat mereka bertugas.

Kata Hanipa pegawainya sudah diarah mendapatkan penjelasan lengkap serta bertulis daripada pihak yang bertanggungjawab dalam hal berkenaan.

"Saya mahukan laporan penuh dan telus, dan tidak ada apa-apa yang diselindungkan sama sekali," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Hanipa berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kesukaran dialami kakitangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur yang terpaksa melakukan sendiri kerja pembersihan sejak beberapa minggu lalu.

Antara tugasan yang terpaksa dilakukan mereka - termasuk para hakim - ialah mencuci tandas.

Puncanya, pekerja pembersihan yang sepatutnya menjalankan tugas itu mogok, didakwa kerana tidak dibayar gaji.

"Di mahkamah saya, kakitangan saya telah membersihkan bilik mahkamah, koridor selama berminggu-minggu.

"Saya telah membasuh sendiri bilik mandi saya. Bayangkan saya membersihkan tandas di sini sedangkan saya tak perlu melakukannya di rumah," kata salah seorang hakim Mahkamah Tinggi yang enggan namanya dipetik.

Kata Hanipa beliau memandang serius masalah berkenaan dan tidak akan ada sebarang tolak ansur jika berlaku sebarang salah laku.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-