Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 22, 2018

Jangan zalim dalam menilai HARAPAN, kata ketua Pemuda Umno

Alyaa Alhadjri 
Diterbitkan 22 Jul 2018, 10:16 pagi


Rakyat perlu adil dan tidak zalim dalam menilai kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan kedudukan Islam di Malaysia tidak akan dikompromi, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf yang merupakan bekas menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam ketika BN memerintah berkata beliau kini meletakkan harapan kepada pentadbiran HARAPAN memastikan kedudukan Islam terus dipertahankan.

"Dari awal saya kata jangan kita berlaku zalim dan berlaku tidak adil kepada kerajaan HARAPAN yang baru dua bulan memerintah.

"Takkan baru dua bulan memerintah kita terus hukum bahawa masa depan Islam sudah pun hancur berkecai (di bawah HARAPAN). Tidak adil begitu," katanya dalam forum anjuran NGO Ikram di Shah Alam semalam.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata kerajaan bagaimanapun perlu menangani kegusaran yang timbul di kalangan rakyat secara berhikmah dan bukannya sekadar menafikan persepsi bahawa HARAPAN anti-Islam.

"Kerajaan HARAPAN perlu menonjolkan bahawa kerajaan ini akan selama-lamanya mempertahankan kedudukan Islam dari sisi perlembagaan dan dari segi tindakannya.

"(Selain) dari segi polisi, dari segi program, dari segi peruntukan," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Lim Guan Eng boleh manafikan persepsi buruk berhubung bukan Islam menjadi menteri kewangan dengan terus memberi dana yang sebelum ini diluluskan kepada sekolah-sekolah agama.

Ini antara harapan saya supaya peruntukan-peruntukan ini tidak dikurangkan," katanya.

[Baca berita penuh]