Wednesday, July 18, 2018

Parlimen: 'Nafkah isteri tanggungjawab suami, bukan kerajaan'

Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


SUAMI digalakkan memberi caruman perlindungan sosial kepada isteri secara sukarela sebagai persediaan menempuh hari persaraan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendekatan itu adalah fasa pertama sebelum skim caruman isi rumah membabitkan pindaan peruntukan perundangan berkaitan dilaksana.

Katanya, fasa kedua dan ketiga sebelum pelaksanaan skim itu berkuat kuasa sepenuhnya serta diwajibkan dijangka mengambil masa lebih lama.

“Fasa kedua merangkumi perluasan kawasan liputan menerusi perlindungan sosial kepada isteri akan dibuat, iaitu dengan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1999 (Akta 4).

“Fasa ketiga yang bakal menyaksikan caruman isi rumah ini diwajibkan akan direalisasi apabila pindaan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991, Akta 452 selesai,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) meminta perincian kerajaan berhubung pelaksanaan caruman KWSP untuk isteri atau wanita yang sebelum ini digariskan sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, siri perbincangan dengan agensi berkaitan, termasuk KWSP, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini giat dijalankan.

“Perbincangan rentas agensi dan kementerian perlu dilaksanakan kerana pelaksanaan skim ini membabitkan bidang kuasa berbeza,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Khairuddin mengenai keperluan kerajaan memperuntukkan elaun khas bulanan kepada golongan isteri, beliau berkata, cadangan itu perlu pertimbangan menyeluruh bersandarkan kedudukan semasa kewangan negara.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, keperluan memberikan nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami.

“Itu tanggungjawab suami, kenapa kerajaan nak bagi nafkah tambahan pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 1:01 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-