Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyatakan sokongan penuh sekiranya pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY Muhammad Shakir Ameer berkata spekulasi itu menarik minat khususnya ahli-ahli DAP yang menyanjung tinggi pemimpin 'politik terulung' itu.
"DAPSY dengan ini menyokong penuh saudara Lim Kit Siang sebagai Speaker Dewan Rakyat penggal ke-14.
"Jasa saudara Lim untuk mengukuhkan demokrasi serta memelihara hak semua rakyat Malaysia sejak beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 1969 adalah perjuangan tidak terhingga.
"Malah hujah-hujah beliau mempertahankan perlembagaan persekutuan dan menyuarakan isu-Isu rakyat tanpa mengira latar belakang adalah sesuatu yang sukar ditandingi oleh mana-mana," jelasnya dalam kenyataan media.
Menurut Muhammad Shakir, Lim juga mempunyai Ijazah undang-undang yang diperoleh ketika dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta mahir mengenai undang-undang negara serta Perintah Tetap Dewan Rakyat.
"Kami percaya sepanjang pengalamannya sebagai seorang ahli parlimen pembangkang selama ini dan sekarang kerajaan, beliau akan berlaku adil dan tegas kepada semua untuk memastikan bahawa sistem demokrasi berparlimen akan dipelihara demi kebaikan rakyat sejagat," tegasnya.
Justeru beliau menyeru rakan-rakan komponen HARAPAN untuk mempertimbangkan sokongan terhadap Kit Siang sebagai Speaker Dewan Rakyat penggal ke-14 yang akan bersidang minggu depan.
"Umum diketahui bahawa beliau amat berkebolehan dan pemilihan jawatan speaker perlu dilihat dari sudut pengalaman dan kebolehan," tambah beliau.
Lim sebelum ini dilaporkan antara calon yang disebut-sebut akan dipilih bagi menyandang jawatan itu.
Bagaimanapun, sumber HARAPAN memberitahu Malaysiakini pemimpin-pemimpin gabungan itu tidak berhasrat berbuat demikian selepas pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara mencetuskan kontroversi.
Lim sendiri sebelum ini berkata beliau akan menjadi penyokong kerajaan untuk kali pertama dalam kerjayanya sebagai anggota parlimen pada sesi Dewan Rakyat yang akan bermula pada Isnin depan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.