25 JULAI 2018
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengimbangkan hak dan keselamatan negara dalam memilih kesesuaian yang terbaik berhubung pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, isu ini bukan isu politik kerana pendekatan perlu diputuskan segera untuk keselamatan negara.
Menurutnya, kerajaan seharusnya mencari formula baharu untuk mengimbangi kedua-dua isu berkenaan.
“Saya percaya terdapat penyokong kerajaan masih mahu Sosma dikekalkan tetapi ini mungkin tidak selaras dengan misi kerajaan PH.
“Sebenarnya terdapat cara lain undang-undang yang tegas boleh dilaksanakan dalam masa yang sama dapat melindungi hak asasi,” katanya kepada Sinar Harian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan mansuhkan Sosma]
Nik Ahmad berkata, alasan kerajaan adalah Sosma tidak selaras dengan hak asasi, individu yang ditangkap tidak dibicara tetapi ditahan sehingga 28 hari di mana tidak boleh persoalkan di mahkamah selama tempoh tersebut.
Katanya, jika dibawa ke mahkamah, mahkamah tidak boleh persoal kerana kerajaan dibenarkan tidak perlu mengemukakan bukti di mahkamah atas alasan keselamatan negara terancam jika bukti disiarkan di mahkamah.
“Sebab itu saya berpendapat terdapat cara lain undang-undang yang tegas boleh dilaksanakan dalam masa yang sama melindungi hak asasi.
“Seperti ISA, Sosma juga benarkan tahanan tanpa bicara, seperti ISA juga Sosma dianggap undang-undang zalim, jadi jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghapuskan ISA, Dr Mahathir pula menghapuskan Sosma kedua-duanya adalah sama,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir berjanji akan menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurutnya, akta tersebut disifatkan sebagai zalim tanpa memberikan hak kepada pesalah untuk diadili.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.