Friday, August 17, 2018

100 hari: Umno soal bila mahu mansuh tol jambatan Pulau Pinang


Umno terus mempersoalkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghapuskan tol Jambatan Pulau Pinang walaupun telah 100 hari mentadbir negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesham Ismail berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan seolah-olah HARAPAN mempermainkan perasaan pengundi yang telah menyokong mereka.

Katanya, janji berkenaan wajar ditunaikan memandangkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng begitu bersungguh-sungguh membuat tawaran itu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14).

“Guan Eng mahu hapuskan tol selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan memansuhkan tol bagi penunggang motosikal Jambatan Pulau Pinang sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas negeri ini.

“Tawaran beliau (Guan Eng) ketika itu seperti mahu mencabar apa yang ditawarkan BN, namun selepas menang mereka beri alasan mahu kaji terlebih dahulu menyebabkan ribuan pengguna Jambatan Pulau Pinang tertanya-tanya tentang janji berkenaan,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.

Pada April lalu, Najib menjanjikan bayaran tol untuk penunggang motosikal yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang akan dimansuhkan jika mereka berjaya menguasai negeri itu pada PRU ke-14.

Namun Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP menawarkan tawaran lebih menarik.

Katanya, jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan persekutuan bukan saja tol untuk motosikal dihapuskan, malah untuk semua kenderaan.

Mengulas lanjut, Norhiesham berkata, sikap berdiam diri Lim menimbulkan pelbagai persepsi antaranya ‘cakap tidak serupa bikin’ dalam kalangan rakyat terhadap pemimpim HARAPAN.

“Sebelum ini, mereka (kerajaan negeri) pernah berjanji untuk menghapuskan tol Sungai Nyior di Butterworth sekiranya menang pada 2008, namun perkara berkenaan tidak dilaksanakan sehingga hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-