Wednesday, August 29, 2018

Kerajaan ‘manja’ minta duit rakyat langsai hutang

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
29 OGOS 2018


GEORGETOWN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menghentikan kutipan derma bagi Tabung Harapan sekiranya mahu memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa rakyat dimanjakan dengan pemberian BR1M tidak boleh diterima.

Menurutnya, perkara itu juga tidak wajar dijadikan alasan untuk memansuhkan BR1M kerana kerajaan PH juga meminta derma dari rakyat kononnya mahu menyelesaikan hutang negara.

“Pemuda Umno Nibong Tebal amat kesal dengan pemansuhan BR1M. Alasan rakyat terlalu dimanjakan dengan pemberian bantuan itu tidak boleh diterima pakai.

“Mereka (kerajaan) juga minta bantuan dari rakyat apabila melancarkan Tabung Harapan untuk menyelesaikan hutang negara. Sebenarnya bukan rakyat yang manja sebaliknya kerajaan pada hari ini yang tidak mahu berusaha cari jalan selesaikan hutang negara,” katanya.

Tambahnya, sebagai kerajaan baharu yang dipilih rakyat, pemimpin negara sepatutnya peka dengan masalah kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat.

“Tambahan pula dengan pelaksanaan cukai jualan dan khidmat (SST) pada 1 September ini yang dikatakan kemungkinan harga barang akan melonjak naik.

“BR1M yang diperkenalkan kerajaan terdahulu sebenarnya telah banyak membantu kehidupan rakyat malah ada yang berjaya memulakan perniagaan dengan hasil pemberian tersebut.

“Saya berharap kerajaan PH lebih bertanggungjawab kepada rakyat yang telah memberi undi kepada mereka,” katanya.

Norhiesam berkata, tindakan memansuhkan bantuan tersebut dilihat sebagai satu penganiayaan terhadap rakyat yang memberi mandat kepada PH.

“Kerajaan langsung tidak menyelami masalah dan denyut nadi rakyat,” katanya.

Terdahulu, kerajaan akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum ia dimansuhkan.

Mahathir berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari.

Mahathir mendakwa, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah memanjakan rakyat dengan hanya memberikan rakyat wang tanpa perlu melakukan kerja.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-